BAB 7

Humor Completed 9434

“MAK! MAK!” Syazana berlari masuk ke dalam rumah itu sambil menjerit memanggil ibunya. Sebentar tadi dia menerima panggilan ibunya yang mengatakan adiknya sakit maka Syazana terus berlari keluar tanpa mempedulikan Akif yang masih menantikan jawapannya.

Akif mengekori Syazana dan terus menghubungi Marianna sekadar untuk memberitahu mereka berdua terpaksa keluar. Pandai-pandailah Marianna fikirkan apa yang harus dilakukan dengan vila yang ditinggalkan tidak berkunci itu.

“Mak!” Sekali lagi Syazana menjerit memanggil ibunya.

“Iya.. Mak kat dapur ni..” Sahutan Salamah menarik kaki Syazana ke dapur. Mata Syazana melilau ke kanan dan kiri.

“Adik mana? Adik okay tak?” tanyanya tercungap-cungap. Mata Syazana melilau mencari Farhana, satu-satunya adik yang dia punya di dalam dunia ini.

“Adik tak balik lagi..”

“Adik masuk hospital ke? Tadi mak call, mak cakap adik sakit. Mana adik, mak? Mana?!”

Melihatkan Syazana seperti hilang arah, Akif mara mendekatinya. Salamah yang tadinya duduk kini berdiri.

“Ini ke suami Zana?” tebaknya dan sebaik Akif mengangguk, Salamah terus menarik tangan Akif.

“Ya Allah, ini rupa-rupanya menantu aku! Eh, Misah! Inilah dia menantu aku. Ya Allah, kacaknya..” Salamah memperkenalkan menantu yang tidak pernah ditemuinya itu kepada Kamisah, rakannya.

Akif yang tidak mengerti apa-apa hanya melemparkan senyuman kepada Kamisah sebelum dia mencium tangan Salamah yang juga baru dia jumpa untuk kali pertama.

“Mak!! Adik mana? Dia okay tak?!”

“Hisy, bisinglah Zana ni. Adik okay je la. Dia belum balik dari sekolah lagi,” marah Salamah apabila anak sulungnya itu tidak habis-habis bertanyakan perihal Farhana.

Syazana dan Akif saling berpandangan sebelum Syazana bertanya dengan lebih lanjut kepada orang tua itu. “Adik tak balik daripada sekolah lagi? Dah tu? Tadi mak call, cakap adik sakit!”

“Adik tak sakitlah. Dia sihat je. Sekejap lagi dia baliklah. Ni, tadi mak tipu je. Mak sebenarnya call nak suruh kau balik.. Pilihkan mak rantai mana yang mak patut beli,” bersahaja Salamah menjawab sambil tangannya mengambil empat utas rantai lalu ditunjuk kepada Syazana.

“Yang mana cantik? Yang ni? Atau yang ni? Ke yang ni? Mak tak tahulah nak pilih mana, rambang mata dibuatnya!” Salamah mengakhiri bicaranya dengan tawa.

Kamisah ketawa sama melihatkan rakannya itu yang sejak tadi rambang mata. Kalau susah sangat, beli semua! Aku pun dapat untung lebih! Hati Kamisah berbisik jahat.

Akif dapat mengesan perubahan air muka Syazana. Jangankan Syazana, dia sendiri bengang dengan perbuatan ibu mertuanya itu.

“Mak tipu Zana? Mak cakap adik sakit, Zana kelam-kabut balik sini sebab risaukan adik tapi rupa-rupanya mak tipu je?”

“Iya.. Adik kau okay je. Haa tu adik kau. Panjang umur dia!” kata Salamah sambil mengunjuk kepada seorang insan yang sedang berjalan menghampiri mereka. Syazana menoleh ke belakang, begitu juga Akif. Seorang pelajar sekolah menengah berumur 17 tahun terus memeluk Syazana dengan wajah riangnya.

“Ya Allah, akak dah balik! Rindunya kat akak!!” Ceria si gadis memeluk kakaknya, tak lekang senyuman dari bibirnya.

Farhana pandang Akif pula dan bertanya, “Suami akak ke?” Syazana angguk sebagai jawapan.

“Uuu, handsome. Aaaa, rindunya akak!! Dah tiga tahun tak jumpa akak!” Farhana terus memeluk erat kakaknya untuk melepaskan rindu.

Syazana sekadar membalas pelukan adiknya ala kadar. Meski rindunya terhadap sang adik menggunung, rasa marahnya kepada sang ibu lebih melahar. Syazana pandang ibunya, masih cuba menahan rasa marah di hati.

“Sampai hati mak tipu Zana cakap adik sakit, kan?”

“Adik sakit? Bila? Alhamdulillah, adik okay je. Lepas dah operate hari tu, memang adik okay je..” Farhana yang masih tidak mengerti apa-apa berkata polos. Melihat gelengan Akif tanda menyuruhnya jangan berkata apa-apa menimbulkan tanda tanya Farhana. Barulah dia sedar wujudnya bahang kemarahan di situ.

“Alaa, adik kau okay je la. Ni, mak tanya.. Rantai mana yang…” Apa sahaja yang hendak dikatakan Salamah mati begitu sahaja apabila Syazana tiba-tiba bertindak gila dengan merampas semua rantai yang dipegang Salamah lalu dicampak ke tepi. Empat pasang mata terbuntang memandang Syazana, terutamanya Kamisah yang memikirkan kerugian yang bakal dialaminya.

“Zana! Kau dah kenapa ni? Gila ke?!”

“Kenapa mak tipu Zana? Mak tahu tak Zana risaukan adik separuh mati tadi tapi rupa-rupanya mak tipu Zana? Mak sibuk nak beli rantai ni pulak? Siapa yang nak beli? Mak ada duit ke?!”

Dua beranak itu mula meninggikan suara masing-masing. Kamisah yang enggan terbabit dalam masalah keluarga cepat-cepat mengemas dan mengutip semua rantai emas tiruan yang dibawanya tadi sebelum dia berlari keluar.

Salamah yang tidak sempat menahan Kamisah cuba menahan rasa bengangnya terhadap anaknya yang satu itu.

“Kalau mak tak tipu kau, kau nak balik sini ke? Ingat pun jalan balik rupanya! Siapa lagi yang nak bayar? Kaulah! Kalau mak boleh bayar sendiri, mak takkan panggil kau balik!” tukas Salamah tanpa sebarang rasa bersalah.

Akif pula yang berkecil hati mendengarkan jawapan Salamah. Dia pandang Farhana untuk meminta kepastian dan apabila adik iparnya hanya tunduk memandang lantai, mengertilah Akif kini. Dia pandang Syazana pula yang dadanya naik turun akibat menahan marah.

“Macam mana Zana nak balik kalau kerja mak asyik mintak duit Zana je? Mak! Zana ni dapat pinjaman je tau. Tu bukannya duit Zana. Mak tak malu ke asyik mintak duit anak mak je? Dahlah duit tu sepatutnya untuk pelajaran Zana! Mana perginya duit mak berniaga tu?”

“Eh budak ni. Biadap pulak dia. Apa hak kau nak tanya pasal duit aku?”

“Dah tu apa hak mak nak mintak duit Zana?!”

“Duit tu kan banyak kalau tukar jadi ringgit. Mak mintak sikit pun susah. Inilah dia kalau dah belajar pandai-pandai. Lupa diri! Kau ingat kau boleh berjaya kalau aku tak jaga kau daripada kecik? Eh akal kau yang bijak cerdik tu datang daripada mana kalau bukan aku? Jangan nak biadap, berkira sangatlah!” Salamah masih lagi berwajah selamba seolah-olah dia tidak bersalah sama sekali. Dia menyalahkan Syazana pula yang dianggap anak tidak kenang budi itu.

Rasa terpanggil untuk membela kakaknya, Farhana pula mencelah, “Mak.. Kenapa cakap macam tu kat akak? Duit adik operate hati hari tu pun pakai duit akak..”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience