“Cepat la.”
“Apanya?”
“Saya nak turun bawah ni, nak tengok berita. Awak tak nak tolong papah saya ke?” Ilman bersuara sambil duduk di birai katil. Sejak bernikah semalam, Ilman dah pandai ber‘saya-awak’ dengan Maira. Padahal sebelum ni selamba saja guna ‘aku-kau’.
Maira yang baru saja selesai mengemas baju-baju di dalam almari, berpaling ke arah Ilman. “Berita apa pukul 11.00 malam macam ni? Kan awak dah tengok berita pukul lapan tadi?”
“Saya nak tengok berita dunia la.”
Maira mengeluh. “Awak, kan mama dah pesan yang awak kena tidur awal? Esok kan awak kena pergi hospital lagi?” Maira cuba memujuk Ilman. Kalau tak tidur sekarang, entah pukul berapalah si suami ni bangun pagi esok. Mama dah cakap awal-awal dah yang Ilman memang jenis yang susah nak bangun pagi.
“Satu jam je. Please.” Nada suara itu bukan merayu, tapi lebih kepada arahan sebenarnya.
Maira pandang Ilman. Terpaksa mengalah. “Okey la. Jom.”
Maira terus mendekati Ilman di birai katil. Dia memaut lengan lelaki itu agar Ilman boleh berdiri. Bila Ilman dah berdiri, Maira meletakkan tangan kiri Ilman di atas bahunya, manakala tangan kanan Maira memeluk erat pinggang lelaki itu. Berat juga si Ilman ni. Kalau tak pegang kuat-kuat, mahunya suaminya ini jatuh bergolek masa turun tangga nanti.
Selepas menuruni anak tangga, Maira mendudukkan Ilman di sofa. Nasib baik kaki Ilman memang dah boleh bergerak sikit. Jadi tak adalah berat sangat badan suaminya itu masa Maira papah tubuh itu tadi.
“Awak nak air tak? Saya buatkan?” Maira bertanya pada Ilman.
Ilman menggeleng, sebaliknya dia mendepangkan tangan kanannya terhadap Maira. “Meh duduk dengan saya sini. Dari pagi tadi awak asyik buat kerja je. Sini.” Ilman menepuk tempat duduk di sebelahnya.
Maira tahan ketawa. Dia masih tak biasa sebenarnya dengan sikap Ilman yang sekarang ini berbanding dengan sikapnya yang selalu panas baran itu. Macam pelik pula bila melihat sisi Ilman yang baik hati dan caring ini. Patutlah Cikgu Hayati kata dulu, Ilman memang seorang yang baik, cuma accident itu yang buatkan dia jadi panas baran dek sebab tekanan perasaan. Sifat sebenar Ilman tersembunyi di sebalik sifatnya yang suka marah-marah dulu.
“Awak nak tahu satu rahsia tak?” Ilman tiba-tiba bertanya bila Maira dah duduk di sebelahnya.
“Rahsia apa?”
“Sebenarnya saya tahu awak pernah suka kat Irsyad dulu.”
Maira pantas menoleh. “Hei, mana awak tahu? Eh, err… bukan, mana ada! Awak ni pandai-pandai je.”
“Saya tahu la. Tengok cara awak pandang abang saya tu pun, saya dah tahu.”
Maira telan air liur. Dia tak tahu pula yang Ilman boleh perasan hal itu. Tapi, itu dululah. Sekarang ni dia dah tak ada apa-apa perasaan terhadap Irsyad lagi. Lagipun dulu tu bukannya dia suka betul-betul pun. Maira cuma rasa kagum dengan penampilan dan air muka Irsyad yang selalu tersenyum tu. Itu saja. Bukannya tahap sampai jatuh cinta pun!
“Eh, tak la, awak. Saya cuma suka… abang awak senyum. Itu je.” Maira kelam kabut menjelaskan. Entah kenapa, dia tak tahu macam mana nak buat Ilman yakin yang dia memang tak ada apa-apa perasaan terhadap abang Ilman itu.
“Saya jealous.” Ilman bersuara sambil matanya melekat ke TV. “Saya senyum tak handsome ke?”
Maira rasa serba salah. Dia terus menghadap Ilman dan menggenggam kedua-dua belah tangan lelaki itu. “Awak, jangan la macam ni. Itu semua dulu la, sebelum kita kahwin. Sekarang ni, betul saya dah tak ada apa-apa feeling pun kat abang awak tu. Lagipun, awak suami saya kan? Siapa lagi yang saya kena sayang kalau bukan awak?”
Maira nampak bibir Ilman dah mula terukir senyuman. Ilman menoleh ke arah Maira. “Awak ni… manja jugak eh?”
Maira kerut dahi. Manja? Apahal tiba-tiba keluar soal manja pulak ni?
Ilman tersengih bila lihat muka pelik Maira. “Awak tu, sebelum ni kasar je dengan saya. Cakap pun keras je, macam warden. Kan elok kalau hari-hari awak cakap lembut dengan saya macam ni?”
“Eh?” Maira bertambah pelik.
Tangan Ilman menarik bahu Maira ke dalam pelukannya. “Jangan risau la, Maira. Saya tahu awak ikhlas dengan saya. Tadi tu saya saja je nak kacau awak.” Ilman ketawa.
Maira ternganga. Dia terus pukul paha Ilman, bengang sebab lelaki itu sengaja kenakan dia. Dahlah rasa malu pun tak hilang lagi ni. Dia tak pernah terfikir yang mata Ilman ‘tajam’ – boleh tahu yang Maira pernah terjatuh hati pada si Irsyad dulu. Hisy…
“Auch, aduh!” Ilman tiba-tiba mengaduh. Riak wajah Ilman menahan rasa sakit.
“Eh, awak? Kenapa?” Maira cuak.
“Awak pukul kaki saya!”
Maira menunduk pada paha Ilman yang dia pukul tadi. Habislah dia… dia tak perasan yang dia pukul paha Ilman tadi. Dahlah kaki Ilman ni baru nak sembuh. Dia pulak pergi hentam paha lelaki ini. Aduh, habislah…
“Awak, saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya…”
“Maira.” Ilman pandang tajam pada Maira.
“Hah?” Pucat muka Maira memandang Ilman. Nampaknya dia memang kena tengking lagi dengan Ilman kali ni.
“Saya gurau.” Dua patah perkataan itu keluar dari mulut Ilman.
“Hah?”
“Saya gurau je. Janganlah cuak sangat.” Ilma ketawa lagi sambil mengusap kepala Maira.
“Ilman!” Terus Maira menumbuk bahu Ilman bertalu-talu. Punyalah dia risau tadi sebab dia takut dia akan beri kesan pada kaki Ilman, rupa-rupanya Ilman cuma bergurau saja? Memang nak kena ni! Dia terus pukul bahu Ilman tanpa berhenti walaupun Ilman cuba menangkap tangan Maira sambil ketawa.
“I love you.” Itu yang Ilman bisikkan bila Ilman berjaya menangkap tangan Maira. Maira terkedu sebab itulah kali pertama Ilman melafazkan ayat itu. Dia memang langsung tak menduga yang Ilman akan melafazkan ‘I love you’ itu sebab dia tahu, Ilman bukanlah seorang lelaki yang romantik. Tapi…
“I love you, Maira. So much.” Ilman mengucup tangan Maira.
Senyuman kegembiraan jelas terpancar dari wajah gadis bernama Maira itu. Dia menyekah airmata yang mulai bercucuran jatuh di pipi gebu mulusnya itu. Tiada apa lagi yang diinginkannya selain memohon agar jalinan cinta mereka ini sentiasa di bawah jagaan Allah SWT untuk selama-lamanya.
Share this novel