Chapter 2

Other Completed 9670

CHAPTER 2

“Barangsiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan niscaya Allah mengharamkan jasadnya dari neraka”

[ Disebutkan oleh Al Khubawi (penulis kitab Durratun Nashihin) dalam kitabnya tanpa menyebutkan sanad dan sumbernya ]

“Ha....Piah tahu kenapa Abang Li berat hati nak terima tawaran tu...,” suara Piah nakal kedengaran mahu mengusik Abang Li yang sedang menyuap nasi goreng masuk ke mulutnya.

“Kenapa? Kenapa?” riuh suara ramai yang bersama-sama berada di kawasan memasak belakang rumah Tok Wi. Ramadhan bakal menjelang minggu hadapan. Tok Wi menjemput hampir separuh orang kampung bersama-sama merewang di rumahnya. Memasak beramai-ramai dan malamnya nanti akan dibuat sedikit tahlil untuk arwah Tok Wan yang sudah lama meninggal.

Kebiasaannya memang begini. Orang kampung gemar menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan membuat majlis kecil kecilan sebagai rasa bersyukur dan menunjukkan kemuafakatan penduduk di sini.

Mereka yang sebaya dalam lingkungan umur 18 dan ke atas semuanya gemar berkumpul di tempat memasak. Yang lelaki boleh menyumbang tenaga mengacau lauk dan menghidupkan kayu api. Yang perempuannya pula, tolong mengupas apa yang patut dan sekali sekala mengusik cik abang untuk menaikkan semangat mereka.

Indah hidup berkampung memang tidak ramai yang dapat mengecapinya. Piah memang membesar dan lahir di kampung ini. Begitu juga Abang Li dan yang lain-lain. Semua sudah dianggap seperti adik beradik sendiri walau mereka tiada pertalian darah. Mungkin adalah sedikit bau-bau bacang, tapi salasilah keturunannya sudah jauh terpisah.

Tok Wi itu nenek Piah. Rumahnya terletak bersebelahan rumah orang tua Piah yang merupakan anak sulung kepada Tok Wi. Sekeliling rumah Tok Wi dipenuhi dengan rumah anak-anaknya dan sepupu-sepupunya sendiri.

“Cepatlah Piah! Kitorang tengah tunggu jawapan Piah ni,” suara Amira sepupunya menyentak Piah dari lamunannya sendiri. Hampir 10 pasang mata sedang merenungnya penuh minat. Piah sengih nakal. Jari telunjuknya diangkat tegak lekat ke bibir.

“Shh...rahsia..,” bising bunyi marah-marah manja dari semua yang ada di situ. Mata Piah singgah pada Abang Li yang merenungnya tajam sambil mengunyah nasi gorengnya tadi. Piah menjelir lidah.

“Piah ni...suka main-main tau! Orang dah excited sangat dah nak dengar,”rungutan dari Dik Non paling kuat kedengaran di antara mereka. Ketawa semua orang bergema serentak. Tahu mengapa Dik Non kuat bunyinya. Dik Non memang dari kecil sayang benar pada Abang Li, merangkap abang kandungnya. Semua perkara tentang abangnya, kalau boleh mahu direkodkan dalam buku khas.

Abang Li baru menerima tawaran untuk menyambung pelajaran di luar negara. Memang sudah diketahui yang dia akan mendapat tawaran tersebut memandangkan dia sudah 2 tahun menjalani penyediaan untuk menyambung pembelajarannya di luar negara.

Tapi dia juga diberi pilihan untuk menyambung pengajiannya di dalam negara. Tidak lah wajib untuk dia menerima tawaran tersebut. Cuma, bila tawaran tersebut sampai, Abang Li seperti teragak-agak. Tidak pula dia bersetuju dan tidak juga dia menolak.

Abang Li...Abang Li...Piah senyum seorang. Sesekali matanya singgah pada Kak Jue. Cinta hati Abang Li yang sudah hampir setahun disimpan jauh ke dalam hatinya. Rahsia Abang Li yang sudah lama disimpan kemas. Tapi akhirnya terkantoi dengan Piah.

Piah yang lincah dan ligat ke sana ke mari. Siapa sangka dalam riang dan keletahnya, Piah dapat juga menangkap maksud renungan mata Abang Li yang selalu singgah pada Kak Jue.

Sewaktu Piah bertanyakan tentang hal itu pada Abang Li, Abang Li terus menarik Piah ke belakang rumah Tok Wi. Waktu itu Abang Li singgah ke rumah Tok Wi untuk memberi buah jambu air dari pokok rumahnya yang sedang lebat berbuah. Kebetulan Kak Jue juga ada di rumah Tok Wi menziarah.

“Piah jangan cakap kat Kak Jue,” mata Piah membulat. Oh, betullah telahannya?

“Betul la Abang Li suka Kak Jue?” tangan Abang Li pantas menekup mulut Piah yang dirasakan agak kuat bunyi suaranya. Piah menepis tangan Abang Li laju. Haram bersentuhan dengan lelaki ajnabi!

“Apa Abang Li ni?!” marah Piah.

“Sorry, sorry...Abang Li tak sengaja,”segera Abang Li meminta maaf bila tersedar tindakannya itu tidak manis. Sudahlah tidak rapat mana pun dengan Piah ni. Abang Li dan Piah bukannya berkawan baik. Mereka boleh bersembang pun kerana memang semua rakan sebaya di kampung ini berkawan sesama mereka. Membawa sekali Abang Li masuk ke dalam kelompok remaja kampung.

Selalunya dia pendiam. Tidak banyak bicara. Bila dilihat Piah yang ceria sentiasa dan petah berbicara, adakalanya Li naik rimas. Tidak penatkah Si Piah ini bercakap? Seboleh mungkin dia sering menjauh diri dari Piah. Kerana dia malas mahu melayan banyaknya mulut Piah.

Tapi hari ini dia terpaksa. Tidak disangka langsung Piah yang nampak keanak-anakan itu boleh nampak perasaan yang terpendam lama untuk Jue anak Pak Long Shim.

“Dahlah! Piah nak masuk dalam. Abang Li jangan risaulah...Piah ni bukannya buruk perangai pun. Piah tak beritahu orang pun. Abang Li boleh simpan je dalam hati sampai busuk,” sempat Piah menjelir lidah sebelum beredar meninggalkan Li seorang terkebil-kebil.

“Eii..budak ni..,” itu saja yang mampu terzahir dari mulut Li yang melihat kelibat Piah hilang di balik pintu dapur rumah Tok Wi. Piah suka menjelir lidah persis anak kecil. Setiap kali melihat Piah berbuat demikian, ringan sahaja rasa tangannya mahu menarik lidah Piah. Biar sampai tertarik keluar panjang.

Seketika Li berfikir kata-kata Piah sebentar tadi. Simpan dalam hati sampai busuk? Heh, ada-ada saja Piah ni. Atau...mungkin Piah mahu memberitahu yang dia perlu menyuarakan hasrat hatinya pada Jue? Tidak elok memendam rasa terlalu lama.

Hmm...ada logiknya juga Si Piah ni bila berbicara.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience