Chapter 11

Other Completed 9670

CHAPTER 11

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”

[ Hadis Riwayat Muslim ]

Syawal kedua, Piah sudah memulakan puasa enam. Memang setiap tahun dia akan melakukan puasa enam kerana perasaan berpuasa Ramadhan masih meninggalkan kesan di hati Piah. Memudahkan lagi untuk dia menguatkan semangat untuk mengumpul pahala.

Jadinya, Piah cuma berdiam di rumah. Pagi-pagi tadi dia sudah ke rumah Tok Wi. Cukuplah sekadar berziarah dan duduk sebentar menemankan Tok Wi bersarapan.

Sudah uzur Tok Wi dilihatnya. Terdetik di hatinya perasaan sedih jika Tok Wi pergi dijemput Ilahi. Tok yang ini memang Piah sayang berlebih-lebih. Dulu semasa kecil, ini lah Tok yang menyuapkan nasi ke mulutnya, memastikan perutnya terisi di setiap waktu, memujuknya bila dia dicubit emak atau dirotan abah.

Kebelakangan ini, Abah sudah kerap datang ke rumah Tok Wi. Sehari pasti ada lebih kurang 4-5 kali. Kerana bimbang melihat keuzuran orang tuanya.

Dalam pukul 10, Piah sudah kembali ke rumahnya. Menyiapkan bekas-bekas kuih dan air gula untuk memudahkan kerjanya jika ada yang datang beraya.

Tapi siapa yang sangka, pengunjung yang tiba, jauh lari dari jangkaan Piah. Sudah berdiri di hadapan rumah orang tuanya, Abang Li bersama Abang Im dan isterinya Kak Jue. Turut ada anak-anak mereka juga kawan-kawan Piah di zaman remaja dahulu. Abang Azhar dan seorang kanak-kanak yang didukungnya. Amira, adik Abang Im, juga sepupuku. Kak Lin, Husin, Dik Not, semuanya ada.

Piah mati kata seketika. Cuma badan sahaja yang dia alihkan ke tepi untuk memberi laluan pada mereka semua. Takkanlah mahu dihalau? Ini bukan rumahnya, ini rumah emak dan abah.

“Selamat hari raya Piah,” Kak Jue yang mula menghulur tangannya untuk bersalam dengan Piah. Piah telan liur. Tekak terasa berpasir. Tangan yang Kak Jue hulur jatuh sebelum tubuh Piah ditarik masuk ke dalam pelukannya.

“Kak Jue minta maaf. Kami semua minta maaf kalau Piah terasa hati dengan kami semua,” air mata Piah menitik mendengar kata maaf Kak Jue. Mengapa perlu meminta maaf? Apa yang terjadi ini semuanya salah faham. Bukan salah sesiapa pun.

“Piah yang patut minta maaf. Perangai Piah yang tak semenggah. Memang patut pun semua orang marah Piah,” balas Piah dalam sendu. Kak Jue menggeleng kepala. Dia turut menangis. Yang lainnya sudah mula mengukir senyum melihatkan hubungan mereka yang dulunya retak akan kembali pulih.

“Tak ada siapa pun yang salah. Dah dah, jangan nak buat drama air mata kat sini,” perlian Husin menggamit ketawa semua yang ada. Piah hampir ke Abang Imran.

“Piah minta maaf Abang Im,” pinta Piah perlahan. Abang Imran senyum.

“Piah tak salah pun. Macam Sin cakap tadi, tak ada sesiapa pun yang salah. Keadaan yang membawa pada semua ni. Cumanya, Abang harap lepas ni janganlah menjauh lagi. Anak-anak Abang sampai tak kenal Mak Long Piah diorang,” Abang Im terus memanggil anak-anaknya dan memperkenal mereka satu-satu kepada Piah.

Suasana berubah riuh. Hilang sudah kemelut yang bertahun lamanya, seolah tidak pernah wujud langsung sengketa di antara mereka. Pertama kali setelah 4 tahun, Piah mula merasakan hidupnya segar kembali. Beban yang dari dahulu terasa beratnya kini sudah tiada.

Terasa bodoh juga. Kalaulah dari dahulu dia memberanikan diri cuba menyambung semula silaturrahim mereka semua, pasti tidak selama ini dia keseorangan mengunyah hati. Dalam diam Piah berterima kasih pada Abang Li. Tanpa Abang Li, mungkin semua ini takkan terjadi.

Selepas hampir 3 jam bergelak ketawa dan berkongsi cerita, baru mereka semua meminta diri. Mahu beraya di tempat lain pula. Dan Piah juga sudah berjanji akan beraya di rumah mereka di waktu malam memandangkan Piah sedang berpuasa enam.

Semasa bersalam dengan Abah Piah, Abang Li lama bersembang dengannya. Sehingga yang lainnya sudah beransur pergi, tangan yang tadinya bersalam masih tidak dilepaskan dari genggaman Abah Piah. Piah yang sudah ke dapur mengerling sekilas sebelum hilang di balik pintu dapur. Apa yang mereka sembangkan?

Jawapan Piah tidak lambat datangnya. Abah tiba-tiba sudah ada di dapur. Mengejutkan Piah dan emaknya yang sedang mengisi kembali kuih raya ke dalam balang yang sudah hampir kosong.

“Li nak hantar rombongan meminang kamu Piah,”

“Ha?!” Piah terus berlari ke hadapan rumah. Berharap Abang Li masih ada di situ. Mahu ditanya,angin gila mana yang merasuk Abang Li sheingga membuat keputusan begitu.

“Abang LI!” jeritan Piah tidak didengari Abang Li yang sudah mula menghidupkan enjin motornya. Sekali lagi Piah jerit. Lebih kuat dari tadi. Baru perhatian Abang Li beralih kepada Piah. Abang Li senyum lebar,berlawanan dengan Piah yang mencuka.

“Kenapa Piah?”soalnya bersahaja. Seperti tidak membuat kerja gila saja lagaknya.

“Abang Li gila ya?” bergema satu rumah dengan tempikan Piah.

“Ha’ah. Abang Li gilakan Piah!” jawab Abang Li ikut sama menjerit. Mulut Piah melopong. Langsung tidak menyangka jawapan begitu akan keluar dari mulut Abang Li.

“Hei, tak tahu malu ke? Nak canang kat semua orang yang kamu berdua tu asyik sangat bercinta?” Abah Piah kembali ke hadapan rumah. Abang Li terus memecut motornya laju meninggalkan Piah terkebil-kebil mendengar ayat Abahnya. Asyik bercinta? Aduh! Ini pasti kerana Abang Li terlalu kerap datang ke mari mencari Piah. Ditambah pula dengan cerita emak tentang Abang Li meminta nombor telefonnya tempoh hari.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience