Setelah berhari-hari perlian Syahirah dan Fiza berlegar-legar di ruangan telingaku, hari ini aku sudah nekad untuk mengambil langkah berani. Lelaki yang aku gelarkan sebagai Mr. H di dalam hatiku ini mesti aku dekati. Dah tak sanggup lagi rasanya aku mahu menyimpan perasaan ini seorang diri.
Bersama dua buah novel di tangan, aku berjalan mendekati kaunter pinjaman. Apa nak jadilah dengan kau ni Laila? Tahun nak SPM ni jugalah kau sibuk nak baca novel. Hehe, tapi sebenarnya novel ni aku nak buat syarat saja. Tajuk novel ni yang menjadi keutamaannya. Inilah yang dinamakan taktik.
“Ehem, saya nak pinjam novel ni.”Setelah berjaya mengawal debar, aku mula bersuara. Macam mana aku tak berdebar weh, jarak aku dengan dia hanya dipisahkan dengan kaunter ini sahaja.
Daripada fokus dengan buku bacaannya, dia membawa pandang menentangiku. Buat seketika aku terkaku. Aduss, senyuman dia memang boleh buat aku cair. Ya Allah, indahnya ciptaan-MU ini.
Apabila dia menghulurkan tangan meminta aku menyerahkan novel itu kepadanya, dadaku berombak semula. Ligat sungguh rasanya jantungku melakukan kerjanya sehinggakan aku rasa seperti mahu pengsan sekarang juga. Huh, control Laila, control! Jangan nampak sangat yang kau tengah angau dekat dia. Pesanku pada diri sendiri.
Lalu, satu daripada novel itu aku hulurkan kepadanya sambil mulut membaca tajuk yang tertera di muka hadapan novel itu.
“Saya suka awak.”
Aku lihat dahinya berkerut. Daripada ekspresinya seakan dia cuba memintaku mengulang ayatku tadi.
“Tak. Tajuk novel ni, ‘saya suka awak’.”Ulangku, kononnya merujuk kepada tajuk novel itu sedangkan sebenarnya hatiku memang memaksudkan perkataan itu.
Dia aku lihat hanya tersenyum. Tiada sepatah kata sebagai respons. Hai Laila, betul ke apa yang kau buat ni? Aku tiba-tiba menjadi was-was dengan tindakanku.
Tak apa Laila, tak apa! Cuba lagi. Kalau kau tak cuba, mana kau nak tahu. Entah-entah dia suka bila kau cakap macam tu. Haha, hebatnya aku menyedapkan hati sendiri.
“Actually, I love you.”Kataku lagi ketika tangan menghulurkan novel yang kedua. Pada waktu itu, hanya Tuhan sajalah yang tahu betapa aku menebalkan muka untuk mengungkapkan ayat itu. Merah padam dah aku rasa muka aku sekarang ni.
Dia di hadapan, masih beriak sama. Sukar untuk aku membaca riak yang terlukis di wajahnya kerana dia kelihatan tenang dan bersahaja. Nampaknya, maksud tersirat di sebalik kata-kataku itu tidak sampai ke hatinya. Hampanya rasa!
“Suka baca novel?”Tanpa aku duga, dia akhirnya bersuara. Dua keping kad kecil berwarna coklat cair dikeluarkan daripada belakang kedua-dua buah novel itu dan kemudiannya dihulurkan kepadaku bersama sebatang pen.
Aku yang masih beku di situ segera mengawal riak. Lekas-lekas aku menyambut hulurannya itu walaupun aku sedar bahawa tanganku sedang menggeletar. Ya Allah, dia tanya aku kut! Argghhh, rasa macam nak menjerit je aku sekarang juga. Eh, Laila! Behave, behave. Tak pernah dibuat orang menjerit dalam library. Kalau agak-agak nak pecah rekod, buatlah!
“Suka.”Tipuku sepatah. Sebenarnya hanya itu saja perkataan yang mampu aku luahkan. Tak tahulah kenapa aku boleh jadi nervous sangat ni sampaikan tulisan aku pun dah teruk sangat rupanya. Aduss, memalukan betul!
Selesai menulis nama, kad itu aku hulurkan kepadanya semula. Dia sambut berserta senyuman. Oh Mr. H, tolonglah jangan bagi aku terbang di awang-awangan.
“Setahu saya orang yang suka baca novel ni kuat berangan. Patutlah saya selalu nampak awak senyum sorang-sorang dalam perpustakaan. Buku dekat meja pun langsung tak dipandang.”
Dush! Walaupun suaranya bersahaja tetapi semua itu terasa tepat ke batang hidungku. Membahang rasanya di seluruh muka. Malu woi sebab terkantoi yang aku memang selalu berangan apabila masuk library ni. Angankan kau jadi Encik suami akulah Mr. H!
“Nah, saya suka awak. Actually, I love you.”Dia mengulang kelakuanku. Dihulurkannya kepadaku satu persatu novel itu sambil membaca tajuk yang tertera di cover novel itu. Ya Allah Mr. H, janganlah buat aku terlebih perasan. Tetapi tak apa, aku akan tetap simpan kata-kata itu jauh di sudut hati yang paling dalam walaupun ianya hanya sekadar harapan.
Share this novel