Telekung ditanggalkan seraya itu juga dia melipat dua lalu menggantungkan telekung dan sejadah itu ke tempat penyidai di sebelah almari. Rasa segar sikit selepas muka dibasuh dengan air wudhuk. Badan pun terasa cergas bila dah solat. Maira lalu membetulkan tudung di depan cermin dan keluar dari bilik Zati untuk turun ke dapur. Siap kek yang keenam nanti, bolehlah dia balik!
Baru saja dia nak turun tangga, dia terdengar ada bunyi sesuatu terjatuh dari dalam bilik hujung. Dia mula rasa cuak, walaupun jelas sekarang ni masih tengah hari. Terus dia memijak anak tangga pertama, untuk turun ke tingkat bawah.
“Argh!!!” Satu suara itu muncul dari bilik yang sama. Dan serentak itu, terdengar lagi bunyi barang-barang lain terjatuh ke lantai.
Kaki Maira terpaku ke lantai. Dia tak pasti sama ada dia perlu berdiri di situ ataupun terus turun ke bawah.
“Mana semua orang pergi ni! Woi!” Suara itu muncul lagi.
Kali ini, Maira mula rasa tak sedap hati. Dia merenung pintu bilik hujung itu yang tertutup rapat. Entah kenapa, kakinya terus berpatah balik dan melangkah perlahan-lahan ke arah bilik itu. Dia ingatkan nak panggil Cikgu Hayati yang solat di tingkat bawah, tapi dia tak mahu mengganggu Cikg Hayati solat. Kalau dia tunggu Cikgu Hayati pula, manalah tahu kalau-kalau orang yang menjerit tadi tu memang tengah ada masalah dan perlukan pertolongan dengan cepat?
Maira berdiri di depan pintu bilik itu. Dia pelik siapa yang berada di dalam bilik ini. Dahlah ini kali pertama dia datang rumah Cikgu Hayati, dan dia langsung tak kenal siapa ahli keluarga Cikgu Hayati selain Zati ( itu pun Cikgu Hayati baru beritahu tadi ). Yang pasti, yang menjerit tadi suara lelaki. Tak apa ke kalau dia masuk bilik ni?
“Semua orang dalam rumah ni dah pekak ke apa?!”
Terkejut dengan jeritan itu, tangan Maira spontan membuka pintu bilik itu. Dan dia tergamam di depan pintu bilik yang… bersepah. Baju-baju dan selimut berselerak di atas lantai. Di sebelah katil, meja kecil dah terbalik – seolah-olah memang sengaja dicampak oleh tuannya. Dan beberapa pinggan, mangkuk, dan cawan berterabur di sebelah meja yang tertangkup itu. A… apa semua ni?
“Hoi! Yang kau tercegat kat situ kenapa? Tak nampak air kat dalam jag ni dah kosong? Kau nak aku mati kehausan ke apa?!” Suara itu menengking lagi.
Mata Maira terarah pada sesusuk tubuh yang duduk di atas katil. Dia tak berapa jelas dengan wajah lelaki itu sebab suasana bilik itu yang kelam. Tingkap bilik tertutup, langsir tak terselak. Macam lelaki ni boleh hidup dengan bilik yang…
“Hoi, pekak! Cepatlah ambik jag ni! Isi air!” Kali ini memang terang-terang ayat itu ditujukan kepada Maira. Lelaki itu terus mencampakkan jag plastik yang kosong itu ke arah pintu. Dan jag itu mendarat elok di hujung kaki Maira.
Maira perhatikan saja jag itu bergolek di kakinya. Kurang ajar!
“Astaghfirullahalazim… Ilman!” Suara Cikgu Hayati tiba-tiba muncul di sebelah Maira.
Cikgu Hayati terus memetik suis lampu bilik itu. Terang benderang terus jadinya. Dan Maira dapat tengok dengan jelas keadaan bilik itu yang sangat-sangat-sangat selerak! Matanya naik pula pada lelaki kurang ajar di atas katil itu. Dengan rambut yang berserabut, jambang yang entah sejak zaman bila tak bercukur, dengan muka tak mandi, tak rimas ke hidup dengan gaya selebet macam tu?
“Kan mama dah cakap banyak kali, kalau nak apa-apa, panggil mama. Yang Man jerit-jerit sampai baling barang ni kenapa?” Cikgu Hayati bersuara sambil mengutip segala barang yang berselerak di atas lantai.
Mama? Yang duduk macam orang sakit kat atas katil tu… anak Cikgu Hayati?
“Air masak dah habis, ma. Apa si Kak Jun tu malas sangat nak isi air? Berhentikan je la dia tu!”
“Tak payah susah-susah nak berhentikan, Man. Kak Jun memang dah berhenti pun. Siapa yang tahan dengan perangai Man yang baran ni?” Suara Cikgu Hayati dah mula tinggi. Inilah kali pertama Maira tengok Cikgu Hayati naik angin selepas beberapa tahun dia tamat zaman sekolah.
“Ha, dah tak payah upah siapa-siapa jaga Man lagi lepas ni. Man boleh jaga diri Man sendiri la, ma. Mama je yang selalu rasa Man ni menyusahkan.” Si Ilman tu bersuara, agak kurang ajar bagi Maira. Si Ilman ni tak tahu ke yang dia tengah bercakap dengan ibu sendiri? Dia tak tahu ke yang bercakap kasar dengan ibu itu satu dosa?
Maira boleh nampak yang air muka Cikgu Hayati berubah. Tanpa sebarang amaran, Cikgu Hayati terus melangkah ke arah pintu dan menarik tangan Maira untuk keluar dari bilik itu. Maira sempat menjeling anak Cikgu Hayati yang tak reti-reti nak minta maaf itu. Gila ke apa bercakap kasar dengan ibu sendiri?
Share this novel