BAB 1

Romance Completed 876

Perbincangan mereka tadi daripada berbual perkara biasa tiba-tiba
menjadi tegang. Mak nampaknya seolah-olah memaksa Kuza untuk berkahwin
lagi. Kuza tak nak mak… Kuza tak nak!

“Kuza muda lagi, nak. Yang pergi tetap pergi, kita yang hidup kena
teruskan kehidupan. Kenapa nak terus meratap kepergian Rauf ? Kamu nak
seksa arwah ke, Kuza ?”

“Subhanallah, mak sedar tak apa yang mak cakap ni? Mak… Kuza sayang
abang Rauf . Sekalipun dia tak ada Kuza tak akan seksa dia. Selagi hayat
dikandung badan. Hormat dan kasih Kuza pada dia memang tak pernah
berkurang malah makin bertambah dari hari ke hari.” Sedih hati wanitanya
bila dituduh mahu menyeksa arwah suaminya.

“Habis tu kalau betul kamu tak nak seksa dia, kenapa masih tak nak
lepaskan dia lagi? Kenapa perlu hidup dalam bayangan silam?”

Kuza menggelengkan kepalanya perlahan. Sedikit kesal dengan tuduhan emaknya…

“Mak... Kuza percaya pada takdir. Kuza pegang pada janji Tuhan dan
terima dengan redha yang abang Rauf memang dah pergi ke dunia lain.
Pergi menghadap perciptanya kembali. Kuza redha mak… tak pernah terdetik
pun dalam hati Kuza ni ada rasa menyesal dengan takdir Tuhan mak. Tak
pernah! Redha Kuza bermakna Kuza lepaskan dia pergi…” Nadanya Kuza sudah berubah serak… meluahkan apa yang terbuku setelah sekian lama dia
pendam. Orang melemparkan tuduhan kepadanya tanpa mengetahui apa yang
dia rasa. Rasa hatinya!

“Mak…” Kuza jeda seketika.

Nafasnya ditarik perlahan sebelum menyambung kata. “Kita hidup bukan
berdasarkan bayangan silam sebaliknya bayangan silam tu sebahagian
daripada kita... kenangan kita dengan orang yang dah tak ada. Kita
memang kena pandang ke hadapan. Kita tak boleh toleh kebelakang lagi
tapi mak, benda tu memang pernah terjadi dalam hidup kita dan tak mudah
untuk kita buang macam tu sahaja dari hidup kita. Kita kenang bukan
bermakna kita tak pandang langsung masa depan. Yang lepas, tetap lepas
mak.... Maaf andai apa yang bakal Kuza cakap ni akan menggores hati mak.
Boleh Kuza tanya kenapa mak tak pernah kahwin lain selepas ayah
meninggal? Kenapa mesti mak hidup dalam bayangan silam jugak?”

Riak wajah Hajah Zabedah berubah. Berubah bukan kerana hatinya terpukul dek kata-kata anaknya tu tetapi kerana mula sedar apa yang Kuza rasa
sekarang. Khilafnya dia sebagai mak apabila perasaan anaknya sendiri dia
tak faham sedangkan dia sendiri pernah lalui saat itu. Saat yang Kuza
sedang tempuhi sekarang… khilafnya dia.

“Kuza , minta satu benda saja… satu saja.Tolong jangan paksa Kuza
kahwin lagi, mak. Dalam hidup Kuza , kahwin cuma sekali… untuk berkahwin
buat kali keduanya… Kuza memang tak mampu mak. Tak mampu.” Kepalanya
tergeleng berkali-kali.

“Kuza nak jumpa abang Rauf dekat sana mak… Kuza nak panjangkan kasih
kami dekat sana mak…” tersekat-sekat nadanya. Akhirnya, air matanya
turun membasahi pipinya. Menyuruh dia berkahwin buat kali kedua sama
seperti menyuruh dia memadukan kasihnya pada suaminya. Sungguh hatinya
saat ini sangat merindui sang suami yang telah tiada.

Hajah Zabedah turut mengalirkan air matanya.

“Mak, minta maaf… sepatutnya mak hormat keputusan Kuza . Mak minta maaf.
Mak janji dengan Kuza … apa pun keputusan Kuza , mak sokong sepenuhnya…
mak janji.”

Kuza tersenyum dalam tangis. “Terima Kasih mak…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience