BAB 1

Romance Completed 6244

Aku memulas kasar tombol pintu. Mencampakkan tas tangan yang baruku beli dari pasar malam di atas sofa. Aku beli pun disebabkan event malam ni. Argghh…kalau tahu nak jadi macam ni, baik aku tak payah pergi saja tadi!

Dengan hati yang sebal, aku menghempaskan punggung di atas sofa berhadapan televisyen. Malam ini aku tinggal bersendirian di rumah kerana kedua-dua orang tuaku menginap di rumah Kak Mel, kakak sulungku.

Daripada duduk, aku mengubah posisi dengan tidur berlunjur kaki di atas sofa itu. Lengan kanan naik menutupi kedua-dua belah mata yang terpejam. Cuba menenangkan hati yang berombak-rombak kerana berang dengan setiap pertanyaan yang dituturkan ke telinga.

Sedikit sebanyak aku akui bahawa aku agak terguris sebenarnya. Kerdil! Terasa diri sangat kerdil di saat semua orang mengajukan soalan yang seakan sama sedangkan masing-masing sepatutnya mengerti bahawa jodoh itu di tangan Tuhan.

Ya, jodoh. Hal yang membuatkan hati aku tak habis-habis menyumpah seranah semua orang yang aku jumpa di majlis Reunion batch 2004 SMK Seri Iman tadi adalah ‘jodoh’! Mentang-mentanglah semua orang sudah mempunyai pilihan hati, dah bersuami, dah beristeri, itu yang seronok sangat mengenakan aku tu.

Hei, cubalah buat beringat sikit! Meskipun masing-masing dah punya pilihan hati tapi tak semestinya itulah pasangan yang dia orang akan bawa menghadap tok kadi. Kalau dah kahwin sekalipun, jangan ingatlah jodoh itu bakal kekal jika masing-masing tak pandai menguruskannya.

Bukan mahu mendoakan yang tidak baik atau berniat memusnahkan masjid tetapi kadang-kala kelakuan mereka memang tidak menitik beratkan perasaan dan hati insan lain. Seorang dua menyakat sudahlah. Ini tidak! Kaw-kaw kut aku kena malam tadi. Apa muka aku ini nampak macam muka orang yang tak berperasaan ke? Itu yang boleh sesuka hati je tu nak menyakat aku.

Aku melepaskan keluhan berat. Mengalih posisi badan dengan akal yang sudah jauh menerawang ke majlis reunion sebentar tadi.

“Laila, ni laila kan?”Di kala kaki baru menginjak di ruangan Cafe ‘The Big Mouth’, aku disapa oleh seorang wanita yang ayu memakai blaus bercorak bunga yang labuhnya separas lutut dan berseluar jeans putih. Dia mengenakan tudung yang berwarna sepadan dengan blaus dan tas tangannya iaitu warna pink pekat. Huh, gegirl sangat!

Aku mengukir senyum sambil otak berkerja keras untuk mengilhamkan namanya. Al-maklumlah, sudah sebelas tahun meninggalkan alam persekolahan, inilah kali pertama batch SPMku mahu mengadakan majlis Reunion ini. Lama sangat kami tidak bersua muka sampaikan nama setiap orang pun aku boleh lupa.

Tapi dia ingat aku kut! Tak ke dia terasa kalau aku tanya nama dia? Haishh, Laila…Laila. Lain kali jangan sibuk dengan dunia sendiri je. Hal kawan-kawan lama kena ambil tahu juga. Aku memarahi diriku sendiri.

“Erm, mesti Laila dah tak ingat dekat Mus kan? Dulu kita duduk sebelah meja. Masa SPM dulu pun muka Mus ni jugalah yang duduk dekat sebelah meja Laila dalam dewan peperiksaan.”Ada rajuk dalam suara itu apabila tindakanku seakan aku memang sudah kehilangan memori tentangnya. Maaflah, aku memang susah nak mesra dengan orang.

‘Mus? Oh, ya Mus! Minah ni lah dulu yang kerjanya asyik nak meniru kerja sekolah aku. Asyik tak sempat nak buat saja alasannya. Ingat aku nak percaya? Erm, tapi dalam mengomel-ngomel pun masa tu, aku bagi juga dia tiru. Lantak dialah! Kalau dia tak pandai tu nasib dialah, bukan aku.’ Hatiku mula berkata-kata.

“Eh, takkanlah Laila tak ingatkan Mus. Laila ingat yang Mus dulu selalu kena denda sebab tak siapkan kerja sekolah dan muka ni lah yang selalu jadi rujukan Mus untuk copy paste jawapan.”

Aku menudingkan jari ke mukaku sendiri. Cuba berseloroh dengannya walaupun dalam hati memang aku berniat sengaja mahu memerli. Dulu aku tak sempat nak perli. Dah alang-alang sekarang ni berkesempatan, aku bagilah sekali!

Dia hanya ketawa apabila aku mengenakannya. Kenangan lama tu. Mesti dia rasa nostagia gila. Padahal saat-saat itulah bagiku sangat annoying gila.

“Eh, Laila datang seorang je? Husband tak ikut?”

Berhenti ketawa, dia terus mengajukan soalan yang tidak aku sangka-sangka. Matanya melilau mencari-cari seseorang. Haishh, cari siapa kak? Husband aku? Buat-buat tak tahulah tu.

“Laila belum kahwinlah Mus.”Hanya itu jawapanku sambil bibir cuba mengerah ketawa.

“Belum? Then, Mr. Special tak kan tak follow? Sayanglah kalau tak bawa sama. Time gather macam ni lah kita nak kenal-kenal. Tengok yang lain semua ada escort. Sampai bila Laila nak sorok?”

‘Hish minah ni! Boleh tak jangan interview aku dengan soalan macam tu? Nak kenal-kenal? Nak kenalkan macam mana kalau aku sendiri pun tak kenal siapa Mr. Special aku tu!’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience