BAB 1

Romance Completed 4739

Gadis itu menekan-nekan kertas yang tertampal di pintu kaca Rosette Florist itu. Puas! Kemudian dia melangkah masuk menuju ke kaunter pembayaran dengan senyuman lebar penuh bangga.

“Kau dah gila ke, Safi?” Juliana di kaunter bertanya dengan kedua-dua belah kening hampir bertaut.

“Ha’ah. Memang aku dah gila. Orang waras tak buat macam aku ni,” balas Hani Safiya dengan selamba. Dia menarik kerusi lalu terus menghenyakkan punggungnya ke situ. Pen penyerlah disambar lalu dia menyambung ‘kerja gila’nya.

“Kalau ya pun kau nak buat kerja tiga suku macam ni, boleh tak kau cari pot lain? Kenapa pintu kedai aku yang menjadi mangsa?” soal Juliana resah. Silap hari bulan, mahu tidak ada pelanggan yang masuk ke kedai bunganya nanti!

“Alah, relakslah, Jue. Aku tumpang iklan saja. Pelanggan-pelanggan kau tak kisah punya. Dia orang mesti tahu itu semua bukan kerja kau. Don’t worry be happy.”

“Don’t worry be happy kepala lutut kau! Kalau aku gulung tikar, kaulah yang perlu bertanggungjawab!” Juliana menjerit geram. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia pergi cabut dan carik-carikkan ‘iklan’ milik Hani Safiya itu sekarang juga!

“Yalah, aku bertanggungjawab. Kau tak kesiankan kawan baik kau ni ke, Jue?” Hani Safiya tayang muka seposen. Tercebik-cebik dia dengan mata yang sudah berkaca. Ada tanda-tanda bahawa air hangat akan mengalir dari tubir matanya tidak lama lagi.

“Bukannya aku tak kesiankan kau tapi, cara kau tu dah melampau! Macamlah kau terdesak sangat.”

“Memang aku dah terdesak, Jue. Terdesak sangat-sangat. Aku dah tak tahan, Jue. Mak aku tiap-tiap hari membebel. Pot pet pot pet. Bila nak kahwin? Bila nak kahwin? Soalan yang sama setiap hari. Kau tak tahu betapa penatnya aku nak dengar ayat yang sama saban hari. Boleh sakit jiwa jadinya! Nak kata aku ni tua sangat, tak juga. Aku baru 26 tahun. 26 aku cakap kau!” Hani Safiya meluahkan perasaannya dengan wajah tertekan. Dia sendiri pun tidak mengerti mengapa ibunya begitu ‘sibuk’ mahu melihatnya mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini. Jangankan tunang, calon teman lelaki pun dia tidak ada, bagaimana mahu berkahwin?

“Yang kau selalu sangat bercerita fasal kawan-kawan kita yang dah kahwin dan dah beranak-pinak depan mak kau tu, kenapa? Padanlah dengan muka kau! Orang tua ni, bila dah tengok anak-anak orang yang sebaya dengan anaknya berkahwin, dia pun mahukan benda yang sama. Dia tak mahulah anaknya dikatakan sebagai andartu dan ‘tak laku’. Ada faham?”

Hani Safiya terdiam. Dia sedar. Apa yang Juliana katakan itu, kesemuanya tepat. Jika dia tidak bercerita macam-macam, tidak adalah ibunya mahu bising-bising dan memaksa. Tambahan pula, dia berkerjaya, bergaji besar. Siapalah sangat yang peduli jika dia masih belum berkahwin walaupun umur sudah menghampiri angka 30. 26, tidaklah sebesar mana angka itu. Pada zaman sekarang, biasalah kalau masih belum berkahwin. Mengapa mahu dibanding-bandingkan dengan sahabat-sahabatnya yang lain? Mereka mahu berkahwin awal dan sudah sampai jodoh mereka, biarlah. Kata orang, kalau dah jodoh, tak ke mana. Jadi, biarlah dia tunggu sehingga jodohnya tiba.

Tetapi, sejak akhir-akhir ini, dia sudah tidak tahan. Jika dulu, sesekali sahaja ibunya akan bertanya. Sekarang, tiap-tiap hari! Siapa yang sanggup? Dia lebih rela pergi bekerja di luar kawasan berminggu-minggu lamanya daripada terpaksa menadah telinga mendengar leteran ibunya setiap hari. Walau bagaimanapun, rancangannya tidak pernah berjaya kerana rasa sayang dan hormatkan wanita itu, dia akan cepat-cepat menyiapkan tugasannya agar dia boleh pulang lebih awal.

“Kau dengan Fawwaz macam mana?”

“Hah?” Hani Safiya terkejut. Tiba-tiba sahaja Juliana bertanyakan soal Fawwaz ketika dia asyik mengelamun.

“Fawwaz ada contact kau tak?” Juliana menyoal lagi.

“Entahlah dia tu. Aku dah malas nak ambil tahu. Lantaklah apa nak jadi pada dia, aku tak peduli.” Hani Safiya menjawab acuh tak acuh sambil menyambung ‘kerja’nya yang terbengkalai tadi.

“Fasal dia kau memang tak payah peduli tapi, fasal duit kau yang dia pinjam, kau kena ambil peduli!” tegas Juliana.

“Ah, malaslah aku nak fikir. Kalau dia masih punya kesedaran nak bayar hutang aku, dia bayarlah nanti. Kalau dia tak bayar, biar dia sendiri yang tanggung. Aku takkan halalkan duit aku buat lelaki macam dia!”

“Hmm… eloklah tu. Dah elok kau orang bercinta bagai nak rak, tup-tup dia boleh pula buat perangai macam tu. Elok sangatlah kau tinggalkan dia. Kalau kau teruskan hubungan kau dengan dia pun, aku tak rasa dia akan berubah.”

“Hmm….” Hani Safiya masih tekun menyiapkan ‘kerja’nya.

Juliana duduk menyandar pada kaunter. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Hani Safiya.

Hani Safiya mengangkat wajah. Pelik dia dengan tindakan Juliana itu. “Kau nak apa?”

“Kau betul-betul dah tak sayang pada Fawwaz, kan?”

“Ya.”

“Betul ke ni?”

“Betullah!”

“Kau tak tipu aku?”

“Ya Allah, dia ni! Betullah, aku dah tak sayang pada dia! Kalau tak, tak adanya aku nak jual hati aku ni, wahai Cik Juliana sayang!”

“Kalau kau tak buat kerja gila ni, tak boleh ke? Kau…,” Juliana menuding ke dada Hani Safiya, kemudian menuding ke dadanya sendiri sebelum menyambung, “kita masih muda.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience