“Abang, dah solat?”
Syazwan menggeleng.
“Farah bawak abang pergi ambil wudu’ ye?”
“Tak nak. Nanti air sembahyang aku batal kalau kau pegang aku. Panggil Amir untuk tolong aku.”
Farah ketap bibir sebelum pergi memanggil Syazmir, adik Syazwan yang paling kecil.
“Bang Chik ni manja tau, kak Farah. Manja mengalahkan orang.”
Farah cuma tersenyum kecil sebab takut lelaki itu berkecil hati.
“Amir.”
Suara Syazwan bergetar amaran.
“Yelah, takut sangat rahsia terbongkar.”
Syazmir tersengih.
“Kak Farah, tolong kemaskan katil tu sikit. Nak bagi bang chik solat kat situ.”
Farah cuma mengangguk dengan arahan Syazmir. Sayu hatinya bila mengenangkan Syazwan terpaksa bersolat secara berbaring kerana kedua kakinya sudah tidak dapat digunakan. Dalam hati, dia mengutuk dirinya sendiri.
“Kak Farah, Amir rasa akak boleh pergi siapkan makanan bang chik.”
Syazmir senyum pada kakak iparnya yang sudah dikenali sejak dia berusia 7 tahun lagi.
“Yelah. Amir tengokkan bang chik ye.”
Dan dia berlalu apabila anak muda yang berusia 17 tahun itu menganggukkan kepalanya.
“Sedap tak abang?”
Laju dia bertanya sebaik sahaja Syazwan menghirup sup yang dimasak khas olehnya untuk Syazwan.
“Siapa masak?”
“Farahlah.” Dengan senyuman, Farah menjawab.
“Tak sedap! Cair! Masin! Aku tak suka.”
Dia menolak mangkuk berisi sup ayam itu jauh darinya.
Farah terkedu. Masakan supnya cair namun dia tidak bersuara, bimbang ditengking oleh Syazwan.
“Abang nak makanan lain? Farah masakkan.”
“Tak nak! Suruh bibik yang masakkan. Aku tak nak makan makanan kau. Tak sedap!”
Farah diam tak berkutik. Sedikit sebanyak dia terasa. Dulu, bukan main lagi Syazwan memuji masakannya, sekarang sedikitpun dia tidak peduli.
“Kau duduk apa lagi kat situ. Aku tak nak ni. Aku nak makanan lain.”
Farah memaniskan mukanya.
“Abang tunggu sekejap. Nanti Farah bawak naik.”
“Aku tak nak makan kalau kau yang bawak! Boleh hilang selera makan aku kalau kau yang bawakkan. Aku nak Syazmir yang bawakkan makanan aku.”
Farah terkedu namun perlahan dia menganggukkan kepalanya.
“Farah, kenapa duduk dalam gelap?”
Terangkat sedikit bahu Farah bila ditegur oleh Puan Mazidah. Air mata yang mengalir dikesat laju.
“Farah cari air, umi.”
Suaranya yang sedikit serak dan sengau itu ternyata dapat dikesan oleh Puan Mazidah.
“Farah menangis?”
“Farah...” Dia kehilangan kata-kata.
“Farah terasa dengan Syazwan?”
“Tak, Farah terkilan. Farah terkilan sebab Farah, Syazwan lumpuh. Sebab Farah, Syazwan dah berubah. Semuanya sebab Farah, umi.”
Farah terus memeluk Puan Mazidah.
“Farah, semua yang berlaku ada hikmahnya. Umi tak pernah salahkan Farah. Mungkin Syazwan marah tapi bukan sebab Farah. Dia marah sebab dia tak mampu nak berjalan, tak mampu nak solat macam biasa, tak mampu nak pergi kerja, tak mampu nak turun bawah. Dia rasa rendah diri. Farah kena salami perasaan dia.”
“Farah cuba umi tapi dia... dia tak nak Farah masuk dalam hati dia. Dia tak nak Farah dekat pun.”
Farah kesat matanya yang masih basah dengan air mata.
“Farah kena banyak sabar. Umi tahu Farah faham Syazwan dan umi rasa Farah lebih memahami Syazwan berbanding umi sendiri.”
Farah diam.
“Farah, umi tahu Farah banyak makan hati dengan semua perlakuan Syazwan. Umi minta maaf atas semua perkataan kasar Syazwan pada Farah.”
“Tak apa umi. Farah terima seadanya. Farah sayangkan Syazwan tak kiralah dalam dia sempurna sifatnya ataupun dalam keadaan dia lumpuh. Farah nak sentiasa di sisi dia, meskipun dia kata macam-macam dekat Farah. Farah nak jaga dia, selagi nyawa Farah masih bersama jasad Farah.”
“Terima kasih, Farah.”
Puan Mazidah sayu dengan pengakuan ikhlas Farah. Benarlah kata hatinya selama ini, Farah sememangnya mencintai Syazwan.
Share this novel