Dia bukan berniat nak pasang telinga. Tapi, dia ‘TER’pasang telinga sebab dia boleh dengar perbualan ( ataupun lebih tepat lagi : pergaduhan ) antara Ilman dengan Irsyad masa dia nak keluar dari bilik Zati. Dia sebenarnya baru selesai solat Asar dan mahu turun dan terus balik. Tapi, dia terpaksa ‘berkurung’ sekejap dalam bilik Zati sebab dia tak nak Irsyad tahu yang dia terdengar pergaduhan dua beradik itu.
“Berapa kali abang nak cakap? Rajin-rajinkan diri tu berlatih berjalan. Kalau tak, sampai bila-bila pun kau terperap kat bilik ni.” Itu suara Irsyad.
“Ah, kau pun sama je dengan semua orang. Kalau dah memang tak nak aku duduk sini, cakap je la. Tak payah nak guna alasan suruh aku berlatih la, apa la.” Dan itu suara si Ilman.
“Ya Allah. Man, tolong la jadi dewasa, Man. Kau tak fikir ke perasaan mama dengan keadaan kau macam ni? Kau ingat kitorang suka ke tengok kau tak terurus macam ni?”
“Kalau kau balik sebab kau nak bising-bising kat aku, kau boleh pergi, abang. Aku tak perlukan nasihat daripada kau.”
Cis, rupa-rupanya dengan semua orang pun dia kurang ajar! Dasar tak ada adab!
“Kau ingat kalau abah masih hidup, dia suka tengok kau macam ni? Hah?” Irsyad bertanya dengan nada suara yang agak tegas. Terserlah sikap sebagai seorang abang sulung dari nada suaranya itu.
“Jangan sebut pasal abah kat sini.” Dan nada suara Ilman itu berbaur serius.
“Kenapa? Sebab kau tak boleh terima hakikat yang sebab kau abah meninggal? Hah?”
Maira kerut dahi. Ilman yang menyebabkan abah mereka meninggal?
“Aku dah cakap…” Nada suara Ilman sangat serius. “… jangan sebut pasal abah kat sini!” Dan serentak itu, terdengar bunyi barang-barang dijatuhkan dengan kasar dari meja. Maira dah dapat agak yang mesti Ilman melemparkan semua barang-barang itu ke lantai.
“Kalau kau dah boleh terima hakikat yang kena kau move on, baru abang berhenti ungkit pasal benda ni. Kalau tak, kau akan selalu dengar pasal benda dari abang.”
“Keluar! Aku cakap keluar!!!” Maira mengecilkan badan bila dengar jeritan itu. Kalau sebulan dia tolong Cikgu Hayati kat sini, agaknya boleh nipis gegendang telinga dia sebab asyik dengar jeritan si Ilman ni.
Tak lama selepas itu, terdengar derap langkah kaki Irsyad keluar dari bilik Ilman dan menuju ke tingkat bawah. Maira pula berhati-hati membuka pintu bilik Zati dan keluar dari situ. Dia takut kalau Ilman perasan yang dia pasang telinga pergaduhan dua beradik itu. Selepas tutup semula pintu bilik Zati, Maira terus menghalakan langkah ke tangga. Tapi, langkahnya tiba-tiba terhenti sebab…
… sebab dia terdengar esakan kecil dari bilik Ilman.
Terus kaku langkah Maira. Perlahan-lahan dia menoleh, dan anak matanya menangkap tubuh Ilman yang tengah menunduk di atas katil, sambil menggenggam cadar, dengan bahunya yang terhinggut-hinggut. Buat beberapa saat, Maira terpaku di situ sambil matanya tak lepas dari memandang Ilman. Dan telinganya tak lepas dari mendengar esakan daripada lelaki baran itu.
Share this novel