Bab 7

Humor Series 8271

Masa tu, majlis baru saja bermula. Pada waktu itu, sidang jemputan sedang menikmati hidangan istimewa istana diiringi dengan muzik dari okestra. Cinderella tidak dapat melihat kelibat mak tiri dan kakak tirinya. Dia perlu lebih berjaga-jaga.

Cinderella hanya duduk di satu sudut, memerhatikan lagak-lagak orang kaya yang menghadiri majlis dan menikmati makanan yang ada. Cinderella nak turut sertai jamuan tu. Maklumlah, perut Cinderella ni asyik berbunyi je sejak dia terkurung dalam stor bawah tanah tadi. Tapi, dia tak berani pula membawa dirinya untuk menjejakkan kaki ke zon bahaya, takut-takut kalau mak tiri dan kakak tiri dia perasan akan kehadirannya.

Dah lama Cinderella duduk situ seorang diri, maka dia pun tidak mampu lagi menahan kelaparan perut dia yang tidak diisi dari pagi. Dia pun mulalah nak merayau-rayau tetapi dia masih berhati-hati dan menjauhkan diri dari tempat-tempat orang berada. Sedang dia berjalan, tiba-tiba Cinderella bertembung dengan seorang pelayan yang mengedarkan satu topeng mata berbulu-bulu kepada semua hadirin. Dan setiap orang di majlis itu akan mendapat topeng bulu yang berlainan daripada yang lain.

Pelayan itu memberikan satu kepada Cinderella. Cinderella memilih warna kesukaannya iaitu warna biru. Dan ianya kelihatan sedondon dengan warna gaunnya. Asalnya Cinderella agak risau untuk memakai topeng itu, kerana dia agak was-was dengan bulu yang terlekat di topeng itu. Tetapi setelah melihat dengan teliti dan mendapati bulu itu ialah bulu merak, barulah dia yakin untuk memakainya.

Cinderella juga agak pelik dengan majlis Diraja itu. Sepatutnya pelayan yang akan menghantar satu demi satu makanan ke meja-meja tetamu. Seperti yang pernah dilihatnya di televisyen sewaktu raja negeri lain mengadakan majlis Diraja. Ini tidak. Makanan di sana disediakan secara buffet. Mungkin raja dan permaisuri mahu menjadikan majlis itu mesra rakyat. Dan mungkin juga mereka mahu berjimat daripada mengupah orang lain untuk menghantar makanan.

Selepas Cinderella mendapatkan topeng bulu itu, dia bergerak ke tempat orang-orang bangsawan dan apa lagi... Dia pun mengambil seberapa banyak makanan yang boleh. Dua pinggan sekali. Minuman pun dia ambil dua gelas yang paling besar yang disediakan di situ. Maklumlah, Cinderella memang sejak dari azali lagi dilahirkan kuat makan. Jangan mudah tertipu dengan saiz badannya yang kecil.

Setelah mengambil setiap satu hidangan di situ, Cinderella memilih sebuah meja yang agak terselindung dari dewan tarian untuk mula menyerang makanan-makanan di dalam dua pinggannya yang terkumpul seperti gunung itu. Cinderella ni sebenarnya segan juga nak makan makanan tu sekaligus. Maka, untuk mengelakkan diri daripada diumpat, Cinderella pun meletakkan satu pinggan di hadapannya, manakala satu pinggan lagi dia letakkan jauh di hujung mejanya. Kononnya seperti ada orang lain yang makan di sebelah dia.

Lepas habis licin satu pinggan si Cinderella ni makan, datang pula sekumpulan makcik-makcik kaya dan anak gadis masing-masing, duduk betul-betul berhadapan dengan meja Cinderella. Terkejut beruk Cinderella apabila terperasankan dua antara mereka. Hampir-hampir tercekik kek coklat cheeze yang sedang dimakannya. Cinderella dapat mengecam dengan baik Mem Emey dan Mary yang turut ada di dalam kumpulan makcik-makcik itu.

Cinderella segera bangun dan memakai kembali topeng mata miliknya yang ditanggalkannya sebentar tadi. Dia segera meninggalkan meja makan tu. Nasib baiklah dia sempat menghabiskan sepinggan makanan special kat situ. Kalau tidak, rugilah usahanya untuk ke majlis itu.

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba lampu dimalapkan. Cinderella terkejut lagi. Sangkanya blackout. Selepas tu, alunan muzik yang bermain di dalam dewan istana dimatikan. Secara tiba-tiba, suara seorang lelaki berkumandang. Lelaki itu ialah pengacara majlis.

‘Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Seperti yang kita ketahui, hari ini merupakan hari istimewa dan peristiwa bersejarah bagi penduduk negeri ini. Raja dan permaisuri negeri ini akan mengadakan majlis tari-menari untuk putera tunggalnya iaitu Putera Danial. Dan hari ini juga Putera Danial akan memilih seseorang di dalam dewan ini untuk dijadikan permaisurinya. Hari ni putera mahkota kesayangan kita akan menari bersama anda semua, gadis di penduduk negeri ini dan kemudian salah seorang daripada anda akan dipilih oleh putera untuk menjadi teman hidupnya. Sekarang tibalah masa yang kita tunggu-tunggu. Iaitu majlis tarian Diraja. Dijemput tuan-tuan dan puan-puan untuk turut menari pada malam ini dan seterusnya memeriahkan lagi majlis yang julung-julung kali diadakan ini.’

Selesai sahaja pengacara majlis itu menyudahkan ayat terakhirnya, kedengaran satu tepukan gemuruh memenuhi ruang istana. Susulan dengan itu, muzik romantis mula memenuhi ruang istana sekali lagi. Kesemua tetamu bergerak ke tengah dewan tarian dan mula menari mengikut alunan muzik romantik itu. Tetapi raja, permaisuri dan putera mahkota belum lagi muncul. Para tetamu mula menari sementara menunggu kedatangan putera mahkota. Cinderella pula hanya memerhati dari tepi. Dah dua lagu dimainkan dan dah dua buah tarian dipersembahkan, dia hanya melihat dari tepi sahaja.

“Ahhh! Tak boleh jadi kalau macam ni. Susah-susah aku datang dari jauh semata-mata nak menghadiri majlis ni. Takkanlah aku nak lepaskan saja peluang ni”, bisik Cinderella di dalam hati.

Maka Cinderella pun bergerak menuju ke tengah dewan utama dengan jayanya. Dia kemudian turut melenggokkan badan dan menari mengikut alunan muzik walaupun langkah tariannya tersangatlah memalukan. Disebabkan lampu-lampu di istana pada waktu itu telah dimalapkan, maka tidak perlulah Cinderella berasa resah tentang Mem Emey dan Mary.

Tengah Cinderella asyik menari sendiri, dalam suasana yang samar-samar tu, tiba-tiba lampu dinyalakan dan difokuskan di tangga tingkat atas. Secara serentak, semua tetamu yang menari tadi berhenti dan memberikan perhatian mereka kepada pasangan yang sedang turun itu.

“Hadirin sekalian, dengan ini saya mempersembahkan kedatangan Duli Yang Maha Mulia Raja David dan Permaisuri Roxy masuk menghadap ke dewan utama”

Kesemua mereka memandang ke arah tangga tingkat atas dan kelihatan dua pasangan Diraja itu berjalan sambil melambaikan tangan menuju ke arah kerusi emas yang disediakan khas di tingkat atas.

Cinderella terpaku. Dia memandang pasangan itu tanpa mengelipkan mata. Kehandsoman Raja David dan kecantikan Permaisuri Roxy membuatkan dia kagum dengan pasangan Diraja itu. Melihatkan mereka berdua melambai tangan dengan anggun ke arah rakyat jelata menyebabkan Cinderella turut membalas lambaian tangan mereka.

Sedang Cinderella leka, dia terkejut apabila seseorang yang ada di tepi menariknya tangannya. Cinderella tersedar dan dia berasa sangat malu kerana pada ketika itu semua orang sedang melutut dan hanya dia sahaja yang berdiri dan membalas lambaian permaisuri. Semua yang ada di dewan itu memandangnya dengan pelik. Melihatkan keadaan itu, dengan pantas dia turut melutut sama seperti mereka yang lain.

“Dengan ini diumumkan ketibaan Putera Danial masuk menghadap ke dewan utama”

Saat itu semua wanita yang ada di situ tersengih sendiri dan memandang ke arah tangga atas dengan muka yang penuh harapan. Saat itu, muncullah seorang lelaki dengan susuk tubuh yang gagah dan lengkap dengan sut putih. Dia berjalan dengan megah dan pergi ke arah ayahanda dan bondanya. Dia membisikkan sesuatu kepada mereka. Mereka yang ada di dewan itu dapat melihat dengan jelas reaksi kedua-dua raja dan permaisuri berkerut. Putera seakan-akan menerangkan sesuatu kepada kedua pasangan itu. Mereka berdua kemudian mengangguk dan berkata sesuatu pula pada pengerusi majlis.

Pengerusi majlis kemudian mencapai microphone dan mengumumkan sesuatu.
“Minta perhatian kepada semua hadirin. Atas permintaan Putera Danial, putera berniat untuk membatalkan acara tari-menari pada hari ini.”

Belum sempat pengerusi majlis menghabiskan ayatnya, kedengaran suara para hadirin bising tanda tidak puas hati. Ada di antara mereka yang sudah mengesat air mata dan membuka topeng bulu yang dipakai tanda protes.

“ Putera telah menyediakan satu acara lain untuk memilih bakal isterinya. Dengan ini saya mempersilakan Putera Danial untuk menerangkan sendiri tentang acara baru yang disediakannya.”

Suasana di dewan yang bising tadi kembali menjadi senyap. Mereka yang menangis tadi mengesat air mata dan kembali menumpukan perhatian kepada putera kacak yang berdiri di tempat pengerusi majlis tadi.

“Hello semua. Maafkan beta kerana telah menukar aturcara majlis ini dengan tiba-tiba. Beta kurang berminat untuk memilih bakal isteri melalui acara tari-menari, jadi beta talah memberitahu bonda dan ayahanda untuk menukarnya pada saat-saat akhir. Bonda dan ayahanda pun dah bersetuju untuk membenarkannya memandangkan yang mahu berkahwin dengan salah seorang dari anda adalah beta. Thanks, pa, ma”, kata Putera Danial sambil mengangkat tinggi tangannya ke arah kedua orang tuanya.

“Beta ingin menukarkan acara tradisi tari-menari ini dengan acara memasak. Beta mahu setiap perempuan yang mahu menjadi isteri beta untuk cuba memasak santapan kegemaran beta iaitu lempeng. Sesiapa yang dapat menyediakan hidangan yang paling sedap akan dikira pemenang dan akan menjadi isteri beta. Di dapur istana, beta telah menyediakan beratus dapur dan pelbagai bahan-bahan masakan untuk kamu menyediakannya. Kamu boleh menyediakan apa resepi lempeng sekalipun asalkan adanya rasa lempeng. Untuk mencari pemenangnya, beta sendiri yang akan merasainya dan memilih pemenangnya. Jadi, buatlah yang terbaik. Goodluck”, kata Putera Danial sambil menaikkan ibu jarinya. Dia kemudian mengembalikan microphone kepada pengerusi majlis dan kembali ke tempat duduknya.

Cinderella yang mendengar apa yang dikatakan oleh Putera Danial itu tersenyum lebar. Lempeng pisang adalah makanan yang selalu dimasaknya. Boleh dikatakan setiap pagi dia memasak lempeng. Bukan setakat lempeng pisang, bahkan lempeng yang dicampur pelbagai bahan kerana Cinderella selalu mencuba resepi yang lain dari yang lain. Resepi terakhir yang dicubanya ialah resepi lempeng aiskrim yang dirasainya sangat sedap.

“Baguslah. Kalau macam tu, aku akan buat lempeng strawberi yang aku selalu makan. Lempeng tu memang sedap, mesti putera akan suka”, kata Cinderella dalam hati.

Tidak lama kemudian beberapa orang pengawal datang dan menyuruh para gadis untuk masuk ke dapur Diraja dan mula menyediakan lempeng seperti yang disuruh. Pelbagai reaksi dapat dilihat Cinderella. Ada yang bermuka yakin dengan menyingsing lengan baju hingga ke siku, ada juga yang menyuruh penjaga masing2 memberikan mereka apron dari sutera, dan ada juga yang menangis di bahu ibu masing-masing kerana permintaan putera itu terlalu berat untuk mereka.

Bagi Cinderella pula, permintaan putera itu terlalu senang untuknya. Tetapi apabila melihatkan muka gadis-gadis yang yakin tadi, Cinderella sedar bahawa bukan dia sahaja yang handal dalam memasak lempeng.

Cinderella melangkah menuju ke dapur istana. Entah mengapa, tiba-tiba dia terasa seperti telinganya ditarik kuat oleh seseorang. Dengan pantas dia menoleh kepalanya. Cinderella terkejut melihat apa yang ada di hadapannya. Di hadapannya, kelihatan Mem Emey dan Mary sedang memandangnya dengan muka bengis. Cinderella kaget. Bagaimana Mem Emey dan Mary boleh mengenalnya walaupun dia memakai topeng muka.

“Kenapa cik tarik telinga saya? Cik salah orang ni.”, kata Cinderella sambil suaranya dikecilkan dan berpura-pura menjadi orang lain.
“Kau ingat aku tak tahu yang kau datang ke sini? Mana ada orang lain yang bodoh macam kau kat sini. Boleh pulak kau tak tunduk hormat kat permaisuri dan raja, lepas tu boleh pulak balas lambaian permaisuri tadi. Aku dah dapat cam kau dari situ, Cinderella”, kata Mem Emey dan tidak semena-mena menarik topeng muka yang dipakai Cinderella.

“Kan betul apa yang bucuk cakap kat mama. Yang bodoh berdiri masa raja dan permaisuri datang tadi tu Cinderella. Cinderella oh Cinderella. Kalau kau selungkup muka kau dengan tudung saji sekalipun orang dah kenal la kau ni siapa. Dah la buruk, miskin ada hati nak datang ke majlis Diraja macam kami.”, balas Mary pula.

“Tapi Mem Emey, majlis ni diadakan untuk semua gadis yang ada di negeri ni. Apa salahnya saya turut serta”, jawab Cinderella pula cuba memberitahu tentang haknya sebagai gadis di negeri itu.

“Kau jangan nak mengada-ngada lah Cinderella. Kau balik sekarang!”, marah Mem Emey.

“Saya tak boleh balik. Saya nak masuk pertandingan tu”, jawab Cinderella sambil menyentap tangan Mem Emey yang menggenggam baju gown yang dipakainya.

“Oh, kau degil ya. Baiklah kalau macam tu biar aku yang hantar kau ke rumah. Biar aku sumbat kau masuk dalam stor tu, sampai kau mereput dalam tu! Mary, mama nak bawak balik budak degil ni sumbat dalam stor. Sayang masuk dalam dapur istana dan buat lempeng yang paling sedap untuk putera. Pastikan sayang tambat hati putera dengan masakan yang sedap. Nanti mama datang sini, mama nak dengar yang sayang dah pun terpilih jadi isteri raja”

“Tapi, mama.....”, jawab Mary pantas. Dia menunduk.

“Mama kan tahu bucuk tak pernah masak. Bucuk nak hidupkan api pun tak tahu. Macammana bucuk nak sediakan lempeng paling sedap untuk putera?”

“Bukan susah sangat nak buat lempeng sayang. Mula-mula sayang letak tepung dalam satu bekas, lepastu air, gula dan garam sikit. Kalau bucuk nak lagi sedap, bucuk letaklah pisang ke, telur ke... Bolehkan sayang?”, kata Mem Emey cuba memujuk anaknya yang kelihatan mengalah sebelum pertandingan itu bermula.

“Okay, mama. Lepas tu bucuk nak kena goreng ke? atau bucuk letak dalam oven? Kena basuh dulu tak tepung tu? Kalau tak basuh kotor la makanan tu nanti kan, ma?”, tanya Mary lagi seakan bersemangat untuk membuat apa yang diberitahu Mem Emey tadi.

“Kenapa susah sangat ke nak buat, sayang? Tu la, dulu mama nak ajar bucuk masak bucuk tak nak. Tengok sekarang kan dah rugi. Putera pun satu mengada-ngada nak buat acara masak lempeng lah, apa lah. Penat-penat aku hantar Mary belajar menari di bandar semata-mata menunggu hari ni.”

“Mama ni.. Mana Mary tahu yang Putera nak tukar acara. Kalau Mary tahu, dah lama Mary belajar dari mama”

“Takpelah kalau macam tu. Apa kata biar mama je yang masakkan lempeng untuk Mary. Mary pergi hantar Cinderella masuk ke dalam stor rumah kita. Nanti bila mama dah menang, mama akan suruh raja dan permaisuri kawinkan putera pada Mary. Mary kan anak mama yang cantik, mesti putera akan suka. Raja dan permaisuri pun tentu akan setuju”

“Betul mama nak buatkan untuk Mary? Baguslah! Mary setuju. Biar Mary hantar Cinderella ke rumah dan mama masakkan untuk Mary”, kata Mary sambil tersengih ke telinga.

Cinderella pulak dari tadi mendengar sahaja apa yang dibualkan mereka berdua. Kalau nak diikutkan hatinya, mahu sahaja dia lari masuk ke dalam dapur istana, tapi nanti apa pula kata permaisuri dan raja kalau kekecohan berlaku. Disebabkan dia fikir panjang, maka dia hanya mendiamkan diri dan mengikut sahaja apa yang dikatakan Mem Emey.

Setalah dua beranak itu bersetuju untuk bertukar tempat, maka Cinderella dibawa menaiki kereta kuda untuk kembali ke rumah agamnya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Sayang sungguh kerana dia amat pakar dalam menyediakan lempeng strawberi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience