BAB 10

Romance Completed 4739

DIAM. Sejak tadi Dameer Amzar enggan bersuara. Dia hanya memerhati setiap gerak tubuh Hani Safiya dengan wajah bengis.

“Err… te… terima kasih,” ucap Hani Safiya takut-takut. Pertama kali dia melihat Dameer Amzar begitu marah. Dia hairan. Bukankah mereka masih belum mempunyai apa-apa hubungan? Mengapa lelaki itu begitu marah?

Dameer Amzar bersuara penuh ironi, “Terima kasih? Hah, agaknya kalau saya tak berada di situ tadi, apalah yang akan terjadi ke atas awak, kan?”

Hani Safiya terdiam. Wajahnya ditunduk menghadap permukaan meja yang berkilat tanpa sedikit pun habuk. Dia sedar. Dia yang bodoh.

Dameer Amzar mencondongkan tubuhnya ke depan seraya berkata, “Kenapa awak keluar dengan lelaki tu? Bukan saya dah cakap saya nak beli hati awak ke? Awak juga yang kata tak ada free trial. Habis, apa yang awak buat dengan lelaki tu? Awak dah langgar perjanjian, Hani Safiya.”

“Awak yang senyap! Seminggu lebih awak tak call atau SMS saya. Saya fikir, awak dah tak jadi. Jadi, saya carilah lelaki lain.”

“Cik Hani Safiya, saya pergi kerja, sayang. Outstation. Tak ada coverage. Macam mana saya nak call awak?”

“Tak ada coverage konon. Hutan mana yang awak masuk? Atau awak sebenarnya keluar dengan makwe-makwe awak yang lain?” sindir Hani Safiya.

Berkerut-kerut dahi Dameer Amzar. Pada masa yang sama, dia berasa gugup. Hani Safiya sudah tahukah bahawa dia pernah dinobatkan sebagai salah seorang kasanova terkenal di Bangsar?

“Awak pun sama saja dengan lelaki tadi! Playboy! Sengaja nak ambil kesempatan ke atas saya, kan?” Hani Safiya tergelak kecil. Kedengaran seperti ketawa yang sengaja dibuat-buat.

“Hani Safiya, saya tahu yang dulu saya ni playboy tapi, awak tak boleh nak samakan saya dengan lelaki tadi! Tak terniat di hati saya nak ambil kesempatan ke atas awak. Silap awak juga kerana meletakkan iklan macam tu, kan? Kalau awak nak tahu, ada dua jenis lelaki sahaja yang akan tertarik pada iklan sebegitu. Satu,” Dameer Amzar menayang jari telunjuknya, “lelaki jenis yang suka mengambil kesempatan ke atas perempuan. Kedua,” sambil menaikkan jari tengahnya, “lelaki gila!”

“Jadi, awak masuk ke dalam kategori mana? Satu atau dua?”

“Dua… mungkin.”

“Mungkin? Awak tak yakin dengan jawapan awak?” Suara Hani Safiya semakin sinis kedengaran.

Dameer Amzar melepaskan keluhan berat. “Hani Safiya, saya tak kisah jika dipanggil gila, sakit mental, tak waras atau sebagainya. Yang saya tahu, saya dah fikir masak-masak, saya memang nak beli hati awak dan saya sanggup bayar harga yang awak tetapkan tu. Saya takkan tarik balik kata-kata saya!” tegasnya.

“Betul?”

“Awak tak percaya?”

“Susah nak percaya kata-kata playboy ni. Lembut lidah daripada gusi.”

“Apa kata kita cuba dulu? Awak pun sedang terdesak, kan?”

Hani Safiya tersentak. “Ma… mana awak tahu?” soalnya gugup.

“Kalau tak terdesak, awak takkan terfikir idea gila macam ni, kan? Come on, awak kan engineer? Takkanlah seorang jurutera begitu mudah dapat sakit jiwa? Lainlah kalau awak ni seorang pakar psikiatri. Setiap hari terpaksa menghadap orang sakit mental. Lama-lama, diri sendiri pun boleh dapat penyakit yang sama. Betul tak?”

“Hmm….” Hani Safiya tunduk seolah mengakui tekaan tersebut.

“Boleh saya tahu kenapa? Sebab awak mahu buktikan kepada bekas teman lelaki awak yang awak boleh hidup tanpa dia atau sebab ibu bapa awak mahu awak berkahwin dalam masa terdekat?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience