“Kenapa Wan tak boleh bergerak? Umi? Kenapa Wan tak dapat rasa kaki Wan? Umi, tolong cakap dekat Wan!”
Farah yang baru nak melangkah masuk ke dalam wad yang menempatkan Syazwan, terhenti di muka pintu apabila suara Syazwan kedengaran begitu kuat. Dadanya rasa sebu, sedihnya cuma dia yang tahu. Kerana dia, Syazwan terlantar. Kerana dia, Syazwan lumpuh separuh badan!
“Sabar, Wan. Mengucap banyak-banyak. Ini ujian Allah, nak. Jangan macam ni.”
Suara Puan Mazidah pula kedengaran.
“Wan nak jalan, umi. Wan tak nak macam ni. Kenapa kaki Wan ni?”
Air mata Farah gugur terus bila Syazwan memuntahkan kata-kata.
“Farah, masuklah. Dia dah sedar, tolong dia. Bantu dia.”
Suara Doktor Miza buat Farah menganggukkan kepalanya. Dia harus bantu Syazwan.
“Syazwan.” Farah masuk sambil tersenyum.
Syazwan mencerlungkan matanya pada kelibat Farah yang masuk ke dalam wadnya.
“Kau nak apa, hah? Sebab kau, aku jadi macam ni! Perempuan tak guna! Keluar! Aku tak nak simpati kau!”
Mati senyuman Farah dengan kata-kata berbisa dari Syazwan.
“Wan, mengucap.”
Puan Mazidah menenangkan anak lelakinya itu.
“Wan tak suka tengok muka perempuan tu! Wan benci dia!”
Syazwan membentak sambil menudingkan jarinya ke arah Farah. Merembes terus air mata Farah.
“Wan, Farah...”
“Diamlah, perempuan! Aku tak nak dengar suara kau! Sebab kau aku lumpuh. Sebab kau, aku tak mampu hidup macam dulu! Semuanya sebab kau!”
Syazwan menjerit sekuat hatinya.
“Farah, umi rasa baik Farah keluar dulu. Bagi Syazwan masa.”
Puan Mazidah tepuk bahu Farah yang sememangnya amat terluka dengan kata-kata Syazwan dan perlahan, Farah meninggalkan wad tersebut.
Share this novel