“Mata tu lain kali letak kat kepala, bukan kepala lutut.”
Farah merengus dengan teguran Syazwan.
“Aku cakap ni nasihat, kalau tak suka cakap. Jangan merengus.”
Syazwan bersuara lagi. Farah diam terus.
“Aku nak balik.” Dia dah berdiri.
“Farah Jasmin, siapa lelaki tadi?”
Syazwan bertanya perlahan.
“Manalah aku kenal dia.”
Farah geleng kepala.
“Kenapa?”
Syazwan menggeleng.
“Entah. Aku tak suka dia. Aku tak suka cara dia pandang kau.”
Farah angkat kening.
“Kau cemburu ke?”
Pantas Syazwan menoleh pada Farah.
“Aku bukan cemburu. Cuma aku tak suka cara dia pandang kau. Kau kawan baik aku. Selamanya kau kawan baik aku.”
Farah tiba-tiba rasa macam kena hempap batu. Terasa sedar dari mimpi panjang, nasib baik dia tidak pernah meluahkan apa-apa pada Syazwan. Rahsia hatinya sejak berusia 12 tahun. Tidak pernah ada sesiapa yang tahu, dia mencintai Syazwan dalam diam. Sangkanya Syazwan simpan rasa yang sama, rupanya tidak sama sekali. Syazwan cuma nampak dia sebagai kawan baiknya sahaja. Sungguh dia rasa sedih.
“Syazwan, aku nak balik dululah.”
Sebak di dada cuba ditahan. Kolam mata yang dah digenangi air, bila-bila masa sahaja ia akan tumpah. Syazwan pandang Farah dengan pandangan pelik.
“Kau kenapa ni?”
Farah ukir senyum palsu.
“Aku tak ada apa-apa, aku okey je.”
Bersungguh-sungguh dia mengangguk. Tanpa sedar, ada air yang jatuh ke pipi.
“Farah Jasmin, don’t tell me...” Syazwan hilang kata-kata.
“Aku balik dulu. Assalamualaikum.”
Dan Farah cepat-cepat berlalu. Rahsia hatinya terbongkar sudah. Pasti hubungannya dengan Syazwan tidak akan jadi seperti dulu. Perkara yang paling dia takuti telah terjadi, dia bakal hilang kawan baiknya. Air mata semakin deras mengalir ke pipi. Farah tak mampu menahan lagi tangis.
‘Maafkan aku, Syazwan. Aku akan cuba buang perasaan ni.’
Syazwan yang ditinggalkan di meja kayu di taman permainan itu terpinga-pinga.
‘Farah suka aku?’
Share this novel