BAB 3

Romance Completed 876

Kadang-kadang hati yang sakit tu kalau tak dipujuk memang akan jadi lagi
teruk sakitnya. Kenapa semua orang sibuk nak suruh dia kahwin lain?
Kenapa semua orang ingat dia tak mampu nak besarkan Raufara seorang
diri? Dia yang alami situasi ni, dia tahu dia mampu atau tak untuk
harunginya. Kenapa semua orang nak pertikaikannya? Kuza mengeluh
perlahan, lambat-lambat enjin kereta dimatikan.

Tadika anaknya dipandang dari dalam kereta melalui tingkap sebelah
tempat pemandu. Dia ternampak Raufara sedang bermain dengan
rakan-rakannya sementara menunggu kedatangannya. Fikirannnya mula
melayang, teringat dia pada kata-kata Mak long Hanim semalam yang tanpa
sengaja dia terdengar perbualan Mak long dengan maknya.

“Aku bukan nak campur tangan urusan anak kau, Zabedah . Aku dah anggap Kuza
tu macam anak aku. Kalau aku anggap dia orang luar, aku tak nak campur
tangan urusan dia. Tapi masalahnya dia tu anak buah aku.”

Hajah Zabedah cuma diam. Tak mahu menyampuk kata-kata kakak sulungnya itu.
Kalau sudah kakak sulungnya membuka mulut, dia yang adik wajib diam…
tanda hormat! Walaupun hati dia tak setuju dengan apa yang sedang
diperkatakan itu.

“Si Kuza tu muda lagi, baru 26 tahun… yang dah pergi tu tetap pergi. Dia
tu perempuan tak elok menjanda lama sangat. Kau tengok sekarang, orang
kampung dah sibuk perkatakan tentang dia. Tak elok Zabedah kalau dibiarkan.
Nanti dituduhnya pula si Kuza tu nak merampas laki orang.”

Kuza sentap.

“Astagfirullahalazim… Kuza tak akan buat macam tu kak. Saya tahu anak
saya.” Akhirnya emak buka mulut setelah tak tahan mendengar anaknya
diburukkan.

“Aku tahu yang Kuza tak buat macam tu. Tapi mulut orang Zabedah bukannya
tempayan yang kita boleh tutup. Lagipun kau nak ke si Kuza tu menjanda
sampai ke tua macam kau? Lepas arwah Wazil meninggal, kau tekad nak
menjanda. Kau tak ingat apa yang jadi?” Mak Long Hanim betul-betul
sedang mencurah minyak gas ke api dengan berkata sedemikan.

Kuza menahan sabar apabila mendengar nama arwah ayahnya pula disebut.
Tangannya dikepal kuat cuba mencari kesabaran di hati.

“Kak, abang Wazil dah tak ada. Tak perlu nak ungkit orang dah tak ada.”
Kesabaran di dada Hajah Zabedah juga sudah semakin menipis. Ya, dia ingat
macam mana peritnya dia nak teruskan hidup selepas kematian suaminya.
Peritnya menahan tohmahan dan umpat keji manusia disekelilingnya tapi
kenapa perlu nama arwah suaminya diungkit?

“Aku bukan apa. Aku takut nanti Kuza terima nasib yang sama dengan kau.”

Hajah Zabedah diam kembali. Memikirkan baik buruk kata-kata kakaknya itu.
Hidup untuk membesarkan anak tanpa suami disisi bukanlah perkara mudah.
Dia pernah rasa pengalaman tu… tapi dia berjaya juga membesarkan Kuza .

Mak long Hanim menyambung kata lagi… “Kau cakap dekat dia Zabedah , dia
boleh cari lelaki lain yang lebih baik untuk jaga dia dengan Raufara .
Kenapa mesti nak menjanda sampai ke tua? Dia bukannya tak ada rupa.
Ada. Cantik pula tu… aku yakin ramai lagi lelaki lain yang sudi
peristerikannya lagi walaupun dia janda.”

Sungguh masa tu Kuza rasa hendak keluar dari balik dinding dapur dan
membangkang setiap kata-kata mak longnya itu yang pada pendengarannya
sangat biadap!

Kenapa mesti berkata sedemikian? Lelaki yang lebih baik? Rauf itulah
lelaki terbaik yang pernah dia jumpa dalam hidupnya. Sebaik-baik lelaki
yang pernah dia jumpa! Yang sememangnya Allah pernah takdirkan menjadi
pelindungnya walaupun untuk sementara. Tapi sementara itulah yang
terbaik bagi Kuza .

Mak long Hanim seolah-olah hendak menghina Rauf ! Kuza tak boleh biarkan…
tapi saat terpandang wajah sugul emaknya Kuza tak jadi bertindak. Dia
terpaku di tempatnya berdiri. Dia masih ada seorang emak yang perlu
dijaga maruahnya. Emak tak pernah mengajarnya untuk biadap dengan orang
tua. Kuza sedar akan perkara yang satu itu…

Wahai hati bersabarlah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience