“Kau diam! Mentang-mentanglah kakak kesayangan kau dah balik, kau pun nak berlagak depan aku? Haa, baguslah! Dua-dua berambus daripada rumah aku! Bawak sekali laki kau ni! Aku pun tak nak tengok muka korang semua. Menyusahkan je.Berambus! Berambus!!”
Rumah kecil itu bergema dengan jeritan Salamah. Dia benar-benar marah dengan sikap kedua-dua anaknya itu. Tidak cukup dulu arwah suaminya menyusahkan hidupnya, kini anak-anaknya pula. Dan apa yang lebih membuat dia marah ialah Syazana memalukan dia di depan Kamisah! Bagaimana caranya untuk dia berhadapan dengan rakan-rakannya selepas ini?
“Mak.. Jang…”
Syazana menarik Farhana mendekatinya, sekaligus mematikan niat adiknya itu untuk memujuk si ibu.
“Mak masih tak berubah, kan? Kali ni kawan-kawan gila mana pulak yang mak terikut-ikut? Diorang laburkan duit kat mana pulak? Berapa banyak pulak mak hilang duit kali ni? Mak memang tak serik-serik, kan?!”
Pang! Pipi Syazana ditampar Salamah yang daripada tadi menahan marahnya. Farhana dan Akif sama-sama terpempan manakala Syazana masih berwajah biasa. Syazana pegang pipinya yang mulai merah akibat tamparan itu. Isterinya yang ditampar tetapi Akif yang terasa sakit.
“Kecik-kecik tak nak mati, dah besar menyusahkan orang!”
“Kenapa mak tak bunuh je Zana waktu Zana kecik? Kalau Zana dah mati, mak tak payah sakit hati ada anak macam ni. Zana sendiri pun takkan jadi anak derhaka!”
“Akak!”
“Zana!”
“Mak nak terus mengungkit? Zana tahu Zana takkan boleh balas jasa mak sampai bila-bila. Terima kasih sebab lahirkan Zana. Terima kasih sebab besarkan Zana. Terima kasih sebab jaga Zana walaupun sampai darjah 5 je sebab lepas tu Zana sendiri yang jaga rumah ni, jaga adik. Mak nak Zana bagi mak berapa? Mak nak Zana bayar berapa jadi mak boleh berhenti buat benda bodoh dan jadi mak kitorang yang betul-betul mak?!!” Bukan niatnya untuk menengking ibunya tetapi Syazana sudah terlepas laku.
Puas hatinya kini dapat menyuarakan apa yang dia pendam bertahun-tahun lamanya.
“Nanti Zana transfer duit dalam akaun mak. Terpulanglah kat mak nak buat apa dengan duit tu. Nak melabur lagi ke, nak join MLM lagi ke.. Terpulanglah kat mak. Tapi adik ikut Zana,” Syazana memberi kata putusnya kepada Salamah.
Tanpa menunggu sebarang jawapan dari Salamah, Syazana menarik tangan adiknya masuk ke bilik. Dia menarik beg baju yang terletak di atas almari Farhana.
“Adik kemas barang-barang adik. Bawak benda penting je. Nanti akak belikan yang baru,” Syazana memberi arahan dan dalam masa yang sama, tangannya sendiri sudah menarik keluar beberapa helai baju Farhana.
“Kak…”
“Dengar cakap akak! Kalau tak, adik takkan jumpa akak lagi sampai bila-bila,” ugut Syazana, membuatkan Farhana terkedu sendiri. Dia tahu, ugutan kakaknya selalunya menjadi kenyataan.
*****
AKIF menutup pintu perlahan-lahan lalu dia menuruni anak tangga. Sebaik terpandangkan adik iparnya di ruang tamu, Akif mara menghampiri Farhana.
“Akak tidur lena?” tanya Farhana prihatin. Anggukan Akif membuatkan Farhana menarik nafas leganya. Farhana tunduk, malu berdepan dengan abang iparnya yang telah melihat drama keluarga mereka. Semalam Farhana sempat bersalaman dengan ibunya dan sekaligus meminta maaf bagi pihak dirinya dan Syazana. Dia juga berjanji kepada ibunya untuk memujuk Syazana sekaligus membawa Syazana pulang.
Akif menghela nafasnya sedalam mungkin. Dia pandang Farhana, bersedia untuk mengetahui kisah hidup Syazana yang sebenarnya. Dua tahun hidup bersama Syazana belum cukup untuk dia mengenali siapa Syazana sebenarnya.
“Adik.. Boleh tak adik cerita kat abang? Abang tak faham sebenarnya..” Akif memulakan bicaranya.
“Akak tak pernah cerita kat abang ke?” tanya Farhana semula dan dibalas dengan gelengan. Farhana senyum pahit seraya berkata, “Dah agak dah.. Akak memang tak pernah nak open up dengan orang lain..” Akif hanya mendiamkan diri, dia masih menanti cerita Farhana.
“Akak.. Dia sebenarnya dah banyak berkorban untuk kitorang..” Farhana memulakan ceritanya. Akif memasang telinganya dengan hati yang berdebar-debar.
“Dulu sebenarnya hidup kitorang tak seteruk ni. Ayah ada ladang kelapa sawit, kedai serbaneka dia sendiri tapi ayah meninggal waktu kitorang kecik lagi. Akak baru darjah 5, 11 tahun waktu tu.
Adik baru 5 tahun. Start daripada situlah mak dah mula lain. Setiap hari lepas niaga nasi lemak je, dia join mesyuarat tingkap, MLM semua. Akak baru 11 tahun tapi dia yang jadi ibu dalam rumah tu. Makan pakai adik semua dia yang jaga. Mak memang tak jaga kitorang langsung.
Mak kena tipu, duit dia kena bawak lari. Kitorang jual kedai serbaneka ayah, jual kereta semata-mata nak teruskan hidup kitorang. Kalau harapkan duit daripada mak, memang tak cukup. Jadi waktu akak Form 1, akak start kerja jadi pencuci pinggan sambil-sambil jual top-up. Bila adik nak kerja jugak, akak tak bagi. Akak cakap adik kena fokus study,” Farhana berhenti seketika apabila merasakan dirinya turut menjadi punca kepada keserabutan hidup Syazana.
Setakat ini, cerita Farhana sudah cukup untuk mengocak ketenangan Akif.
Selama ini hidupnya senang-lenang tanpa perlu memikirkan hal duit tetapi berbeza pula dengan Syazana. Sejak kecil Syazana mengerahkan tenaganya untuk dirinya dan juga adiknya.
“Mungkin sebab akak memang ikhlas, jadi Allah reward dia dengan akal yang bijak. Akak selalu dapat straight As untuk semua exam besar. Dah habis Form 5, dia sambung Form 6 pulak. Kawan-kawan yang lain terus masuk kolej atau matrikulasi tapi akak pilih Form 6 sebab dia cakap lagi jimat. Akak tetap kerja sambil belajar.. Lepas tu dia dapat tawaran pinjaman untuk sambung belajar kat University of York pulak. Mula-mula akak tak nak pergi sebab dia risaukan adik tapi lepas adik pujuk dia, barulah dia pergi.Adik ingatkan adik dah boleh berhenti susahkan mak dengan akak. Tiba-tiba adik pulak sakit, kena operate hati. Waktu tu mak jual ladang kelapa sawit.
Duit tu tak cukup sebenarnya. Bila akak tahu, dia cakap nanti dia masukkan duit.. Sejak tu mak selalu mintak duit kat akak. Kalau akak tak nak transfer duit kat akaun mak, mak mengamuk. Adik selalu kena tempiasnya jadi bila adik dah tak tahan, adik pulak paksa akak ikutkan je kehendak mak..”
Kali ini Farhana tidak dapat menahan tangisnya lagi. Air mata sudah jatuh ke pipi. Farhana sedar, sehingga dia menghembuskan nafas terakhirnya pun dia tetap tidak akan dapat membalas jasa kakaknya itu.
Mata Akif sendiri mulai berkaca, terbayang wajah sembab Syazana tadi.
Share this novel