AISYA SOFIYA (BAB 6)

Romance Series 15439

AISYA SOFIYA menantikan suaminya pada malam itu, dia tidak sabar-sabar ingin memaklumkan kepulangan Rafzal Haris ke Malaysia. Suaminya pasti gembira mendengar berita itu, tapi sayang penantiannya hanya sia-sia membuatkan hatinya hambar. Tengku Zarith masih tidak pulang. Puas dia menelefon suaminya, namun tidak dijawab. Jiwanya selalu menanggung luka yang parah, perit pedih dihiris sembilu kasih.

Dua tiga hari berlalu, Rafzal Haris terserempak dengan Aisya Sofiya di tempat membeli-belah. Lelaki itu mengajaknya makan. Dia bersetuju saja dengan pelawaan itu atas dasar kawan baik. Dari situ sempat mereka berbual-bual. Namun kali ini perbualannya lebih serius. Peribadi.

“Maaf kalau saya tanya, Zarith dengan Aisya ada masalah ke?”

Pertanyaan itu sepi tidak dijawab Aisya Sofiya.

“Kalau ada apa-apa bagitahulah saya, saya boleh tolong nasihatkan Zarith atau….”

Kali ini percakapan Rafzal Haris dipotong Aisya Sofiya laju, “Kami tak ada apa-apa masalah. Semuanya baik-baik saja. Saya beruntung dapat suami macam Zarith tu, baik orangnya. Suka menolong isteri, suka senangkan hati saya dan seorang suami yang sangat penyayang. Saya benar-benar bahagia dengannya, cuma Zarith agak sibuk sejak kebelakangan ini. Aisya faham, bukan senang nak senang, semuanya memerlukan pengorbanan. Zarith tu bercita-cita tinggi, mempunyai matlamat dan prinsip tersendiri. Aisya nak semua impian dia terlaksana,”

Aisya Sofiya memuji suaminya, dia tidak mahu sesiapa tahu mengenai hal rumahtangganya yang sedang bergelora. Dia menutupi setiap kekurangan suaminya dengan sekuntum senyuman yang berwajahkan pelangi dan berbekalkan hati yang tabah pada setiap peluk doa walaupun suaminya seringkali menghancurkan hatinya.

Rafzal Haris mengerti hati itu. Aisya Sofiya tidak bijak menyimpan gelora perasaannya. Ada getaran tangisan pada suaranya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam rumahtangga Aisya Sofiya. Senyuman itu terlalu plastik! Dalam senyuman itu ada luka dan duka yang tersirat di sebalik hati. Hati yang kian rapuh. Sebenarnya dia pernah terserempak dengan Tengku Zarith bersama seorang perempuan di salah sebuah hotel. Mereka berdua kelihatan begitu mesra, tapi dia tidak sampai hati untuk menghancurkan hati seorang perempuan sesetia Aisya Sofiya untuk mengungkap sebuah kebenaran.

Dalam tidak sedar sebenarnya Rafzal Haris juga tersentuh mendengar kata-kata Aisya Sofiya. Hatinya berdesis kecil, ‘Sungguh bertuah kau Zarith memiliki seorang isteri sebaik Aisya Sofiya. Dia begitu menjaga maruah kau. Jika hati seorang perempuan sesetia ini kau masih tidak tahu menghargai, kaulah lelaki yang paling malang dalam dunia ni’.

*****
JAM menunjukkan pukul dua pagi. Aisya Sofiya yang terlelap di sofa tersedar. Dia tidak sedap hati, dia risaukan suaminya yang masih belum pulang. Tiba-tiba telefonnya berdering, ada nombor yang tidak dikenali menelefonnya.

“Apa?” Ucap Aisya Sofiya tergamam. Air matanya mengalir laju melewati pipinya ketika menerima kenyataan itu.

Dia baru saja di maklumkan untuk ke Pejabat Agama bagi menyelesaikan kes suaminya yang baru saja ditangkap khalwat dengan seorang perempuan di salah sebuah hotel. Kenyatan pahit itu di kunyahnya perlahan-lahan walaupun menyakitkan jiwanya.

Setengah jam kemudian Aisya Sofiya melangkah keluar dari rumah banglonya. Dalam perjalanan itu hatinya bagaikan di tusuk dengan belati yang tajam. Sekali lagi air matanya mengalir, dia tidak mampu membendung rasa sebak di dadanya pada pagi itu dalam kedinginan yang mencengkam tubuhnya. Sebelum keluar dari keretanya dia menyeka air matanya. Dia perlu lebih tabah dan kuat untuk berhadapan dengan semua kenyataan pahit itu. 

Tengku Zarith semakin di belasah resah. Dia meramas rambutnya seolah-olah kusut memikirkan isterinya. Dia tidak bersalah, seingatnya Natasya yang memerangkapnya. Antara dia dan Natasya tidak ada apa-apa yang berlaku. Ini semua perangkap Natasya. Sungguh, dia tidak mahu kehilangan Aisya Sofiya. Dia sudah mengakui kesilapannya, dia terlalu mengejar nama untuk majukan syarikatnya, mengejar matlamatnya sehingga dia mengabaikan hati seorang isteri yang setia di sisinya selama ini. Dia sepatutnya lebih menghargai hati isterinya. Namun dia mula merasai getaran kehilangan. Dia rasa takut. Dia kenal Aisya Sofiya dengan baik. Jika hati itu benar terluka ‘Tengku Zarith’ mungkin hanya menjadi sejarah dalam hidup Aisya Sofiya. Dia takut namanya terbuang dari dalam hati isterinya.

“Sayang…” Panggil Tengku Zarith apabila melihat kelibat isterinya yang hanya mengenakan cardigan dan seluar jeans.

Aisya Sofiya melihat Natasya yang juga masih berada di dalam bilik itu sedang memandangnya dengan pandangan yang tajam.

“So, Zarith nilah wife you. Cantik, tapi tak seseksi I kan? Sebab I seksilah you dengan I boleh terbabas,” ucap Natasya sambil tersenyum sinis memandang Aisya Sofiya yang masih bungkam di situ.

“Sayang jangan dengar cakap dia. Kita orang tak buat apa-apa pun. Dia yang perangkap ab…..” belum sempat Tengku Zarith mahu menjelaskan keadaan sebenar Aisya Sofiya memotong kata-kata suaminya, “Enough!”

Beberapa minit kemudian selesai segala urusan di situ Aisya Sofiya mula mengatur langkah mahu pulang. Dia langsung tidak memandang wajah suaminya. Tengku Zarith masih berusaha menghalang isterinya, “Sayang wait! Wait sayang. Dengar dulu penjelasan daripada abang. Jangan buat andaian sendiri,”

Tengku Zarith membuatkan langkah Aisya Sofiya terhenti. Natasya yang masih berada di situ tersenyum puas melihat lelaki itu merayu meminta satu peluang. Dia yakin Tengku Zarith sudah terbuang dalam hati isterinya untuk selama-lamanya. Dia gembira sudah dapat mengenakan lelaki itu.

“Sudahlah Tengku Zarith Bin Datuk Adnan Sazidin. Saya tak suka alasan! Satu dua mungkin boleh diterima, lebih daripada itu saya rasa bodoh kalau masih percayakan awak. Di mana sebenarnya harga diri awak? Mudah benar awak menduakan saya. Perasaan orang tersayang awak tidak pernah menghormati, apatahlagi menghargai hati saya,”

Aisya Sofiya mahu melangkah ke tempat dia memakir keretanya, namun pergelangan tangan itu dipegang Tengku Zarith. Mereka kini berada di bahu jalan untuk sesi pujuk memujuk, rayu merayu bagaikan sebuah drama di pentas lakonan.

Tengku Zarith tidak habis-habis menarik tubuh kecil isterinya ke dalam pelukannya, namun Aisya Sofiya menolak kasar tubuh sasa itu. Dia tersenyum sinis memandang suaminya itu. Hatinya terlalu sebak, tapi dia tetap mahu bersuara mengungkapkan rasa hatinya yang telah tercalar pedih.

“Saya sangat mencintai awak, Tengku Zarith. Saya ada perasaan dan pendirian saya tetap, perasaan saya dari dulu sampai sekarang masih sama, menjadi seorang pencinta yang setia pada awak. Ramai lelaki cuba mendekati saya, tapi saya tak pernah layan. Saya terlalu jaga hati awak, tapi awak langsung tak reti nak hormatkan hati dan perasaan saya, apalagi menghargai cinta dan kasih sayang saya terhadap awak. Awak biarkan diri awak hanyut dalam godaan perempuan tu. Di mana pendirian awak? Di mana janji awak pada saya? Awak mungkir janji cinta kita!”

Aisya Sofiya memejamkan matanya, menarik nafas dalam seakan cuba mencari kekuatan untuk melafazkan sesuatu yang paling berat, “Dan hari ni saya nak ucapkan terima kasih pada awak sebab dah buktikan pada saya yang awak bukanlah seorang suami yang terbaik untuk hidup saya, dunia dan akhirat saya,”

Tatkala melihat air mata Aisya Sofiya mengalir Tengku Zarith menangis. Dia terlalu takut kehilangan seorang perempuan yang sangat mencintainya dengan setulus hatinya. Dia tahu dia bersalah, dia juga terluka kerana mendekati kaca, sedangkan dia tahu kaca itulah yang akan membuatkan dia kehilangan banyak hal dalam hidupnya.

“Sayang…. abang minta maaf. Maafkan abang,” ucap Tengku Zarith perlahan yang sudah lecur dengan air mata. Biar. Biar orang nak kata dia lelaki lemah kerana menangis. Dia tidak peduli, yang dia tahu hatinya terlalu mencintai isterinya dan kerana perasaan itulah dia tidak segan silu menangis. Bahkan, dia sanggup melutut di kaki isterinya.

“Kalau sebelum ni awak dengar lafaz cinta dan rindu saya, tapi hari ni saya nak awak tahu hati saya dah mati rasa untuk awak. Tolong jauhi saya. Tolong jangan halang saya untuk pergi jauh daripada hidup awak,”

Selepas menghabiskan kata-kata itu entah datang dari arah mana, sebuah kereta merempuhnya dalam keadaan mabuk.

“Sayangggggg!!!!!!!!” Jerit Tengku Zarith sekuat hatinya.

 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience