BAB SEMBILAN

Romance Completed 8384

“Firsaliana! Kamu memang sengaja nak malukan Papa kan??!!” Baru saja aku melangkah masuk ke dalam rumah, suara Papa sudah memetir. Rasa bergegar seluruh rumah. Wajah garang Papa sudah menanti aku di ruang tamu dengan bercekak pinggang.

“Bawa mengucap Bang. Kita tanya dia elok-elok. Tak payahlah nak menengking-nengking” Mama yang berdiri di sebelah Papa mengosok-gosok lengan Papa, cuba menurunkan aras amarah Papa yang aku kira hampir mencecah 100 darjah celcius.

“Kenapa ni Mama, Papa? “ Aku melangkah perlahan menghampiri mereka. Wajah Papa masih merah padam menahan marah. Sudahlah tadi di pejabat, dah berbakul-bakul makian aku dapat dari Steven, Pengurus bahagian Pemasaran di tempat kerja dek kerana kelewatan aku menyiapkan kertas kerja. Bila sampai kat rumah, kena pula mengadap angin monsoon Papa pula. Stress sungguh lah!

“Taufik dah ceritakan semuanya kat Papa. Rupa-rupanya, selama ni, Fir yang curang dengan dia kan? Pandai Fir cari salah si Taufik tu semata-mata nak putuskan pertunangan korang. Betul-betul memalukan! Apa Papa nak cakap dengan Uncle Hamzah dengan Aunty Hajar hah?!” Sergahan Papa membuatkan tubuhku tersentap. Ya Allah. Cerita apalah yang Taufik dah sampaikan pada Papa dengan Mama ni?? Papa pun dengan semudah itu percaya saja semua kata-kata lelaki itu.

Airmata sudah mula memenuhi tubir mataku. Bila-bila masa saja bakal bercucuran keluar bak hujan.

“Firsaliana …” Belum sempat aku membuka mulut untuk membela diri, pantas Papa memotong.

“Sudah! Papa dah tak nak dengar apa-apa lagi! Kalau Firsaliana tetap dengan pendirian Firsaliana untuk batalkan perkahwinan dengan Taufik, Firsaliana boleh keluar dari rumah ni. Papa tak nak lagi tengok muka kamu dalam rumah ni. Keluar!” Sampai begitu sekali Papa memarahiku. Semuanya hanya kerana lebih percayakan orang luar tanpa mendengar penjelasan dari aku, anaknya sendiri. Terasa macam hati aku dirobek-robek sampai hancur. Tergamak Papa membuang aku. Satu-satunya zuriat yang dia ada.

“Abang! Kenapa sampai macam tu sekali?!” Mama sudah mula menangis. Begitu juga aku.

“Biar! Saya nak tengok berapa lama dia boleh bertahan. Anak tak sedar di untung. Selama ni, kita didik dia supaya jadi orang yang bertanggungjawab dan tahu hormat orang. Tapi, tengok apa yang dia dah buat kat kita? Ni nak menjawab apa dengan si Hamzah dan Hajar pun saya tak tahu. Malu saya Zu. Malu!” Pujukan Mama yang sudah menangis-nangis sambil memelukku tidak diendahkan Papa. Dia lebih mementingkan air mukanya daripada menyiasat kebenaran. Papa mendengus kuat sebelum berlalu meninggalkan aku dan Mama.

“Tak apalah Ma. Biarlah Firsaliana duduk rumah kawan. Biar marah Papa tu reda dulu. Firsaliana cuma nak Mama tahu yang Firsaliana tak salah. Mama kena percayakan Firsaliana. Apa yang Fik cakap semua tu cuma salah faham. Firsaliana dengan Adam tak ada apa-apa.”aku memeluk tubuh Mama kuat-kuat. Cuba menjana kekuatan untuk diriku sendiri.

“Adam?” Pelukkan dileraikan dan wajahku ditatap Mama penuh kerutan. Aku menghela nafas panjang. Aku tahu yang Taufik pasti tidak menyebut mengenai Adam memandangkan dia mungkin tidak mengenali lelaki itu. Tapi, sebelum Mama dapat tahu dari mulut orang, biarlah aku yang menceritakannya. Tubuh Mama aku tarik supaya duduk di atas sofa. Aku mula bercerita tentang apa yang telah berlaku semalam. Tentang Adam dan tentang pertelingkahan kecil yang tercetus.

Usai aku bercerita, Mama terdiam. Mungkin cuba menghadam apa yang aku katakan membandingkan dengan cerita dari Taufik.

“Mama percayakan Fir”

Sepatah kata dari Mama membawa seribu satu makna buatku. Sumber kekuatan aku. Biarlah kalau Papa memilih untuk lebih percayakan Taufik. Yang penting insan yang ditapak kakinya terletak syurgaku mempercayai kata-kataku. Tubuh Mama aku dakap lagi. Kali ini lebih erat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience