“Kalau macam tu, aku jauh lagi baik daripada kau. Lupa ke? Selama ni siapa yang bayar duit rumah, duit makanan kita kat York?” tanya Akif selamba. Air muka Syazana berubah apabila mendengarkan itu. Niatnya untuk mengusik Akif seakan memakan dirinya sendiri.
“Kenapa diam? Bagilah towel tu!” Sekali lagi Akif meminta tuala tersebut tetapi Syazana dilihatnya seakan termenung memandangnya. Entah ke mana agaknya fikiran Syazana melayang, Akif tidak tahu. Angin yang memukul lembut tubuhnya yang basah semerta membuatkan Akif terasa sejuk. Malas mahu meminta untuk kali ketiga, Akif menarik tuala itu dari tangan Syazana dan memandangkan Syazana seakan tidak berpijak di bumi nyata, tubuh Syazana turut tertarik kepadanya.
Semuanya berlaku dengan pantas dan tahu-tahu sahaja Syazana kini berada di dalam pelukan Akif.
Syazana yang baru berpijak di bumi nyata terkebil-kebil sendiri apabila menyedari dirinya sedang dipeluk Akif. Akif turut terkesima dengan refleksinya sendiri yang bertindak memeluk Syazana.
Sesaat.. Dua saat…
Syazana dapat rasakan debaran di dadanya semakin menggila. Darah terus-terusan mengalir dengan lebih laju di dalam tubuhnya apabila pelukan Akif semakin erat. Syazana pejamkan matanya, begitu juga dengan Akif.
‘Kenapalah perasaan ni datang waktu kitorang dah nak bercerai?’
Tanpa disedari, soalan itu muncul di benaknya.
*****
AKIF bersila di atas lantai sambil matanya memandang pintu bilik Syazana yang bertentangan dengannya. Sengaja dia membelakangkan TV semata-mata untuk melihat ke arah itu. Tangannya mencapai surat khabar yang diselit di bawah pintu rumah setiap pagi. Akif yakin Hartini yang menyelitkan surat khabar tersebut seperti diarahkan Marianna.
Jemari Akif masih bermain di atas surat khabar itu tanpa niat untuk membacanya sama sekali. Dia lebih penasaran dengan keadaan Syazana di dalam bilik. Apakah yang sedang dilakukan isterinya itu? Apabila teringatkan peristiwa memeluk Syazana semalam, Akif tersenyum simpul. Terbayang pula wajah merah Syazana sewaktu dirinya hanya bertuala. Fikirannya menerawang pula memikirkan beberapa hari kebelakangan ini dan sekali lagi dia mengulum senyumnya.
Bunyi pintu dikuak membawa pergi semua ingatan mereka bersama, Akif berpura-pura membaca surat khabar. Matanya meliar di muka akhbar itu walaupun akalnya langsung tidak mencerna apa yang dibaca.
Syazana yang masih di muka pintu memandang Akif untuk beberapa saat sebelum dia berjalan menuju ke bilik air. Kertas merah yang dibawanya ditampal di depan pintu bilik air sebelum pintu ditutup. Akif melirik matanya dan kali ini senyumannya lebih lebar berbanding tadi.
Kertas merah yang tertulis ‘JANGAN MASUK TOILET!!’ beserta lukisan dilarang masuk itulah yang ditampal di pintu setiap kali Syazana menggunakan bilik air itu. Tampak ringkas tetapi cukup untuk menghiburkan hati seorang Akif Maliki.
“Dah kenapa sengih sorang-sorang?” tanya Syazana yang entah bila keluar dari bilik air itu. Akif tersentak, dia berpura-pura menyelak helaian akhbar ke muka seterusnya.
Akif berdehem walaupun tekaknya tidak gatal.
“Berita ni kelakar,” kata Akif sambil mengunjuk rawak ke helaian akhbar di tangannya. Syazana panjangkan lehernya untuk membaca tajuk berita yang dikatakan Akif itu dan semerta dahinya berkerut.
“Rumah orang tu terbakar, berani kau kata berita tu kelakar?”
Bulat terus biji mata Akif sebaik mendengarkan itu. Tajuk berita itu dibacanya dan matanya dikedipkan berkali-kali.
‘RUMAH DIJILAT API, MANGSA KEHILANGAN SEORANG ADIK DAN ABANG’. Terus hatinya merasa simpati kepada mangsa kebakaran itu yang boleh dianggap bagaikan jatuh ditimpa tangga.
Sudahlah kehilangan rumah sendiri, mangsa juga hilang ahli keluarganya di dalam insiden itu. Akif menolak surat khabar itu ke tepi manakala Syazana pula sudah duduk di atas sofa bertentangan dengannya.
Syazana ralit melihat sesuatu di telefon bimbitnya tanpa mempedulikan Akif yang sedang memandangnya.
“Kita memang kena cerai ke?” Dan automatik jari Syazana berhenti bergerak.
Dia tidak berani mengangkat wajahnya untuk bertentang mata dengan suaminya itu apalagi jantungnya berdetak hebat mendengarkan perkataan ‘cerai’ itu.
“Kita memang kena cerai ke?” ulang Akif.
“Ke.. Kenapa kau tanya? Kan aku dah mintak cerai daripada kita kat York lagi..”
“Tahu.. Tapi memang kita kena cerai ke? Macam mana kau boleh casually sebut perkataan ‘cerai’ tiap-tiap hari? Kau memang tak rasa kita ni ada future together ataupun kau dah ada orang lain?” tanya Akif jujur. Sememangnya dia sudah lama penasaran dengan sikap Syazana yang selamba sahaja menuturkan perkataan ‘cerai’ seolah-olah ianya perkara remeh.
Akif berpindah ke sebelah Syazana pula, menyebabkan Syazana beranjak sedikit dari duduknya. Akif menyentuh dagu Syazana untuk memandang tepat ke anak matanya selepas Syazana cuba melarikan pandangannya.
“Pandanglah aku sekejap..” pinta Akif dan Syazana akur.
“Dua tahun kita duduk sebumbung, sekatil. Kau tak rasa apa-apa untuk aku ke? Kau memang pergunakan aku je ke selama ni?” soal Akif ingin tahu.
Pergunakan… Ya, Syazana mempergunakan Akif sepanjang pernikahan mereka. Pertama kali Syazana mengaku kepadanya ialah beberapa bulan yang lepas sekaligus meminta dirinya dilepaskan. Pada awalnya, Akif seakan hidup dalam penafian. Sukar untuknya menerima kenyataan bahawa Syazana hanya memerlukan Akif kerana dia merupakan anak orang kaya. Tetapi selepas beberapa kali Syazana mengatakan perkara yang sama, akhirnya Akif nekad untuk menyiasat sendiri.
Share this novel