Aku melintas di kaki lima kelas 5 Angsana untuk ke tandas. Jujurnya, aku bukannya mahu melunaskan hajat sangat pun tetapi aku sengaja mahu melalui jalan itu. Apa lagi kalau bukan nak tengok Mr. H aku yang sedang tekun belajar di dalam kelas? Budak pandailah katakan.
Aku? Aku bukan tak pandai, cuma aku low profile sikit je daripada dia. Aku pelajar kelas kedua iaitu 5 Baiduri. So, potensi untuk aku berjumpa dengan Mr. H selain di library amatlah tipis sekali. Disebabkan itu aku kena cari inisiatif sendiri, macam yang aku tengah buat sekarang ni.
Sambil mengatur langkah yang kononnya bertujuan untuk ke tandas, mata aku bawa ke dalam kelas 5 Angsana yang sedang diajar oleh Cikgu Azli, guru disiplin sekolah ini. Melalui celah-celah bukaan tingkap, aku dapat menangkap kelibat Mr. H ku yang sedang bersandar di kerusi tempat duduknya sambil tangan ligat bermain-main dengan sebatang pen.
Aku tersenyum sendiri. Haishh, sahlah aku ini sudah angau tahap kronik. Dia fokus belajar pun aku nak excited.
“Hei Miss D!”Aku yang tadinya sedang mengelamun terus tersentak. Agak terkejut aku tatkala melihat kelibat Mr. H melintas di hadapanku sambil mengangkat tangan tanpa sapaan. Dia kemudiannya terus berlalu pergi sambil memasukkan kedua-dua belah tangan ke dalam poket seluarnya.
Aduss, gugur jantung aku weh bila dia tiba-tiba menegur! Itulah, berangan saja kerjanya sampaikan bila masa dia keluar daripada kelas pun aku tidak sedar.
Miss D? Kenapa dia panggil aku dengan nama tu ek? Sedangkan nama aku tak ada kena mengena dengan huruf D pun. Eh, patut ke aku kejar dia untuk bagi tahu nama sebenar aku? Of courselah patut, Laila. Apa lagi? Kejarlah dia! Otakku sudah mula merancang idea gila.
Dalam dada diasak debar, aku gagahkan juga kaki untuk melangkah mendapatkannya. Walaupun pergerakannya tidaklah selaju mana tetapi entah mengapa kaki terasa berat untuk mengejarnya? Gugupkah aku?
“Miss D nak ikut saya masuk tandas ke?”
Di kala dia menegurku sebegitu, aku seakan baru tiba ke dunia nyata. Alangkah terkejutnya aku sejurus menyedari bahawa aku sedang berdiri tepat-tepat menentanginya di hadapan pintu tandas lelaki. Ya… ‘ Lelaki’.
Ya Allah, malunya aku! Memerah aku rasakan mukaku kini. Hei, macam manalah aku boleh tak sedar yang laluan kakiku sudah bertukar arah sehinggakan aku membontotinya ke arah tandas berlainan jantina? Kau memalukan dirilah, Laila! Aku memarahi diri sendiri.
“Orang yang jarang pergi tandas memang macam ni. Kadang-kadang silap jalan.”Aku ketawa terpaksa untuk melindungi rasa maluku. Kemudian, aku segera menukar arah dan melajukan langkah untuk meninggalkan tempat itu.
Tuhan, malunya aku! Haishh, gara-gara perasaan suka pada dia, aku rasa macam diri tak jejak dunia nyata. Asyik berkhayal saja kerjanya.
Share this novel