BAB 13

Romance Completed 4739

PERLAHAN-LAHAN pintu bilik dikuak dari luar. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, matanya mengesan sesusuk tubuh seorang lelaki sedang duduk di hujung katil sambil mengusap dagu seperti sedang memikirkan sesuatu. Selalunya, pengantin lelaki yang akan masuk manakala pengantin perempuan menunggu di dalam bilik. Ini sudah terbalik pula. Si isteri masuk ke bilik sendiri dengan si suami menanti dengan wajah tidak puas hati.

“Abang buat apa tu?” soal Hani Safiya kehairanan. Asyik benar Dameer Amzar merenung sesuatu sehinggakan tidak sedar akan kehadirannya di dalam bilik itu.

“Abang sedang tengok harta karun Hani. Pada masa yang sama, abang terfikir dari mana datangnya harta karun tu.”

Berkerut-kerut dahi Hani Safiya mendengarnya. Entah apalah yang dilihat oleh suaminya. Kakinya dihayun laju menuju ke katil.

“Harta karun apa ni, bang?”

Dameer Amzar menarik lengan isterinya. “Duduk dulu,” ujarnya sambil menepuk-nepuk pahanya.

“Hish, tak naklah!”

“Eh, dengan suami sendiri pun nak malu-malu? Kata nak abang bayar harga hati Hani tu dengan kasih sayang. Ini abang nak mula membayar, dia tak nak pula. Duduk!”

Walaupun malu-malu, Hani Safiya akur. Dia duduk di atas paha lelaki itu. Selepas itu, dia bertanya, “Mana harta karunnya?”

“Tu.” Dameer Amzar menuding ke arah almari yang pintunya dibiar terbuka luas sejak tadi. Dua ekor beruang teddy berwarna coklat sedang duduk di atas lipatan baju-baju.

“Ops!” Hani Safiya segera menekup mulut.

“Pakwe lama bagi ya?” teka Dameer Amzar.

“Ha’ah.”

“Kenapa tak buang?” soal lelaki itu dengan nada cemburu.

“Sayanglah. Elok lagi tu. Boleh buat teman tidur.”

“Apa dia, sayang? Cuba ulang sekali lagi ayat tu.” Dameer Amzar menjegilkan matanya tanda tidak puas hati dengan apa yang didengarinya sebentar tadi.

“Sayang nak buang. Teddy bear tu boleh dipeluk sewaktu tidur.”

“Apa abang yang besar ni tak cukup untuk dipeluk ke, sayang oi?”

“Itu kalau abang ada. Kalau abang pergi outstation, nak peluk apa? Orang tak biasalah kalau tidur tak peluk sesuatu. Rasa macam ada sesuatu yang kurang.” Hani Safiya memuncungkan bibirnya.

“Kenapa tak beli satu bantal kecil buat bantal busuk?”

“Alah, tak samalah.”

“Apa pula tak sama? Sama saja! Boleh peluk juga. Abang nak Hani pergi buang teddy bear tu sekarang. Both!” Dameer Amzar mula mengarah.

“Alah, abang ni. Kan orang dah cakap tadi, sayang! Benda elok lagi, buat apa nak membazir?”

“Abang tak peduli. Kalau Hani tak nak buang, berikan saja kepada sesiapa asalkan abang tak nampak benda tu di dalam rumah ni!” tegas Dameer Amzar.

“Hish, abang ni!”

“Jangan nak hish-hish dengan abang.”

“Kuat cemburu!” ucap Hani Safiya sambil menjelirkan lidahnya. Dia menyambar kedua-dua ekor beruang teddy itu dengan kasar. Kakinya sengaja dihentak kuat-kuat ke lantai tanda protes.

“Mestilah! Ingat murah abang beli hati Hani tu? Kalau Hani nak sangat, esok juga abang pergi carikan bantal busuk untuk Hani!”

“Hish, mengada-ngada! Kuat cemburu! Nasib baik orang dah jual hati orang pada dia. Kalau tak….” Sengaja dibiarkan ayatnya tergantung.

“Kalau tak, apa sayang?”

“Tak ada apa-apa,” balas Hani Safiya dengan nada sombong. Dia melangkah keluar bilik untuk mencari orang yang sudi mengambil kedua-dua ekor beruang teddynya sebagai anak angkat.

“Eh macam tu pulak? Hani!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience