AISYA SOFIYA(BAB 7)

Romance Series 15449

Semasa menunggu di ruang bilik menunggu di luar Unit Rawatan Rapi (ICU). Tengku Zarith menyalahkan dirinya sendiri, dia menangis semahunya. Tiba-tiba Rafzal Haris datang ke situ menyapanya. Dia tergamam.

“Kau!”

“Bila kau balik Malaysia?”

“Dah berminggu aku di sini,”

“Kenapa kau tak bagitahu aku?”

“Aku dah bagitahu Aisya supaya bagitahu kau. Dia tak bagitahu kau ke?” Soal Rafzal Haris.

“Kalau aku tahu tak adalah aku tanya kau. Mungkin dia lebih suka sembunyikan benda ni daripada aku. Korang mesti selalu jumpa di belakang aku ni,” balas Tengku Zarith menuduh.

“Macam mana kau tahu isteri aku kemalangan?” Sambungnya tidak berpuas hati. Rupanya hati itu masih cemburu walaupun dalam keadaan getir.

“Tak penting daripada mana aku tahu, tapi aku tak sangka lelaki macam kau ni bodoh! Mungkir pada janjinya,” jerit Rafzal Haris.

“Hey!!! Jaga sikit mulut kau!” Marah Tengku Zarith.

 “Dalam keadaan Aisya masih macam tu pun, kau masih nak cemburukan aku dengan dia. Kau tahu tak, kau tak layak jadi suami Aisya Sofiya!” Jerit Rafzal Haris sejurus selepas itu juga satu penumbuk melayang mengenai muka Rafzal Haris.

“Kau tak layak pertikaikan semua tu, aku sayangkan dia. Aku cintakan dia lebih daripada nyawa aku sendiri!” Jerit Tengku Zarith marah.

Rafzal Haris tersenyum sinis dan tiba-tiba ketawa mendengar kata-kata Tengku Zarith, sengaja dia mahu memancing kemarahan Tengku Zarith untuk menyedarkan sahabatnya.

“Cinta. Kau kata cinta? Kalau betul kau cintakan dia lebih daripada nyawa kau sendiri, kau takkan biarkan perempuan tu hancurkan rumahtangga kau, tapi apa yang kau dah buat pada dia. Kau hadiahkan dia luka, rasa sakit dan kecewa. Kau langsung tak hormatkan perasaan dia, apatahlagi menghargai hatinya,”

Tengku Zarith memalingkan wajahnya daripada Rafzal Haris, dia bersandar di tepi dinding ruang menunggu. Hatinya terlalu sakit mendengar lontaran kata-kata itu. Egonya tercabar.

“Kau tahu tak masa aku jumpa dengan dia dan tanya masalah rumahtangga kau orang, dia langsung tak cakap bukan-bukan pasal kau, malah dia cakap pada aku kau adalah seorang suami yang baik untuk dia. Dia begitu menghargai suami dia, dia terlalu jaga hati kau. Dia seorang isteri yang baik, yang cukup sempurna tapi kau? Kau buat apa pada dia Tengku Zarith? Hampir empat tahun dia menunggu kau pulang dari Paris. Cuba kau fikir, aku rasa kalau perempuan lain belum tentu boleh tunggu lama macam tu, tengoklah betapa setianya dia pada kau,”

Tengku Zarith meramas-ramas rambutnya, dia semakin diburu rasa bersalah mendengarkan kata-kata Rafzal Haris. Matanya kembali berkaca, Rafzal Haris dapat melihat mendung pada wajah itu, terlalu rumit dan pedih.

Rafzal Haris kembali bersuara, kali ini agak perlahan, “Zarith cinta dia hanya pada kau, bukan untuk aku walau sebesar manapun cinta aku pada dia. Kau jangan risau, aku takkan rampas dia daripada kau. Untuk pengetahuan kau aku dah kahwin, isteri aku ada dekat luar negara sebab tu aku tak boleh nak lama-lama dekat sini. Kalau kau sayangkan dia tolonglah untuk kali ni aku nak kau belajar daripada kesilapan ni. Hargai orang yang kau sayang, hargailah orang yang masih marah, masih peduli, ambil kisah terhadap kau sebab kadang-kala Allah hanya meminjamkan mereka untuk seketika pada kita. Jadi, aku harap lepas ni kau boleh jaga dia baik-baik dengan penuh kasih sayang,”

Rafzal Haris menepuk-nepuk bahu Tengku Zarith seolah-olah memberikan sebuah kekuatan kepada sahabatnya.

“Terima kasih Rafzal, aku janji ini merupakan kali pertama dan terakhir aku sakitkan hati dia. Lepas ni aku takkan bagi sakit yang sama untuk dia, ni janji aku,” balas Tengku Zarith khilaf.

“Baguslah kalau macam tu, aku berharap kau pegang janji itu. Eh, Zarith okaylah aku tak boleh lama kat sini, lagipun esok aku nak balik Australia. Bila Aisya dah sedar sampaikan salam aku pada dia dan jangan lupa bagitahu aku tentang keadaan dia sekali ya. Kau boleh contact nombor ni,” balas Rafzal Haris memberikan kad bisnes yang tertera nama dan nombor telefonnya.

*****

Sudah seminggu Aisya Sofiya terlantar hanya berbekalkan air dan glukos yang dibekalkan melalui drip yang disuntik di pergelangan tangannya. Sekarang dia sedang berjuang antara sebuah kehidupan dan kematian. Tengku Zarith cuba menahan sebak, hati lelakinya menangis kerana sanggup menghadiahkan luka untuk isterinya. Jari jemari runcing isterinya diramas perlahan, dia mengucup tangan isterinya berkali-kali. Kehangatannya terasa namun tetap dia sedang berjuang untuk sebuah kehidupan.

Tengku Zarith tidak pernah berhenti mendoakan agar isterinya membuka matanya dan kembali ke pangkuannya. Dia berharap isterinya mampu memaafkan setiap kesilapannya. Kecederaan di kepala yang serius akibat kemalangan itu menyebabkan isterinya koma.

Tengku Zarith bingkas dan terus meninggalkan isterinya yang terbaring keseorangan. Namun kakinya terasa berat, dia sekali lagi menoleh ke arah sekujur tubuh yang hanya ditemani dengan jalinan wayar-wayar. Tiba-tiba dia terlihat mutiara jernih menitis perlahan dari kelopak mata isterinya. Tengku Zarith kembali dan duduk di sisi isterinya sambil menggenggam erat tangan itu, kemudian terasa jari-jemarinya bergerak lemah.

“Sayang abang betul-betul risau masa sayang koma. Abang takut kehilangan sayang,” itulah ungkapan pertama yang keluar daripada mulut Tengku Zarith apabila isterinya sedar daripada koma.

“Abang minta maaf. Abang salah, abang terlalu mengejar pada matlamat yang abang nak capai sampaikan abang lupa diri sehingga mengabaikan perasaan orang yang abang sayang. Maafkan abang sayang, tolonglah maafkan abang. Janganlah marah abang, kita mulakan hidup baru ya,” ucap Tengku Zarith sayu sehingga menyentuh perasaan Aisya Sofiya. Dia merasai ketulusan itu. Aisya Sofiya mengangguk perlahan dan tersenyum. Melihat senyuman isterinya dia sudah memahami isterinya sudah memaafkan kesilapannya.

“Terima kasih sayang sudi maafkan abang,”

“Sama-sama,” balas Aisya Sofiya perlahan.

“Sayang macam mana, dah rasa okay sikit? Petang ni papa dan mama akan ke sini. Dia orang dah ambil tiket flight,”

“Alhamdulillah, dah rasa okay. Abang bagitahu papa dan mama ke?”

“Ha’ah… sebelum ni papa dan mama dah datang tengok sayang, tapi dia orang datang kejap saja. Papa ada hal time tu,”

“Owh… tak apalah,”

“Sayang ada nak makan apa-apa ke? Abang boleh tolong belikan, Kalau nak masak untuk sayang pun abang boleh, sayang mesti lapar kan,” ucap Tengku Zarith ceria saja wajahnya. Aisya Sofiya hanya tersenyum mendengar celoteh suaminya.

“Kenapa pandang abang macam tu? Rindukan abang ya, seganlah sayang pandang lama-lama macam tu,” usik Tengku Zarith. 

“Perasan betul! Tak ada maknanya nak rindu-rindu,” balas Aisya Sofiya membuatkan Tengku Zarith tergelak.

Sejak peristiwa itu, Tengku Zarith menjaga isterinya dengan baik, dia menunaikan segala janjinya dengan sempurna. Dan sejak itu juga Aisya Sofiya adalah satu nama indah yang tidak pernah padam dari hidupnya dan segala memori indah bersamanya tidak pernah hilang dari ingatannya, malah cintanya semakin hari semakin membugar seindah kuntuman bunga mawar yang sentiasa mekar pada pagi hari kerana Aisya Sofiya adalah bunga cinta dalam hatinya.

TAMAT (AISYA SOFIYA)

NEXT- DIALAH CINTA SEJATI :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience