BAB 6

Romance Completed 4739

“Kau serius, Am? Kau jangan main-main, Am. Perkara nikah kahwin ni perkara serius. Kau kena fikir masak-masak. Mana boleh ambil keputusan macam tu saja.”

“Mie,” Dameer Amzar menghadap Fahmi dengan mata yang bercahaya, “aku… aku tak tahu kenapa dengan aku ni. Mula-mula, aku ingat nak main-main saja. Perempuan tu memang dah gila, Mie. Dia lekatkan satu iklan depan pintu Rosette Florist. Kau nak tahu apa yang dia tulis?”

“Apa?” tanya Fahmi, teruja dengan cerita tersebut.

“Hati untuk dijual. Tak pernah dibuat orang!”

“Jadi, kau pun sama-sama gilalah, ya?”

“Waktu tu, aku masih waras, Mie. Aku sengaja mahu berjumpa dengan perempuan tu. Nak tengok, siapa awek tiga suku yang buat iklan tu. Tapi, sekali dia angkat kepala pandang aku… terkeluar jantung aku ni, Mie. Serius, waktu tu, aku rasa macam dunia di sekeliling aku berhenti buat seketika. Tapi, mujurlah aku sempat kontrol maco.”

“Cun sangat ke awek tu, Am? Tak pernah-pernah aku dengar kau puji seorang perempuan sampai macam ni sekali.”

“Secara jujurnya, dia tak adalah cun sangat. Biasa-biasa saja. Tapi, comel tu ada bila dia senyum pada aku. Seperti yang aku katakan tadi, dia kecil molek orangnya. Mungkin itu yang membuatkan dia bertambah comel.”

“Heh, mengikut apa yang aku faham, kau dah jatuh cinta pada dia? Cinta pandang pertama? Come onlah, Am. Kau tak pernah percaya pada cinta. Tiba-tiba kau katakan yang kau nak kahwin dengan perempuan tak waras tu? Am, cubalah kau fikir secara logik. Ada ke orang yang waras nak buat iklan macam tu? Entah-entah perempuan tu terlepas dari hospital bahagia. Siapa nak tanggung kalau terjadi apa-apa? Kau nak?”

Dameer Amzar sekadar mengangkat bahu.

“Sebenarnya, kau sengaja nak main-mainkan dia, kan? Baik tak payahlah, Am. Buang masa kau saja layan orang gila. Ramai lagi perempuan yang boleh kau pilih.” Fahmi cuba menasihati teman serumahnya itu. Memang tidak boleh diterima dek akal idea lelaki itu. Apa dia ingat nak kahwin ni seperti nak beli baju di kedai? Rasa-rasa berkenan, ambil dan bayar di kaunter. Kalau ada rosak di mana-mana, boleh dipulangkan. Tetapi, kalau dah berkahwin, dia fikir boleh bercerai begitu sahaja jika hati sudah tidak berkenan?

“Tapi, Mie, aku dah tertarik pada dia. Wujud satu perasaan yang tak dapat aku tafsirkan. Aku… aku tak tahu apa perasaan itu, kenapa ia wujud.”

“Ah, mainan perasaan kau saja tu. Kau tengoklah nanti, tak sampai sebulan, kau dah jemu. Orang, kalau nak kahwin, ambil masa untuk kenali hati masing-masing dulu. Mana ada orang baru beberapa jam kenal, terus ambil keputusan nak kahwin. Tinggi risikonya!”

“Aku tahu, Mie. Masalahnya sekarang, aku nak cuba dulu tapi, tak ada free trial! Aku hanya ada dua pilihan; beli dengan harga yang ditetapkan and no refunds ataupun lepaskan saja peluang ni begitu saja.”

“Aku rasa, baik kau pilih yang kedua. Jalan paling selamat! Kau tak rugi, dia tak rugi, aku pun tak hilang seorang kawan yang waras.”

“Tapi, Mie… aku….”

“Ah, sudah! Aku dah malas nak layan. Kalau kau rasa nasihat aku tadi berguna, kau ikut. Kalau tak, kau ikutlah kata hati kau tu. Aku tak mahu masuk campur. Aku sebagai kawan, dah jalankan tanggungjawab aku. Yang selebihnya, kau sendiri pilih. Kalau menyesal nanti, tanggung sendiri!” Fahmi bingkas berdiri. Kakinya diayun menuju ke tangga. Lebih lama dia berada di situ, makin bingung dia dibuatnya. Silap hari bulan, dia yang akan masuk ke Tanjung Rambutan terlebih dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience