BAB 9

Romance Completed 4739

“Alah, sama saja. Tak ada bezanya pun. Bayarannya tetap dengan kasih sayang tak terhingga juga. Saya boleh berikan semua itu. Come on, dah beli tak ada refund! Dah lupa?”

“Encik Kamil, awak belum membeli hati saya. Jadi, bila-bila masa pun saya boleh tukar fikiran dan perangai awak ni buat saya rasa jengkel! Tak mungkin saya nak serahkan hati kepada orang macam awak!” Hani Safiya bersuara kuat. Dia tidak peduli lagi sekiranya ada orang yang mendengar. Biar mereka dengar. Biar mereka tahu siapa lelaki itu. Biar juga mereka tahu bahawa dia begitu bodoh kerana menjadi mangsa lelaki seperti itu.

Kamil mula naik angin apabila dia dimalukan begitu. Dia terasa tercabar. “Hei, perempuan! Kau dah bazirkan masa aku berjumpa dengan kau, kau nak banyak songeh lagi!” jerkah Kamil sambil jari telunjuknya dituding ke mata Hani Safiya.

“Hmph!” Hani Safiya sekadar menjeling sambil menyilangkan tangan ke dada.

“Hei, kau jangan nak buat hal dekat sinilah. Ikut aku!” Sepantas kilat Kamil menyambar tangan Hani Safiya. Diheretnya gadis itu agar mengikutnya.

“Eh, apa ni?” Hani Safiya cuba menepis tangan Kamil yang mencengkam kuat lengannya namun, tidak berjaya. Orang ramai yang berada di situ sekadar memerhati. Mungkin mereka menganggap bahawa ia sekadar perbalahan di antara pasangan kekasih sahaja.

“Kau kena ikut aku, faham? Jadi, tolong diam!” Kamil memberi amaran keras sambil menjegilkan matanya.

“Awak ni memang tak faham bahasa. Saya kata tak nak, maksudnya tak naklah!” Hani Safiya sedikit pun tidak mempedulikan amaran Kamil. Dia harus mencari jalan untuk melepaskan diri.

Tiba-tiba sebelah tangan menyentuh tangan Kamil yang mencengkam lengan Hani Safiya. Pemilik tangan itu bersuara, “Encik, tak elok berkasar dengan perempuan.”

Secara automatik Hani Safiya mengangkat kepalanya. Matanya hampir tersembul keluar tatkala terpandangkan wajah Dameer Amzar. Apa lelaki itu buat di situ? Tetapi, mujur juga. Dapatlah dia melepaskan diri daripada Kamil.

Kamil menolak tubuh Dameer Amzar ke belakang. “Kau siapa nak masuk campur urusan aku dengan perempuan ni?”

“Aku ni bakal suami perempuan ni!” balas Dameer Amzar dengan selamba.

“Bakal suami? Hei, perempuan ni dah jual diri dia kepada aku, kau tahu tak? Jadi, dia milik aku!” bantah Kamil.

“Perempuan ni, perempuan ni! Ingat saya ni tak ada nama ke? Lagi satu, bila masa pula saya jual diri saya kepada awak? Tolong sikit. Saya belum buat apa-apa proses jual-beli, tau!” celah Hani Safiya. Dia bertambah bengang setelah mendengar kata-kata Kamil.

“Ha, dengar tu. Jadi, Hani Safiya ni aku yang punya. Aku yang beli hati dia dulu. Kalau kau nak, kau patut cari perempuan lain! Bukan dia!” Lantas, Dameer Amzar menarik lengan Hani Safiya. Ditolaknya tubuh gadis itu ke belakangnya.

Kamil tersenyum sinis. “Aku tak faham kenapa lelaki seperti kau nak sangat ambil perempuan murah ni daripada aku.”

Serentak dengan itu, satu tumbukan padu singgah ke wajah Kamil. Dia terdorong ke belakang dan jatuh terlentang. Darah mengalir keluar dari hidungnya. Cepat-cepat dia mengesat dengan belakang tangannya.

“Kau…!”

“Perempuan murah? Siapa? Kau jangan nak samakan dia dengan perempuan-perempuan lain yang kau kenal!” marah Dameer Amzar. Dia melangkah pergi dengan geram sambil menarik tangan Hani Safiya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience