BAB 5

Romance Completed 4739

“Aku nak beli Cik Hati buat teman tidur.”

“Kau ni dah buang tabiat ke apa, Am? Tak pernah dibuat orang lelaki maco macam kau beli bantal berbentuk hati buat teman tidur! Tapi, Am… takkanlah disebabkan kau malu dengan aku, kau nak halau aku keluar kut?” Fahmi membetulkan duduknya supaya menghadap Dameer Amzar.

“Bukan bantallah, Mie. Tapi, chica (perempuan)!”

“Chica?” Hampir bertaut kedua-dua belah kening Fahmi. Pertama kali dia mendengar perkataan tersebut.

“Oh, aku terlupa. Kau tak faham bahasa Sepanyol. Pe-rem-pu-an!” jelas Dameer Amzar.

Terlopong Fahmi mendengarnya.

“Kau biar betul, Am? Aku tahulah kau ada ramai awek, tapi, takkanlah sampai nak bawa ke rumah pula? Aku tak sangka pula kau lelaki macam tu, Am!”

“Hoi, cuba jangan fikir yang bukan-bukan! Aku nak kahwin dengan dialah!” marah Dameer Amzar apabila teman serumahnya berfikir yang tidak elok tentang dirinya. Dia sedar, dia punya ramai teman wanita. Tetapi, dia bukanlah lelaki yang mudah menyentuh seorang perempuan lebih daripada apa yang sepatutnya. Dia sekadar melayan mereka dengan baik dan memberi apa yang mereka mahukan sahaja. Tambahan pula, mereka sendiri tahu bahawa mereka tidak akan dapat memiliki hatinya.

Fahmi merasakan seolah-olah rahangnya sudah terjatuh ke lantai. “Kau nak kahwin, Am? Dengan siapa?”

“Dengan Cik Hati. Aku nak beli Cik Hati.” Tersenyum-senyum Dameer Amzar sebaik menyebut nama Cik Hati.

“Cik Hati? Awek baru kau?” Fahmi bingung.

“Nak kata awek, tak juga. Tapi, aku nak beli dia walaupun aku sendiri tak tahu sama ada aku mampu membayarnya atau tak!” ujar Dameer Amzar bersungguh-sungguh.

“Kau gila?” Terjerit Fahmi mendengar kata-kata teman serumah merangkap rakan karibnya itu. “Berapa harganya?”

“Kasih sayang yang tak terhingga.”

“Hah?” Terkebil-kebil Fahmi merenung lelaki itu.

“Harganya, kasih sayang yang tak terhingga.” Dameer Amzar mengulang kata-katanya. Dia membiarkan Fahmi mencerna dahulu ayat tersebut sebelum menyambung, “No discount and no refunds after purchase! Menarik, kan?”

“Siapa perempuan tu? Kau tak pernah bercerita pun, tup-tup cakap nak kahwin. Siapa? Shiela? Mimie? Zulaikha?”

Dameer Amzar menggeleng laju.

“Siapa?”

“Hani Safiya. Sedap namanya, kan? Sepadan dengan orangnya. Kecil molek.”

“Sejak bila kau bercinta dengan dia ni? Kata tadi, bukan awek kau.”

“Memang bukan awek aku pun. Aku baru kenal dia petang tadi.”

Fahmi menepuk kuat dahinya. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menghantukkan kepalanya ke dinding. Tetapi, memandangkan dia masih sayangkan dirinya, dia batalkan hasrat itu.

“Kau gila?” tempelaknya kuat.

“Entahlah, Mie. Tadi, kawan dia pun bertanyakan soalan yang sama.” Dameer Amzar menjawab dengan jujur. Sungguh, dia tidak tahu mengapa dia boleh mengambil keputusan sedrastik itu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience