BAB TIGA

Romance Completed 8384

MALAM itu selepas makan malam, aku gagahkan juga diri dan cekalkanlah hati untuk membincangkan hal pertunanganku dengan Taufik. Aku tak mahu membiarkan perkara itu berpanjangan. Lagi cepat aku berterus-terang, lebih cepatlah segala macam kekusutan dalam kepala aku ni dapat dirungkaikan.

“Papa, Mama, Fir nak bincang sikit boleh?” Aku memberanikan diri bersuara. Papa dan Mama yang sedang khusyuk menonton rancangan Berita serentak memandang kearahku.

“Bincang apa pula ni. Nampak macam serius je bunyinya ni” Papa bersuara dengan dahinya sudah mula berkerut. Mama juga menunjukkan reaksi yang sama. Pelik agaknya. Almaklumlah, selama ni, lepas makan malam je aku mesti sudah berkurung dalam bilik. Sibuk menyiapkan kerja-kerja pejabat. Bila tiba-tiba aku ada pula masa nak ajak mereka berbincang, memang patutlah mereka pelik.

“Err … Err …” aku sudah tergaru-garu kepala macam beruk sebulan kawan tak tolong cari kutu. Tiba-tiba rasa kecut perut pula untuk berkata-kata. Lebih-lebih lagi bila mengenangkan sikap Papa yang memang sangat mudah melenting. Ish! Tadi masa mula-mula buka mulut kenapa tak terfikir pula sifat baran Papa? Sekarang baru nak tergagap-gagap ke Firsaliana?? Terlajak perahu boleh diundur, telajak kata … mahu kena terkam dengan singa lapar!

“Cakap jelah. Tergagap-gagap ni kenapa? Firsaliana ada buat salah ke?” Mama pula bersuara. Suara tenang Mama masih tidak dapat membantu menjana kekuatan untuk aku terus meluahkan apa sudah aku karang sejak dari pagi tadi.

Aku masih diam. Wajah Papa dan Mama aku tatap silih berganti. Macamana reaksi mereka agaknya kalau aku kata nak putuskan pertunangan aku dengan Taufik? Papa aku yakin, mesti mengaum punya. Silap haribulan, memang aku kena grounded seumur hidup! Mama … Mesti ikut je rentak Papa. Walau tak segarang Papa, tapi bebelannya pasti akan menghiasi hari-hari indah aku selepas ini.

“Kamu ni kenapa Firsaliana? Kata nak berbincang. Ni kenapa dah macam patung cendana pula?” Papa sudah mula hilang sabar. Ala … Selama ni pun memang Papa memang tak berapa nak sabar pun. Pasal pertunangan aku dengan Taufik dulu pun, dia yang beriya-iya suruh cepatkan. Padahal masa tu, baru setahun aku kenal Taufik. Perasaan cinta pun baru je nak berputik. Tapi, sebab sayangkan Papa dengan Mama, aku ikutkan je la. Sekarang kalau aku kata nak putus, mesti aku kena balun punyalah! Confirm!

Aku telan air liur. Sikit punyalah payah, Macam kena telan biji durian je rasa.

“Fir …Fir rasa … Fir dengan Fik … Hmmm … Macam … Macam tak serasilah Papa. Firsaliana nak minta putus” satu-persatu patah perkataan terkeluar dari mulutku. Mata sudah pandang bawah saja. Tak berani nak berlawan mata dengan Papa yang pastinya sudah mula menyinga.

“Apa???”
“Kamu nak malukan Papa dengan Mama ke Fir?!”
“Apa Fir cakap ni?”
“Tak serasi macamana?”
“Tinggal berapa bulan lagi nak langsung majlis perkahwinan kan?”
“Kamu jangan cari nahas Firsaliana!”
“Taufik dah tahu ke pasal ni?”
“Kamu dah ajak Taufik berbincang ke?”
“Dah hilang akal agaknya budak ni!”

Tuuuuu dia! Papa dan Mama bercakap tak putus-putus. Bersambung-sambung. Dah macam orang lari berganti-ganti. Main pass-pass baton. Mereka sudah berjalan mundar-mandir di hadapanku. Terkebil-kebil mataku memerhatikan mereka yang sudah panik semacam. Macam ayam hilang anak.

“Firsaliana dah kenapa ni? Kenapa tiba-tiba buat keputusan macam ni? Kalau ada masalah dengan Taufik pun, bawalah berbincang. Cari jalan penyelesaian. Takkan tak boleh” Mama sudah duduk di sebelahku. Tangannya sudah melingkar dibahuku dengan pandangannya terpusat seratus peratus pada wajahku. Inilah posing Mama kalau dia hendak memujukku. Dari aku kecil sampailah dah besar panjang. Mama akan gunakan cara ini untuk melembutkan hatiku. Tapi rasanya tak pernah pun berjaya. Aku ni nama je anak Mama tapi keras kepala memang betul-betul ikut Papa.

“Firsaliana dah tak boleh lah dengan Fik tu Ma. Cemburunya mankin menjadi-jadi. Tak tahan lah Firsaliana kalau hari-hari jumpa asyik nak bergaduh je” akhirnya aku luahkan juga pada Mama. Sebelum hubungan kami menginjak ke gerbang perkahwinan, ada baiknya kami putus sekarang. Fikirku.

“Alasan kamu saja tu! Kalau kamu tak buat hal, takkan si Taufik tu nak cemburu! Kalau payah sangat, lepas kahwin, berhenti kerja, duduk rumah! Jaga laki, jaga anak. Habis cerita!” Seperti yang aku jangka, Papa pasti akan tetap membela Taufik. Aku juga yang dipersalahkan. Ada ke nak suruh aku duduk rumah. Jadi surirumah sepenuh masa? Memang taklah. Mahu sakit jiwa aku dibuatnya. Huh!

“Malaslah Firsaliana nak cakap dengan Papa ni. Balik-balik si Taufik tu juga yang nak dimenangkan” aku mendengus kasar sebelum berlalu pergi. Dua tiga anak tangga aku daki sekali harung untuk cepat sampai ke bilikku di tingkat atas. Suara Papa masih lagi kedengaran melampiaskan kemarahanannya berselang-seli dengan suara Mama yang cuba menenangkannya.

Ah lantaklah! Nak jadi apa, jadilah! Yang penting, pertunangan ni tetap kena diputuskan! Aku dah tak sanggup!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience