BAB LIMABELAS

Romance Completed 8384

“MAAFKAN Papa sayang” dari tadi Papa memeluk erat tubuhku. Aku tak payah cakaplah. Menangis tak berhenti dari tadi sampai mata dah rasa perit semacan. Mama turut memeluk kami berdua. Rasa syahdu sangat. Sudah agak lama kami tidak bergroup hug seperti ini.

Segala yang terjadi ada hikmahnya. Taufik yang selama ini Papa anggap baik sangat rupanya berperangai lebih teruk dari Castello. Erk! Takdalah teruk sangat. Taufik cuma tahap Buaya Darat je la. Buaya Darat yang jenis baham mangsanya. Baham sampai lunyai. Siap ada yang pernah termengandung pula tu! Hish! Nasib baiklah aku ikut gerak hati untuk putus tunang dengannya dulu.Kalau tak, memang ada harapanlah muda-muda remaja ni aku dapat title Mak Jan!

“Assalammualaikum!!”

Sedang kami duduk bersembang mengenai kekantoian Taufik dengan Pejabat Agama, suara salam yang berkumandang menarik perhatian.

Kami bertiga serentak menjawab dan melangkah ke muka pintu untuk melihat siapakan tetamu yang bertandang.

Kami berpandangan sesama sendiri melihat beberapa orang yang agak berumur berdiri di luar pagar rumah lengkap berbaju kebangsaan. Yang lelaki siap berbaju melayu dan bersamping manakala yang perempuan pula dengan baju kurung yang sedondon warnanya, hijau pucuk pisang. Masing-masing siap menatang dulang hantaran pula tu. Eh, salah rumah ke diaorang ni? Aku mula terasa musykil sendiri.

“Ye. Cari rumah siapa ye?” Papa yang sudah menghampiri rombongan mereka bertanya. Mereka bertukar salam.

Pakcik yang berdiri paling hadapan tersenyum. Dia berpakaian lain dari yang lain. Berjubah dan berserban. Riak wajahnya nampak tenang.

“Ini rumah Encik Amat Shah dengan Puan Zura ke?” Ramah Pakcik itu bertanya.

“Iya. Inilah rumahnya. Encik ada hajat apa ye” Papa sudah mula kehairanan.

“Mama tak tahu pun anak Mama ni ada kawan lelaki” Mama berbisik perlahan ketelingaku. Aku cepat-sepat geleng kepala.

“Eh, Firsaliana memang tak ada boyfriend pun” berkerut-kerut dahiku dibuatnya. Mama tersenyum penuh makna. Dia memeluk erat bahuku.

“Panggil je saya Pak Aman. Saya dan ahli keluarga saya datang ni ada hajat. Boleh ke kalau kita berbincang di dalam rumah Tuan?” Senyuman tak lekang dari bibir lelaki yang aku kira berusia separuh abad itu.

“Eh. Tak payahlah nak bertuan-tuan dengan saya. Panggil je saya Amat. Ha, masuk, masuklah. Sila masuk” kelam-kabut Papa membuka pintu pagar dan menjemput rombongan seramai lima orang itu masuk ke dalam rumah.

Setelah bersalaman dengan semua tetamu dan menghidangkan minuman kepada para tetamu, aku mengambil tempat di sebelah Mama.

“Terima kasih la Encik Amat sekeluarga kerana sudi melayan kunjugan kami yang tak dirancang ni” Pak Aman memulakan bicara.

“Eh, tak ada apa lah Pak Aman. Tapi, tulah. Kami sekeluarga ni musykil juga. Ada apa hajat sebenarnya ni? Macam besar je hajatnya tu” melihat deretan dulang berisi senaskah Al-Quran, telekung dan sirih junjung, bukan hanya aku, malah Papa dan Mama pun naik hairan.

“Oh ye. Kami ni sebenarnya mai dari Kedah nak wakilkan anak angkat kami sampaikan hajatnya pada Encik Amat. Yang ni isteri saya. Panggil je Mak Ju. Hak yang tu, adik saya Ali dengan isterinya, Asmah. Dan yang sorang ni, nama dia Jali, adik saya juga.” Satu persatu ahli rombongan diperkenalkan. Patutlah cakap macam ada slanga utara. Orang Kedah rupanya. Cantik isteri Pak Aman. Bertudung labuh dan wajahnya persis perempuan Arab.

“ Jadi, kalau ikut adatnya, biarlah saya mulakan dengan pantun. Boleh?” Pak Aman menyambung lagi.

“Isk. Saya ni bukan reti sangat nak berpantun Pak Aman. Tapi, sikit-sikit tu bolehlah” Papa tersenyum malu.

“Tak pa, tak pa. Sikit-sikit pun boleh. Jadi saya teruskan lah na?” Papa mengangguk setuju.

“Badan sakit digigit pijat,
Disapu ubat oleh si isteri,
Kami datang ni bersama hajat,
Ingin menyunting si dara sunti”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience