“Laila!
Aku kelegaan tatkala wajah Syahirah dan Fiza tiba-tiba muncul dan mencelah dalam perbualan antara aku dan Mus. Fuh, terselamat aku daripada soalan yang aku malas nak jawab tu.
“Syahirah! Fiza!”
Separa berteriak aku memanggil nama mereka berdua yang sudah agak lama tidak aku jumpa. Teruja benar aku pada ketika itu sambil diri bergilir memeluk dan berlaga pipi dengan mereka berdua.
Dulu, di zaman persekolahan mereka berdua inilah teman karibku. Habis saja SPM kami masing-masing membawa haluan sendiri. Kalau dapat jumpa pun hanya sekali sekala sahaja kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri.
Maklum sahajalah, kedua-duanya sudah menyandang title isteri. Antara kami bertiga, Syahirahlah yang menjadi orang pertama menamatkan zaman bujang. Masih aku ingat betapa meriahnya majlis persandingannya bersama Haziq pada dua tahun yang sudah. Nasiblah aku berkesempatan untuk pergi.
Manakala Fiza pula masih layak untuk digelarkan ‘pengantin baru’. Inai di jari masih merah tu.
Sayangnya aku tidak dapat menghadirkan diri pada waktu itu. Bukan main merajuk lagi dia dengan aku sehinggakan panggilan telefonku tidak mahu disambutnya. Puas aku pujuk supaya alasanku diterima tetapi dia tidak mahu mengendahkannya.
Aku tahu dia hanya merajuk manja. Tengoklah malam ni, elok saja dia menegur aku. Lagipun, tak eloklah amalkan sikap rajuk ni lama-lama. Sengsara pula En. Adib nanti. Tak pasal-pasal kena melayan karenah isteri yang kaki merajuk. Tapi sweet apa kalau merajuk-rajuk manja dengan pasangan ni. Haha!
“Hei, korang. Tengoklah orang tu. Still teguh dengan pendirian dia nak bergerak solo. Come on Laila, kami dah tak sabar-sabar nak tunggu kau join the club!”
Aku mengerut dahi. Dah macam kek lapis aku rasa dahi aku sekarang ni?
“Club? Korang ada tubuhkan club ke? Club apa?”Nyata aku bingung tentang club yang Syahirah maksudkan.
Melihatkan keadaanku yang terpinga-pinga itu, ketawa mereka bertiga meletus di hadapanku. Huh, bukan main seronok lagi mereka ketawa tak ingat dunia. Apa yang lawak pun aku tidak tahu?
“Bila lagi nak join club isteri-isteri mithali macam kita orang ni? Haish, Laila ni slowlah.”
Cis, Fiza kata aku slow! Sabar sahajalah aku dengan mereka bertiga ni. Kepala sama saja rupanya.
Tak ada topik lain agaknya nak soal aku. Bertanya khabar dulu tak boleh agaknya? Kalau tahu nak jadi begini tadi, baik aku sewa teman lelaki upahan buat escort aku. Macam dalam drama di slot akasia tu.
“Lah, dah itupunlah tujuan aku datang malam ni. Kut-kutlah ada yang belum berpunya tu sangkut kat muka aku yang cun melecun ni.”Aku membuat gaya ayu, sengaja melayan usikan mereka.
“Hish, bahaya ni Fiza, Mus. Jaga laki kita semua. Aku dah nampak ciri-ciri kaki sailang dekat muka Laila ni.”Usikan Syahirah disambut dengan gelak ketawa kami.
“Ha tahu pun tergugat. Tapi tak payah risau, aku tak main lebih-lebih orang.”Aku membalas dengan nada gurauan juga. Aku tahu mereka tidak akan terasa dengan cara usikan sebegitu.
“Iyalah. Mestilah dia nak tunggu Mr. H dia. Doa-doalah ya Laila supaya Mr. H tu masih pegang title yang sama macam kau juga.”
Entah kenapa gelak ketawa mereka tidak mampu aku sambut dengan wajah yang bahagia. Aku hanya mampu tersenyum kelat kerana sebaris nama yang Syahirah sebutkan itu telah mengenangkan aku pada peristiwa yang lalu.
Share this novel