Chapter 3

Other Completed 9670

CHAPTER 3

“Bukanlah puasa itu dari makan dan minum saja, sesungguhnya puasa itu dari perkataan kotor dan caci maki.”

[ Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah dari Abi hurairah ]

Itu cerita lama. Saat Abang Li tertangkap dengan Piah dia sedang merenung Kak Jue dalam diam. Kalaulah....kalaulah dahulu Piah lebih bersabar dan berfikir jauh. Tapi ‘Kalau’ tidak mampu merubah keadaan.

Hah! Kak Jue pun sudah lama mendirikan rumah tangga. 2 minggu selepas Abang Li berangkat ke luar negara, Kak Jue bertunang dengan Abang Im, sepupu Piah.

Waktu berita Kak Jue akan bertunang dengan Abang Im dicanangkan, Piah terdiam. Tidak dapat mahu bereaksi ceria seperti selalu. Kerana hatinya ikut sama luluh membayangkan cinta Abang Li yang tidak mungkin akan berbalas lagi.

Siapa sangka yang Abang Im dan Kak Jue rupanya sudah lama mengikat tali kasih di dalam diam? Tidakkah Abang Li tahu? Bukankah dia dan Abang Im berkawan rapat?

Baru rasa menyesal menular masuk ke dalam hati Piah. Mengapa mulutnya bercakap lepas! Bukankah dia sudah memalukan Abang Li?

Masih Piah ingat, tahun itu semasa majlis berbuka puasa dijalankan di surau kampung, Piah mungkir pada janjinya untuk merahsiakan perasaan Abang Li. Dek kerana marah yang ditujukan pada Abang Li, Piah tidak dapat lagi menahan mulutnya.

“Eleh, Abang Li tu? Suka Kak Kak Jue kan? Malu nak cakap? Sebab tu taknak pergi oversea kan?” masih Piah ingat ayat yang membuatkan Kak Jue terbatuk dari suapan airnya. Abang Li? Matanya mencerlung tajam memandang Piah. Piah lawan sama naik. Ingat dia takut?

Hatinya sakit! Mendengar komen Abang Li tentang Piah bersama kawan-kawannya tadi di balik pintu toilet lelaki, darah Piah naik sampai ke kepala.

“Aku tak faham kenapa korang semua suka sangat melayan Si Piah tu. Budak tu naik lemak tau. Umur dah 19, tapi perangai macam budak tingkatan 1. Tak matured. Terkinja kinja ke sana sini.”

Dek kerana ikutkan marahnya, mulut Piah lupa pada janji. Dikeluarkan satu-satunya rahsia Abang Li yang diketahuinya.

Masih Piah ingat soalan Abang Im ketika itu pada Abang Li.

“Kau suka Jue?” muka tidak percaya Abang Im terarah pada Abang Li. Mulut Abang Li terkunci rapat. Tapi jawapan yang keluar bukan dari mulut Abang Li. Piah sekali lagi menambah duri dalam daging.

“Ha’ah. Piah tahu lama dah,” semakin sakan Piah menokok tambah cerita.

“Piah! Piah jangan melampau. Mulut macam mak nenek cakap bukan-bukan! Kau ada masalah dengan aku ke?” keluar habis ayat-ayat kasar dari Abang Li.Abang Azhar yang duduk di sebelah Abang Li sudah bangun menarik Abang Li kembali duduk. Disuruhnya Abang Li bersabar.

“Aku dah cakap kat korang. Piah ni mulut dia teruk! Perangai entah apa-apa. Korang suka sangat menangkan dia!” Abang Li masih tak habis meluahkan geramnya. Habis tertutup cerita Abang Li dan Kak Jue. Piah pula yang jadi malu sendiri. Bila mulutnya sudah terbuka mahu membalas, tangannya ditarik emak. Emak yang sudah mendengar bunyi pergaduhan mereka dari khemah makan sebelah.

Pulang dari tarawih malam itu, Piah dimarah teruk oleh Abah dan Emak. Baru Piah tahu tentang rancangan pertunangan Abang Im dan Kak Jue. Cuma orang-orang tua saja yang tahu.

Dan Abah memberi amaran supaya Piah berfikir dahulu sebelum berbicara. Terlajak perahu boleh diundur, tapi kalau terlajak kata?

Esoknya, Abang Li memberi jawapan untuk tawaran menyambung pengajian ke luar negaranya. Abang Li membawa dirinya jauh. Meninggalkan Piah bersama tohmahan ramai mengatakan dia punca Abang Li ke luar negara.

Belajar ke negara orang itu bagus. Dapat menimba lebih pengalaman. Walau semua orang tahu apa yang Abang Li lakukan itu adalah satu kebanggaan untuk kampung mereka, tetap mereka bercerita tentang pergaduhan mereka sebelum Abang Li menerima tawaran tersebut.

Semuanya jadi serba tidak kena. Piah jadi kekok dengan rakan sekampung. Semuanya seakan menyalahkan Piah. Piah dengan mulut lepasnya. Piah dengan sikap tidak tahu menjaga hati orang lain. Piah ini, Piah itu.

Piah akhirnya belajar menulikan telinga. Bila hatinya sudah semakin tidak tahan, Piah mohon menyambung pelajaran di negeri yang paling jauh dari negeri asalnya. Piah lari dari masalah.

Kerana Piah sendiri tidak tahu bagaimana mahu membetulkan hakikat yang sebenar. Benar, Piah yang bermulut lepas. Tapi tidak mahukah sesiapa bertanya mengapa Piah bersikap demikian?

Piah juga ada perasaan, bukan Abang Li seorang sahaja. Apa perasaan Piah bila mendengar dirinya dikutuk-kutuk begitu dibelakangnya?

Bukan seratus peratus kesalahan patut diletak atas pundaknya! Abang Li pun turut bersalah. Tapi Abang Li pergi begitu sahaja.

Meninggalkan Piah dalam kemelut yang berpanjangan sehingga kini. Kemelut yang terjadi kerana Piah tidak bersabar mendengar dirinya dikutuk –kutuk di belakang. Bukankah puasa itu separuh sabar? Tapi mengapa sabar Piah waktu itu senipis kulit bawang?

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience