Chapter 4

Other Completed 9670

CHAPTER 4

“ Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat inggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu"

[ Al-Baqarah : 185 ]

Piah sudah tersengguk di dalam saf kedua dari hadapan. Suara ustaz kedengaran sayup-sayup saja memberikan tazkirah yang diberikan selepas tarawih 8 rakaat bersama witir 3 rakaat.

Bahunya tiba-tiba digugah perlahan oleh orang sebelah. Mata Piah kembali terbuka luas. Ditenyeh anak matanya berulang kali. Mak cik yang duduk di sebelahnya tersenyum lembut.

“Minta maaf mak cik...saya mengantuk sangat,” Piah meminta maaf perlahan walau tidak ada kesalahan pun yang dilakukan pada mak cik di sebelahnya itu.

“Eh,takpa...bukan sengaja,” Piah sengih malu. Segera dia bangun. Mahu mengambil wudhuk sekali lagi. Mungkin segar air yang terkena di muka boleh menghilangkan kantuknya.

Semalam tidurnya terganggu. Resah memikirkan perbualan Abah dan Emak yang didengarnya semasa berbuka puasa.

Abang Li tahun ini beraya di kampung! Setelah 4 tahun di negara luar, Abang Li akhirnya kembali menjejakkan kakinya di kampung halaman. Piah yang jadi termenung panjang.

Mengapa mesti Abang Li pulang di tahun yang Piah juga mahu menyambut Ramadhan di kampung? Sejak menyambung pengajian di tempat orang, Piah sendiri pun jarang pulang. Mengelak dari bergaul dengan rakan-rakan lamanya.

Kalaupun pulang, cuma di hujung minggu. Dapatlah dia bersembunyi di rumahnya sehingga hari yang dia perlu kembali pulang ke kolejnya. Bila Ramadhan menjelang, Piah akan pulang betul-betul sehari atau dua hari sebelum raya. Hari pertama dan kedua Syawal, Piah akan ke bandar dengan alasan mahu beraya bersama rakan-rakan yang duduknya bukan di kampung ini.

Bila hari sudah menjengah malam, baru Piah akan ke rumah Tok Wi untuk beraya. Sekurang-kurangnya di malam hari, sanak saudara yang ramai akan menghilangkan tumpuan ramai kepada dirinya.

Usai mengambil air sembahyang, Piah keluar ke lobi bahagian tepi jemaah perempuan. Menghirup udara malam. Piah sukakan masjid ini. Masjid yang terletak di tengah bandar ini menjadi tumpuan ramai orang bila Ramadhan datang menjengah. Pilihan ustaz yang dijemput juga menarik hati.

Walaupun sebenarnya itu bukan sebab asal mengapa Piah saban malam datang bertarawih di sini, Piah cuba menyedapkan hati. Mempositifkan minda sendiri. Tidak salahkan jika menvariasikan pilihan di bulan Ramadhan ini?

Atau sebenarnya Piah mahu lari dari bermasyarakat di kampungnya sendiri? Tak, tak...Piah geleng kepala sendiri. Dia bukannya lari. Dia cuma lebih seronok di sini. Lebih gembira bertarawih di sini.

“Piah?” Piah disedarkan dari fikirannya bila namanya tiba-tiba kedengaran. Pantas Piah menoleh mencari sumber suara tersebut.

Jantungnya terasa berhenti berdetak. Dia salah melihatkah?

“Ni Piah kan?”sekali lagi nama Piah disebut. Piah diam. Tidak berniat mahu mengakui itu memang namanya. Sedikit menggeleng Piah terus berpusing mahu masuk ke bahagian jemaah perempuan.

“Dah tak kenal Abang Li?” langkah Piah terhenti seketika sebelum kembali terhayun. Dia sudah tidak kenal dengan Abang Li. Yang dia kenal cuma Ramadhan bin Azri. Ramadhan bin Azri yang digelar Lidi semasa kecilnya kerana badannya yang kurus kering. Ramadhan bin Azri yang dahulu dipanggilnya Abang Li. Ramadhan bin Azri yang kini sudah pulang setelah 4 tahun meninggalkan kampung halamannya. Itu sahaja Ramadhan yang dikenalnya. Tiada Abang Li yang masih kekal di dalam senarai kenalannya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience