MENYEDARI bilik air di biliknya tidak berfungsi, Syazana berlari keluar. Selepas seharian dia terperuk di dalam bilik kerana enggan bertemu suaminya, akhirnya Syazana kalah dengan pundi kencingnya sendiri. Terkial-kial dia berlari mencari bilik air dan semerta dia menarik nafas lega sebaik terpandangkan sebuah pintu di dapur. Syazana yakin itu ialah bilik air. Dia pantas memulas tombol pintu itu dan…
“Ahhhh!” Jeritan Syazana bergema di rumahnya sebaik pintu bilik air itu terbuka.
Akif di dalamnya semerta menutup telinga. Bingitlah perempuan ni! Suara dia dengan suara Mama sama je, macam petir! Desis hatinya.
“Kau buat apa kat bawah ni?”
“Aku baru lepas mandilah. Buta ke? Tak nampak rambut aku basah?” Soalan berbalas soalan. Akif berwajah selamba lalu menolak tubuh Syazana di depan bilik air itu. Sewaktu Akif mendekatinya, Syazana menutup matanya. Malu pula rasanya mahu melihat tubuh Akif yang hanya bertuala di bahagian bawah sekaligus mendedahkan bahagian atas tubuh lelaki itu.
“Kau.. Kau tunggu kat sini. Aku nak buang air jap. Kau tunggu eh..” Niat ingin membuat perhitungan dengan lelaki itu terbantut apabila Syazana tidak mampu menahan lagi. Dia berlari masuk ke bilik air dan berniat untuk mengunci pintu bilik air itu namun sekali lagi dia terjerit sendiri.
“Haishh, pintu ni tak boleh kunci pulak. Hisy!”
Omelan Syazana jelas kedengaran di telinga Akif. Dia senyum mengejek walaupun Syazana tidak dapat melihatnya. Akif tidak mengendahkan kata-kata Syazana sebentar tadi dan terus berlalu naik ke biliknya dengan siulan di bibir.
Usai menyudahkan urusannya di bilik air, Syazana keluar dengan perasaan lega.
“Hm, baru lega. Alamak, lapar pulak. Nak makanlah..” Syazana berlalu ke dapur dengan harapan akan menemui makanan bagi mengisi perutnya. Satu persatu pintu kabinet dibuka dan laci juga ditarik tetapi semuanya kosong. Tidak ada walau sebungkus mi segera pun di situ. Rasa kecewa mengambil tempat di hatinya. Dia menoleh dan tiba-tiba wajahnya tersembam ke sesuatu.
“Tak ada makanan ke? Aku lapar ni,” soal Akif bersahaja. Syazana yang menyedari wajahnya tersembam di dada lelaki itu pantas menolak tubuh Akif dengan kuat.
“Hisy sakitlah..” Akif menggosok dadanya perlahan dengan dahinya yang berkerut.
“Siapa yang suruh jauhkan diri dari siapa? Dah, jauh sikit..” Syazana pantas membela dirinya sendiri dengan mengulang semula kata-kata Akif tadi. Akif terdiam sendiri apabila menyedari kata-kata Syazana ada benarnya.
“Memang tak ada makanan ke weh? Aku lapar ni,” Jika tadi tangannya menggosok dada, kini tangannya menggosok perutnya pula. Melihat gelengan Syazana, Akif kecewa.
“Dalam luggage aku pun tak ada makanan. Kau ada makanan tak?” tanya Akif lagi.
Sebenarnya mereka berdua baru pulang dari York, United Kingdom. Bagasi yang mereka bawa itulah yang dibawa daripada sana sebenarnya. Pada asalnya, destinasi utama mereka ialah untuk pulang ke rumah masing-masing tetapi kewujudan Marianna di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara mengejut membuatkan mereka tidak mampu mengelak.
Di dalam kereta, Syazana dan Akif sibuk memberi alasan untuk pulang ke rumah keluarga sendiri tetapi Marianna berkeras mahukan mereka pulang ke rumahnya. Kerana geram, akhirnya Syazana berterus-terang mengatakan yang mereka suami-isteri mahu bercerai, maka mereka tidak betah duduk bersama di bawah sebumbung. Mulalah Marianna naik angin.
Bibir yang pada asalnya dihiasi senyuman bertukar selepas mendengar perkataan ‘cerai’. Leteran memenuhi ruangan kereta dan tidak semena-mena Hartini juga terpaksa mendengarnya.
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Marianna di dalam kereta tadi, “Kamu berdua duduk kat rumah Mama tu seminggu. Dah duduk berdua, fikir balik samaada kamu betul-betul nak bercerai ataupun tak. Mama ingatkan dah dua tahun kat York, dah okay dah. Rupa-rupanya tak jugak! Ingat bab kahwin ni main-main ke?!”
Apabila Akif menjawab, “Alaa, Mama dengan Papa pun cerai jugak..”, suara Marianna jadi lebih nyaring berbanding tadi hinggakan kedua-dua anak dan menantunya hanya mampu tertunduk diam.
Dan di sinilah mereka berdua sekarang. Entah bila Marianna membeli vila ini, Akif sendiri tidak tahu.
“Maggi Cup ni adalah. Kau okay tak? Nasib baik aku bawak balik electric kettle aku ni..” suara Syazana melenyapkan ingatan Akif tentang peristiwa tadi. Letih tubuhnya tidak hilang lagi dan jumlah wang di dompetnya tidak mengizinkannya untuk memilih lantas dia mengangguk sahaja. Syazana menjerang air menggunakan cerek elektrik yang dibawanya dari York kemudian dia duduk di kerusi tinggi di bar dapur itu. Suaminya pula duduk bertentangan dengannya.
“Kenapa kau pergi toilet bawah? Bilik kau tak ada bilik air ke?” tanya Syazana dalam nada menyindir. Mustahil vila sebesar ini hanya mempunyai satu bilik air sahaja. Akif pamer sengihan sinisnya.
“Bilik kau pun tak ada bilik air ke? Ke kau sengaja keluar sebab kau nak jumpa aku?”
“Ew eww. Please. Jangan nak perasan sangat. Toilet bilik aku rosaklah,” jawab Syazana dengan bibirnya sengaja dicemih. Kemungkinan untuk Syazana sendiri mahu bersua muka dengan suaminya itu ialah 0.009% sahaja. Selagi dia boleh elak, Syazana pasti mengelak daripada berjumpa suaminya yang sekadar atas kertas itu.
“Toilet bilik aku pun rosaklah. Tak payah nak perasan aku turun bawah sebab nak jumpa kau.. Dahlah tombol pintu pun rosak, tak boleh kunci,” omel Akif sambil matanya setia memerhati gerak-geri Syazana.
Cerek elektrik yang mengandungi air panas itu diambil Syazana lantas dia menuang air ke dalam bekas mi segera. Akif menghulurkan bekas mi segeranya dan tanpa sebarang kata, Syazana menuang air panas ke dalamnya.
Sementara menunggu, Akif dan Syazana sama-sama mendiamkan diri. Tiada sebarang topik untuk mereka bincangkan sama sekali. Jari Syazana menguis bekas mi segera tersebut manakala Akif kebosanan. iPhone miliknya tertinggal di tingkat atas dan dirinya terasa malas untuk naik ke bilik.
Share this novel