Bab 12

Humor Series 8271

Pada malam itu Cinderella dibawa pulang ke istana oleh putera mahkota yang tidak sabar mahu mempersembahkan bakal isterinya kepada kedua bonda dan ayahandanya. Cinderella dibawa menunggang kuda putih yang gagah bersama-sama putera sementara bontel pakaiannya yang besar dibawa oleh ketua askar.

Apabila tiba di istana dan dipersembahkan kepada raja dan permaisuri, kedua pasangan itu amatlah berkenan dengan peribadi Cinderella yang sopan dan sedikit kelakar walaupun pada waktu itu Cinderella busuk dan selekeh kerana belum mandi sejak pagi.

Dipendekkan cerita akhirnya tiba juga hari perkahwinan Cinderella dan putera Daniel. Majlis perkahwinan Diraja itu diadakan selama 2 hari 2 malam. Pada hari pertama keluarga Diraja menjemput kerabat-kerabat raja dari negara luar untuk meraikan majlis anak tunggal mereka. Majlis tari menari dan jamuan bertaraf tujuh bintang di jamu kepada para kerabat.

Pada hari kedua, keluarga raja menjemput seluruh rakyat jelata pula untuk sama-sama meraikan hari berbahagia itu. Seperti biasa acara tari menari, tepung tawar, perarakan askar-askar, jamuan besar-besaran, pertunjukan jet pejuang di udara dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api. Mempelai Diraja itu juga diarak menggunakan tandu di sekeliling istana.

Walaupun kebanyakan gadis di dalam negeri kecewa kerana mereka tidak dipilih menjadi isteri putera, tetapi mereka tetap datang meraikan satu-satunya putera raja di negeri mereka. Ya lah, nak tunggu keluarga Diraja buat majlis besar-besaran seperti itu lagi, entah bila. Dari belalang gorang kunyit sebagai pembuka selera, lembu golek, ayam kari hijau, air pancuran coklat hinggalah lempeng durian yang menjadi kemuncak hidangan jamuan; semuanya disediakan.

Kehadiran Cinderella sebagai menantu di dalam istana itu sangatlah disenangi raja dan permaisuri. Bahkan dayang-dayang istana dan askar juga seronok dengan kehadiran Cinderella yang rajin berbual dan bertanyakan khabar mereka. Yang paling gembira tentulah ketua askar bermisai lentik, kerana Cinderella melayannya lebih mesra kerana ketua askar pernah membantu Cinderella semasa majlis tari menari dahulu.

Cinderella pula pada awalnya terasa agak sukar untuk membiasakan diri tinggal di istana. Selalunya dia buat semua kerja sendiri. Tetapi apabila di istana dia dikelilingi oleh dayang-dayang yang bertindak seperti tangan kanan dan kirinya. Bukan setakat mandi, sikat rambut, bahkan nyamuk gigit pun digaru dayang. Hinggalah satu hari Cinderella menyatakan kerimasan itu kepada suaminya, barulah Cinderella dapat bernafas, korek hidung dan kentut dengan selesa.

Pernah satu hari dapur istana kecoh apabila Cinderella dilihat masuk ke sana dan memasak. Dayang-dayang dan tukang masak istana sangat takut akan hal itu diketahui raja, pasti raja akan murka. Tetapi Cinderella tetap berdegil mahu memasak untuk keluarga kecilnya itu, malah dengan yakin turut menyediakan hidangan untuk raja dan permaisuri juga.

Sangkaan mereka tepat sekali. Pada hari itu, teruk tukang masak istana kena marah dengan raja dan permaisuri kerana hidangan yang Cinderella masak sangat sedap mengalahkan tukang masak istana sendiri. Sejak hari itu, Cinderella dibolehkan untuk memasak pada bila-bila masa yang dia suka. Al maklumlah, ternyata ini semua bakat memasak yang datang dari arwah daddy Cinderella.

Satu pagi, Cinderella dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu di bilik tidurnya. Apabila dia membuka mata, ternyata suaminya tiada di sisinya. Yang ada hanyalah patung Doraemon yang merupakan salah satu hantaran kahwin tersengih baring di bantal putera. Cinderella bergegas membuka ambal pintu dan mendapati dua orang dayang terpacak di depan pintu sambil memegang baju kembang cantik berwarna biru muda.

“Tuanku puteri. Tuanku putera sedang menunggu tuanku untuk bersantap pagi”, kata salah seorang dari dayang.

Cinderella menyambut baju di tangan dayang dan segera mandi di bilik mandi yang terletak di dalam bilik mereka. Setelah bersiap, dia berlari anak turun ke bawah. Kelihatan putera Danny sedang menghirup minuman dari cawan yang diperbuat dari perak. Putera memandang Cinderella yang kelihatan kalut sambil tersenyum.

“Mari duduk di sini, sayang. Ayahanda dan bonda tidak dapat menyertai kita harini kerana mereka ada urusan dengan kerajaan jiran. Lepas makan, kanda nak bawa dinda pergi ke satu tempat”, panggil putera sambil menarik kerusi di sebelahnya.

“Maafkan dinda. Dinda tak sedar langsung jam berbunyi tadi. Malu betul dinda, kanda bangun lebih awal dari dinda”

“Tak apa lah, sayang. Kanda pasti yang dinda masih belum hilang penat sebab masih baru di istana ni kan. Sebab tu lah kanda tak kejutkan dinda tadi. Kanda dengar dinda berdengkur kuat pun kanda dah tahu dinda penat sangat”, kata putera sambil menghulurkan sekeping roti pada Cinderella.

“Dinda berdengkur ke kanda?”, tanya Cinderella sambil membesarkan matanya.
“Ya lah. Kalau dinda tak percaya, dinda boleh tanya Doraemon. Semalam Doraemon lah yang tolong kanda. Dia keluarkan alat apa tah kasi kalis bunyi. Nampak bibir dinda je yang berhembus-hembus, tapi versi senyap”

Cinderella tertunduk malu mendengar kata-kata suaminya.

Tiba-tiba putera gelak terkekek-kekek hingga menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.

“Kanda bergurau sajalah sayang. Kanda pun dah pengsan semalam. Letak je kepala atas bantal, terus kanda berlayar jauh merentas benua. Kalau betul dinda berdengkur pun, kanda tak dengar. Nanti kita tanya Doraemon, okay?''
“Kanda ni!”, marah Cinderella sambil membenam-benamkan siku tajamnya ke peha putera. Putera mengadoi kesakitan hinggakan pengawal-pengawal di luar istana bergerak masuk ke dalam istana membawa tombak tetapi segera dihalang putera.

Selepas mereka selesai bersantap pagi, putera menarik tidak sabar tangan Cinderella berjalan ke tanah lapang di belakang istana. Di situ terdapat sebuah pondok kecil yang tertutup. Mereka berdua melangkah masuk ke dalamnya. Putera menghalang dayang-dayang dan pengawal-pengawal dari mengikut mereka bersama. Kata putera mereka berdua nak honeymoon kejap.

Ternyata di dalam pondok itu bukanlah sebuah ruangan kecil seperti yang dibayangkan Cinderella seperti sebelum dia melangkah masuk tadi. Di dalam pondok itu terdapat sebuah laluan panjang berkaca yang hujungnya tidak dapat dilihat dari situ. Di lantai pula terdampar dua laluan mendatar berwarna merah berserta tempat pemegang besi di kedua-dua sisi.

Putera kemudian menekan butang biru yang ada di laluan mula, serentak laluan merah tadi bergerak secara automatik membawa mereka kehadapan. Cinderella terkejut sedikit tetapi matanya terus terpesona melihat permandangan sekeliling melalui cermin kaca laluan itu.

“Dinda tak sangka di belakang istana ni ada zoo Diraja, kanda”, kata Cinderella menoleh pegun pada putera Danny.

“Mana ada zoo lah, dinda. Kalau ada zoo di sini, kanda rasa pagi tadi pasti dinda senang bangun tidur dengar ngauman singa dan harimau. Bagus juga idea dinda tu kan, Mungkin kita boleh usulkan pada bonda dan ayahanda untuk bela seekor dua?”, kata putera menyakat, matanya nakal memandang Cinderella seakan-akan menunggu Cinderella memarahinya.

“Kanda ni! Dinda rasa kanda tak serik lagi tadi kan. Baiklah, kalau kanda nak tahu, siku dinda ni kadang-kadang boleh jadi tukul besi, kadang-kadang boleh jadi lesung batu. Tapi boleh jugak jadi gerudi tau. Nak dinda tunjukkan pada kanda?”

Cinderella mula berjalan dekat dengan putera sambil mengangkat tinggi sikunya. Putera berjalan beberapa langkah kebelakang cuba mengelak sambil ketawa terkekek-kekek. Mereka berdua berlari menentang arus laluan automatik itu hinggalah putera jatuh terduduk dan Cinderella tanpa belas kasihan terus menunjukkan skill menggerudi di belakang badan putera Danny. Putera menjerit kesakitan tetapi malang sekali kerana tiada siapapun yang mendengar dek kerana dia menghalang dayang dan pengawal dari mengikut mereka berdua tadi.

Laluan itu akhirnya membawa mereka berdua tiba di penghujungnya. Cinderella menarik tangan suaminya yang terbaring kalah di atas laluan merah itu. Mereka berdua menjejakkan kaki keluar dari pondok kecil dan melihat apa yang ada di hadapan mata tidak lain tidak bukan ialah rumah agam peninggalan mummy dan daddy Cinderella. Cinderella memandang suaminya dengan penuh tanda tanya.
“Kanda. Apa maksud kanda bawa dinda ke sini? Dan sejak bila ada laluan automatik tu?”

“Dinda. Kanda tahu yang sejak kita berkahwin, dinda asyik memikirkan tentang rumah pusaka ini kan? Jadi, kanda menghadiahkan rumah ini kepada dinda”, jawab putera sambil melebarkan tangannya bangga di hadapan rumah agam itu.

“Tapi rumah ni kan milik Mem Emey. Tak mungkin. Wasiat arwah daddy tertulis Mem Emey berhak ke atas pemilikan rumah agam ni”, jelas Cinderella kepada suaminya.

“Kanda dapat tahu yang ibu tiri sayang membuat iklan untuk menjual rumah pusaka ini. Jadi kanda segera mengarahkan ketua menteri untuk membelinya sebelum rumah berharga ini jatuh ke tangan orang lain”

“Jadi, selama ni sangkaan dinda tak salah .Dinda memang dapat rasakan yang mem memang nak jual rumah ni sama seperti kebun dan ladang arwah mummy dan daddy. Sungguh dinda tak percaya, mem sanggup menjual amanah daddy? Sedangkan daddy membuat wasiat begitu untuk menjamin masa depan mereka berdua”, kata Cinderella kesal.

“Kanda pasti yang ibu tiri sayang telah membeli rumah lain dan memulakan kehidupan baru dengan menggunakan hasil jualan rumah dan dusun-dusun. Sudahlah dinda, kanda janji kanda akan cuba dapatkan kembali kebun dan dusun untuk dinda”, kata putera sambil memegang erat tangan Cinderella dan memimpinnya masuk ke dalam rumah.
Cinderella menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah agam yang lebih seminggu dia tinggalkan. Tiada jeritan-jeritan bingit mendesingkan telinga kedengaran. Pandangan Cinderella juga lapang selapang lapangnya kerana tidak ada satu pun perabut yang tinggal di situ. Meja makan, sofa. permaidani, bahkan lampu kalimantang dan kipas syiling juga telah diangkut pergi.

“Nampaknya, tak ada apa-apa yang dinda boleh tunjukkan kepada kanda. Kalau macam ni punya licin ruang tamu ni, rasanya kita kat payahlah jenguk ke bilik-bilik lain. Dinda pasti yang kanda juga tak berminat melihat ruang-ruang kosong berdinding putih”, ujar Cinderella redha. Nadanya sayu.

Mereka berdua duduk di muka pintu dapur, tempat kebiasaan Cinderella melepak semasa dia tinggal di situ.

“Dinda janganlah bersedih. Kanda telah mengupah pereka dalaman dari luar negara untuk menghias rumah ini kembali, sayang. Cuma kerja-kerja tu memerlukan masa sedikit, dan kanda juga minta supaya tidak memadamkan lukisan-lukisan Doraemon dinda semasa kecil di bilik atas.”

“Terima kasih kanda. Kanda telah memberi terlalu banyak kepada dinda. Tidak mampu dinda membalasnya. Tapi kanda, bukankah menjadi kerugian besar jika rumah agam ini tidak berpenghuni. Dinda dan kanda juga tidak boleh meninggalkan istana”

“Tiada apa yang kita boleh lakukan, dinda. Sebab tu lah kanda membina laluan automatik itu, supaya dinda senang untuk melawat ke sini pada bila-bila masa sahaja yang dinda suka tak kira hujan atau panas.”

“Kanda, dinda ada terfikirkan sesuatu. Apa kata kanda kalau..”
“Kalau apa, dinda?”, tanya putera tidak sabar.

“Kalau kita jadikan rumah agam ni tempat untuk anak-anak yatim. Semasa dinda kecil, dinda hanya ada kenangan pahit tinggal di sini semenjak daddy tiada. Jadi, dinda nak anak-anak yatim yang bernasib sama seperti dinda merasa yang sebaliknya. Dinda mahu jadikan mereka anak-anak angkat dinda”, terang Cinderella teruja.

“Oh dinda. Kanda sangat berbesar hati untuk melaksanakan harapan mulia dinda. Kalau mereka menjadi anak-anak angkat dinda, sudah tentu mereka anak-anak angkat kanda juga. Baiklah, kalau macam tu kanda akan suruh kontraktor besarkan rumah ni dan mempercepatkan kerja”, kata putera bersemangat sambil berdiri dari tempat duduknya.
“Cinderella.. Tuanku putera..”, panggil satu suara dari dalam rumah.

“Mary...”, gumam putera apabila melihat Mary sedang berdiri tegak agak jauh seperti hantu memerhatikan mereka berdua.

Cinderella menoleh memandang Mary yang berjalan mendekati mereka berdua.
“Mary, apa kau buat di sini?”, tanya Cinderella terkejut dengan kehadiran Mary di situ. Lantas dia turut sama berdiri bersebelahan dengan suaminya.
“Mama suruh aku datang sini ambil baldi dan berus gigi dia yang tertinggal di bilik air”, jawab Mary sambil mengangkat baldi biru di tangannya dan tersenyum hambar.

“Mana Mem Emey? Dia tak datang sekali?”, tanya Cinderella sambil memanjangkan lehernya melihat-lihat di belakang Mary.

“Mama tak datang. Mama sibuk menyediakan persiapan perkahwinannya esok”, jawab Mary perlahan.

“Mem Emey? Berkahwin?”, soal Cinderella tidak percaya.

Cinderella betul-betul terkejut dengan kejutan kali ini. Bukan dia sahaja, putera Danny juga ternganga, hidungnya dikembang kempiskan berulang kali dengan sengaja.

“Ya. Aku tak kenal pakcik tu, tapi mama kata dia tauke balak di pekan sebelah.Sejak kau tak ada Cinderella, aku yang menjadi pengganti melayan karenah mama. Mungkin mama masih marah sebab aku bagi sebahagian duit dusun dan berbaik-baik dengan kau. Jadi, Cinderella aku minta maaf sebab selama ni aku banyak susahkan kau. Sekarang ni aku merasa macammana kau rasa”, keluh Mary kesal.

Cinderella berjalan merapati Mary dan memegang bahunya.

“Sudahlah, Mary. Aku dah lama maafkan kau sejak kau berbaik dengan aku haritu. Kalau aku dah lupakan, kau pun patut lupakan perkara lama tu. Lagipun aku bahagia bersama-sama dengan putera Danny dalam hidup aku”, Cinderella menepuk perlahan bahu Mary.

“Itu bahagian kau, Cinderella. Kau berhak mendapat kebahagiaan ni. Dahlah, nampaknya dah tiba masa aku ucapkan selamat tinggal pada kau dan rumah agam ni. Jujurnya, berat hati aku nak tinggalkan rumah kita sama-sama membesar ni. Tapi nasib baiklah kau yang beli. Nasib rumah ni terbela juga”, Mary memandang sekeliling seakan-akan melihatnya buat kali terakhir.

“Malang sekali Mary sebab aku dah membuat keputusan untuk menjadikan rumah ni sebagai rumah anak-anak yatim. Kalau tak, mungkin aku mempelawa kau tinggal di sini”, ujar Cinderella perlahan.

“Kau jadikan rumah besar ni sebagai rumah anak-anak yatim?”, tanya Mary, membesarkan matanya tidak percaya.
.
“Ya”, jawab Cinderella pendek

“Ruginya..”, keluh Mary.

“Mary...”
“Rugi betul aku kalau aku tak sertai sama. Cinderella, bolehkah kalau aku tinggal di sini bersama-sama mereka? Boleh tak kalau aku menjadi sebahagian dari mereka? Mungkin sebagai penjaga atau apa sahaja, aku tak kisah”. Mary mencapai kedua tangan Cinderella dan menggenggam penuh harapan.

Cinderella melontarkan pandangan kepada suaminya yang hanya berdiam dari tadi. Seketika mereka berpandangan dan tersenyum bangga.

“Aku tak sangka kau berminat, Mary. Baiklah kalau begitu, sudah tentu. Kau boleh pindah masuk ke sini bila-bila masa sahaja. Tapi rumah ni masih belum siap sepenuhnya. Nanti putera akan aturkan bila anak-anak itu akan pindah masuk”
“Terima kasih Cinderella. Baiklah, kakak pergi dulu. Mama akan bising kalau kakak tak balik sekarang. Jumpa lagi”. Mary meninggalkan dua pasangan itu sambil melompat-lompat gembira diiringi bunyi ketuk-ketuk berus gigi di dalam baldi di tangannya.

“Ini kali pertama..”, gumam Cinderella. Matanya masih lagi memandang pintu keluar.

“Kali pertama apa, sayang?”, tanya putera sambil memegang bahu Cinderella dari belakang.
“Kali pertama dia memanggil dirinya kakak”. Cinderella masih berdiri kaku tidak percaya.

“Nampaknya, keluarga kita bertambah besar sekarang. Ops! Dengan anak-anak angkat kita; bertambah-tambah besar lagi lah”, kata putera sambil tersenyum gembira memandang isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience