Pagi itu aku terlewat untuk ke tempat kerja. Terkocoh-kocoh aku menyiapkan diri kerana jam di dinding sudah menunjukkan ke angka 8.30 pagi. Huh, ini dah lambat sangat ni.
Haishh, susahnya bila mak dan ayah tak ada. Buat apalah mereka pergi ke rumah Kak Mel tu lama-lama agaknya? Dah sekarang aku ni tak ada orang yang boleh dibuat back up untuk kejutkan aku selain alarm telefon yang bunyinya romantik sangat tu.
Berlari ke muka pintu, aku segera memakai kasut yang aku capai dari rak kasut. Mengunci pintu rumah dan membunyikan alarm kereta untuk membukanya. Perlahan-lahan aku mengundurkan kereta melepasi pintu pagar yang terbuka sendiri sebelum pemanduanku terhenti kerana mataku dapat menangkap kelibat seorang lelaki yang amat aku kenali sedang bersandar di pintu kereta Honda Accordnya.
Dalam hati aku berkira-kira sama ada mahu meneruskan pemanduan ataupun turun untuk bertanya apa puncanya dia berdiri di hadapan rumahku ini. Aneh juga aku bagaimana dia boleh berada di sini?
Tetapi belum sempat untuk aku memilih salah satu daripada dua pilihan itu, aku tersentak dahulu apabila ada tangan yang mengetuk cermin di sebelahku. Ternyata dia sudah berdiri di situ.
Dengan perasaan yang gugup aku membuka cermin tingkap itu. Dia menundukkan sedikit tubuhnya supaya senang untuk berbicara denganku.
“Nak pergi mana? Awal dah keluar?”Tanyanya dengan wajah yang ceria.
Dia tanya aku nak pergi mana? Pagi-pagi macam ni dia boleh tanya aku nak pergi mana?
“Saya nak pergi kerja. Dah lambat dah pun sebenarnya ni.”
Kataku bersahaja sambil mata mengerling ke arah jam di dashboard. Dah 8.45 pagi. Haishh, masak aku kena ceramah dengan bos nanti ni!
“Rajinnya Miss D ambil OT hari ahad macam ni.”
Aku tergamam mendengarkan kata-katanya. Tanpa berlengah, buru-buru aku mencapai telefon bimbit dari dalam beg tangan. Skrin telefon pintar itu menjadi singgahan mataku. Benar, hari ni hari ahad. Aduss, bengongnya aku! Macam manalah aku boleh lupa yang hari ini masih cuti lagi.
“Kenapa? Baru sedar yang hari ni company awak cuti? Haihh Miss D. Kronik dah penyakit awak ni.”
“Iya. Saya tahu saya kuat berangan. Dari dulu sampai sekarang, awak nampak saya tak berubah-ubahkan?”
Nampaknya rasa geram sudah tidak mampu aku kawal.
Dia hanya ketawa apabila aku memarahinya. Ya Allah, sejuk terus hati aku ni rasanya. Ah, parah, parah!
“Okey-okey. Saya mengalah. Miss D tak berangan pun sebenarnya. Apa yang Miss D rasa sebelum ni bukan satu anganan tapi kenyataan di masa hadapan. Masa sekarang ni.”
“Ha?”Aku tidak mengerti. Berkerut-kerut dahi aku sekarang ini.
Dia ketawa lagi apabila melihat wajahku yang blur habis. Dah aku memang tak faham, so tak kanlah aku nak buat-buat faham pula?
“Teman saya breakfast. Nanti saya explain.”
Share this novel