BAB 7

Romance Completed 4739

“MACAM mana? Berjaya bertemu dengan pembeli hati kau tu?” Belum sempat Juliana duduk, dia sudah bertanya sebaik sahaja dia tiba di meja di mana Hani Safiya menantinya. Beg tangannya dicampakkan begitu sahaja ke kerusi sebelah.

Hani Safiya menggeleng lemah. “Belum.”

Juliana terasa mahu ketawa sahaja ketika telinganya menangkap jawapan tersebut. “Habis, Encik Pembeli Hati kau yang boleh tahan kacak tu, dah ke mana? Hari tu, beria-ia sangat nak membeli hati kau.”

Satu keluhan berat terluah dari mulut Hani Safiya. Sukar dia hendak menjawab soalan itu kerana dia sendiri tidak mengerti. “Entahlah, Jue. Selepas dia dapat nama sebenar dan nombor telefon aku yang satu lagi, dia senyap saja. Tak pernah pun cuba untuk call atau SMS aku. Mungkin dia dah tukar fikiran selepas dia sedar yang dia masih waras kut.”

“Hai, macam orang berputus asa saja? Atau kau sebenarnya dah jatuh suka pada dia, hmm?” Juliana mengangkat-angkat keningnya.

Hani Safiya diam. Agak lama. Akhirnya, dia menjawab perlahan, “Entahlah.”

“Betullah tu, kan?”

“Jue, serius aku tak tahu! Aku… aku nak jual hati aku tapi, dia….”

“Kiranya, kau dah beri hati kau secara percumalah ni, kan? Macam mana ni? Lain yang kau rancangkan, lain pula yang jadi?”

“Aku rasa…,” dia berhenti seketika sebelum menyambung, “perasaan aku saja kut. Terlebih teruja bila tiba-tiba ada orang menunjukkan minat macam tu pada aku. Kalau aku keluar dengan orang lain nanti, hilanglah perasaan tu.”

“Yalah tu. Kau sebenarnya tak dapat nak bezakan di antara love and crush! Kalau perasaan itu hadir buat seketika saja, itu bukan cinta namanya. Itu gatal namanya! Cinta ni, bila kau tengok lelaki lain yang lebih kacak pun kau dah tak peduli. Hanya dia di mata kau. Apa kau buat, semua serba tak kena sebab asyik teringat pada si dia.”

“Amboi, Jue. Bercakap, bukan main lagi!”

“Hei, aku dah lima kali putus cinta okey! Mestilah aku tahu. Aku lebih banyak pengalaman daripada kau!” balas Juliana dengan bangga.

“Lima kali putus pun nak bangga. Orang kata, berkawan biar beribu, tapi, bercinta biar satu!”

“Eh, tolong sikit. Aku bercinta dengan seorang lelaki pada satu masa okey! Bukannya aku bercinta dengan kelima-limanya pada masa yang sama.”

“Hmm… apa-apa sajalah. Aku nak pergi dulu ni.” Hani Safiya segera mengeluarkan sekeping not sepuluh ringgit.

“Eh? Nak pergi dah? Aku belum sempat order air.”

“Mana nak sempat order. Asal sampai saja, terus pot pet pot pet berleter. Duit tu, tolong bayarkan air aku. Yang selebihnya, guna untuk bayar air kau.”

“Kau nak ke mana sebenarnya ni? Tak boleh ke tunggu aku minum dulu?”

“Aku nak pergi date.”

“Dengan siapa?” Jelas terpamer riak terkejut di wajah Juliana.

“Dengan pembeli hati yang baru.”

“Amboi, tadi bersedih-sedih. Konon, tak ada orang nak beli. Ini dah lain pula?”

“Well….”

“Apa-apa pun, aku nak ingatkan kau. Berhati-hati! Lelaki ni, bukan kesemuanya boleh dipercayai. Ada yang cuba mengambil kesempatan. Tambah-tambah lagi selepas membaca iklan tak ada otak kau tu.”

“Iklan memang tak ada otak. Aku saja yang ada otak.”

“Hah, loyar buruk dengan aku! Aku nasihat, bukan nak ambil buat peringatan!”

“Ya, Cik Juliana. Baiklah. Saya pergi dulu.”

“Eh, nanti!” Segera Juliana menarik tangan Hani Safiya seraya berkata, “Sebelum aku terlupa. Aku cuma nak beritahu fasal lelaki hari tu. Yang pergi ke kedai bunga aku tu.”

“Kenapa dengan dia? Dia tak call aku tetapi call kau pula?”

“Bukan. Aku cuma nak cakap, jangan percaya sangat pada dia. Aku rasa dia tu playboy. Dah beberapa kali dia pergi ke kedai aku beli bunga. Dan setiap kali, nama yang tertulis pada kad mesti nama yang berlainan.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience