Berdasarkan apa yang diceritakan oleh pelajar-pelajar perempuan Melayu lain yang sama-sama menuntut di University of York, Syazana seakan berniat untuk tinggal serumah dengan Akif dari awal lagi.
“Rumah kitorang ada je kosong sebenarnya tapi Zana bagi macam-macam alasan..”
“Lepas kitorang tahu yang dia mungkin duduk serumah dengan Akif, kitorang ajak dia tinggal rumah kitorang tapi dia memang taknak…”
“Pelik jugak. Setahun dia duduk dengan kitorang tapi tiba-tiba dia nak keluar sebab dia cakap dia ada rumah baru. Agak terkejutlah bila dapat tahu korang tinggal serumah..”
Dan pelbagai lagi jawapan lain yang diterima Akif. Akif masih ingat lagi bagaimana mereka boleh sama-sama tinggal di sebuah rumah. Semuanya bermula apabila Akif sendiri yang mengiklankan di Fac untuk mencari seorang penyewa lain untuk sewa bersamanya.
Tiba-tiba dia menerima satu mesej daripada Syazana yang mengatakan dia terdesak mencari rumah dan dia tidak peduli sekiranya dia harus tidur di lantai sekalipun. Pada awalnya Akif meragui Syazana tetapi selepas Syazana mendesak, akhirnya Akif membenarkan.
Peraturan yang dicipta mereka mudah – Akif tidur di atas katil, Syazana tidur di atas sofa.
Namun sebaik sahaja Marianna mendengar perihal itu, dia bergegas ke York untuk menemui Akif dan teman serumahnya yang berlainan jantina itu. Sampai sahaja di sana dan sebaik matanya terpandangkan Syazana, hanya sebaris ayat keluar dari bibir Marianna.
“Kalau korang berdua tetap nak duduk serumah, Mama nak korang nikah malam ni jugak.”
Syazana diugut untuk dihalau keluar manakala elaun Akif pula akan dihentikan serta-merta sekiranya mereka berdua enggan. Mahu tidak mahu mereka berdua terpaksa bernikah seperti yang diarahkan Marianna, itupun selepas Syazana menelefon ibunya untuk meminta izin. Dan malam itu, mereka dinikahkan oleh kenalan Marianna yang sanggup memandu ke York daripada London di atas permintaan Marianna.
Segala-galanya berubah sejak malam itu. Mereka berdua mula tidur sekatil, barang keperluan rumah dan perbelanjaan Syazana semuanya ditanggung Marianna walaupun dalam masa yang sama, Syazana masih lagi menerima elaun bulanan daripada badan pinjaman dan juga gaji hasil kerjanya.
“Kau pulak? Kau tak nak ceraikan aku ke? Even lepas kau tahu yang aku pergunakan kau?” soalan Syazana menarik Akif kembali ke alam realiti. Angguk tidak, geleng pun tidak.
“Dahlah.. Untuk kebaikan kita berdua, kita cerai je..”
“Zana.. Aku takkan tanya kenapa kau pilih aku. Aku takkan tanya kenapa kau pergunakan aku. Aku takkan tanya apa benefits yang kau dapat lepas pergunakan aku. Aku cuma nak kau jawab jujur je.. Kita memang tak ada future ke?” Meski soalan-soalan yang disebutnya itulah yang mengasak hatinya saban hari tetapi Akif lebih memilih untuk tidak bertanya.
Mungkin dia tidak pernah mengatakannya, mungkin juga dia tidak pernah menunjukkan kasih sayangnya. Tetapi hakikatnya, dia sudah lama jatuh cinta dengan isterinya itu. Sudah lama kasihnya diberikan khas untuk Syazana lantaran itulah dia sukar untuk melepaskan talak ke atas isterinya. Akif yakin, pasti ada secebis rasa kasih Syazana untuk dirinya dan itu sudah memadai untuk dia lupakan segala-galanya.
Melihatkan Syazana terus diam, Akif mendekatkan wajahnya ke wajah Syazana lalu bibirnya mendarat di dahi Syazana. Kemudian tubuh Syazana ditarik lalu dipeluk erat.
Akal kata tolak, hati kata biar. Syazana membiarkan sahaja Akif memeluknya namun dia tidak membalas pelukan tersebut.
“Kau tak ada rasa apa-apa ke lepas aku kiss kau? Sekarang ni? Even waktu aku peluk kau macam ni pun, kau tetap tak rasa apa-apa ke?” tanya Akif, benar-benar berharap jawapan Syazana sama seperti yang dimahukan.
‘Gila! Tipulah kalau cakap tak! Jantung aku dah berdegup kencang macam apa. Otak aku pun rasa macam numb ni. Menipulah kalau aku tak rasa apa-apa!’ Sayangnya, jawapan itu hanya dijawab di dalam hati sahaja. Mulut Syazana seakan terkunci untuk bersuara.
“Zana…” panggil Akif lembut.
“Akif.. Aku rasa…”
“Tak boleh ke kau sayangkan aku? Sebab aku sayang kau..”
Dan serta-merta air mata Syazana bergenang.
Share this novel