Bab 8

Humor Series 8271

Di dalam kereta kuda, Cinderella dapat melihat reaksi Mary yang kelihatan gelisah. Dia juga tidak menggangu Cinderella seperti kebiasaannya. Selalunya, Cinderella telah dipukul teruk. Bukan sahaja dia tidak bertanya macammana Cinderella boleh melepaskan diri dari stor, bahkan dia juga tidak mempedulikan baju cantik yang dipakai Cinderella pada waktu itu.

Cinderella memberanikan diri untuk bertanya kepada Mary.

“Apa yang kau risaukan Mary?”

“Kau tak payah nak sibuk”

“Aku rasa kau mesti risaukan mama kau kan?”

“Kan aku dah kata tak payah nak sibuk”, marah Mary. Nadanya ditinggikan tetapi tidak setinggi selalu.

Cinderella dapat mengagak apa yang dirisaukan Mary. Melihatkan keadaan Mary, Cinderella seperti mendapat keberanian untuk bercakap lebih banyak.

“Jujurnya kan, Mary. Aku tak percaya dengan apa yang mama kau cakapkan tadi. Kau sendiri tahu yang syarat untuk menjadi isteri putera adalah dengan masak makanan yang putera suruh. Kalau mama kau yang masak, dah tentu-tentulah mama kau yang akan dapat habuannya. Aku tak rasa habuan tu boleh di serahkan senang-senang pada orang lain. Ni pulak kalau putera tahu yang kau langsung tak reti masak lempeng, maunya kau yang makan lempang.”

Mary tidak menjawab. Sebaliknya dia tidak mengangkat mukanya memandang Cinderella. Cinderella tahu yang Mary sedang memikirkan perkara yang sama dengan apa yang dikatakannya.

“ Kau sendiri pun tahu dengan perangai mama kau yang sukakan kemewahan. Kalau beli barang pun, barang dia mesti kena lebih daripada kau. Perfume yang dia belikan dulu untuk kau pun yang murah je. Mama kau punya 5 kali ganda lebih mahal. Kalaulah putera pilih dia, takkan dia nak menolak kan? Lempeng yang mak kau masak pun bukan calang-calang. Tambah-tambah kalau dia masak lempeng pisang, Perghhh, bukan main sedap”, kata Cinderella lagi cuba menjadi batu api.

“Nak buat lempeng ni bukannya susah sangat. Sebab kau tak pernah cuba, jadi kau rasa susah. Aku rasa kalau kau masak mesti lebih sedap dari mama kau buat tau. Mama kau pun satu tak terangkan betul-betul tadi. Caranya macamni. Mula-mula kau masukkan secawan tepung gandum dalam bekas. Tak payah nak basuh apa-apa. Lepas tu, kau masukkan air 1 setengah cawan macamtu asalkan tepung tu cair. Lepastu kau cubit garam sikit dan masuk gula sikit. Gula ngan garam tu kau boleh masuk banyak mana yang kau suka. Kau boleh rasa. Lepas tu kau panaskan kuali dan masukkan tepung bancuhan tu dalam kuali. Kau kena buat leper-leper barulah sedap. Senang je kan? Ala, kalau aku cerita sekarang pun nak buat apa kan? Mama kau kan dah buatkan untuk kau..”, terang Cinderella panjang lebar.

Melihatkan Mary tiada reaksi, Cinderella memalingkan mukanya sambil mencebik. Dia menyangkutkan kepalanya ke tingkap kereta kuda dan memandang ke luar.

“Berhenti!”, jerit Mary tiba-tiba menyebabkan Cinderella terkejut beruk lagi. Kereta kuda yang dinaiki mereka tersentap ke belakang.

“Hoi, Cinderella. Kau turun sekarang. Aku nak kau pergi balik rumah jalan kaki. Kau ni bising sangatlah. Pekak telinga aku dengar kau membebel. Aku nak balik ke istana dan tengok kalau mama menang. Kau ingat, kau balik sendiri dan jangan cuba-cuba nak datang ke istana semula”, kata Mary sambil menarik baju yang dipakai Cinderella dan menolaknya turun dari kereta kuda.

Cinderella dibiarkan terduduk di tengah jalan. Dia masih terkejut dengan tindakan Mary yang meninggalkannya di hutan itu sendirian. Kemudian dia tersedar akan sesuatu dan dia tersenyum sendirian. Cinderella kemudian berlari pulang ke rumahnya.
Sampai sahaja di rumah, Cinderella segera masuk ke dapur dan mencari sesuatu di dalam almari. Dia mengeluarkan sepeket tepung, dan bahan-bahan untuk membuat lempeng strawberi yang difikirkannya tadi. Kemudian dia membuka peti ais untuk mencari strawberi yang Mem Emey beli semalam. Cinderella kaget apabila melihat yang tinggal cumalah daun sahaja dalam bekas strawberi tu. Sah, dua beranak itu dah makan. Dahlah mereka habiskan buah strawberi yang masak merah, plastik sampahnya pun taknak buang. Maka, hancurlah harapan Cinderella untuk membuat lempeng strawberi untuk putera.

Cinderella duduk di atas kerusi meja makan dan berfikir apa yang harus dilakukannya. Adakah dia masih sempat untuk menyediakan lempeng itu untuk putera? Tapi strawberi dah habis, atau patutkah dia hanya menyediakan lempeng biasa untuk dibawa ke istana? Pasti gadis yang lain banyak menyediakan lempeng resepi standard itu. Bukan itu sahaja, mungkin dia akan kalah dengan masakan Mary. Cinderella tahu dia perlu berikan kelainan pada masakannya jika dia mahu menang.

Tiada cara lain. Satu-satunya buah-buahan lain yang ada di rumah itu hanyalah buah kegemaran Cinderella. Dia pantas bangun dan berjalan ke belakang rumah. Di situlah dia menyimpan beberapa biji durian yang dikutip di dusun pagi semalam. Dia menyembunyikannya di situ kerana Mem Emey dan Mary marah akan bau durian itu yang kuat jika diletakkan dalam rumah.


Tanpa membuang masa, Cinderella terus membancuh bahan-bahan yang tersedia dengan menambahkan elemen rahsianya iaitu isi durian yang telah masak kekuningan. Beberapa keping lempeng durian yang telah siap dimasak diletakkan di dalam pinggan dan ditutup menggunakan penutup stainless steel. Manakala beberapa keping lagi dibalut dengan kertas tisu untuk dijadikan kudap-kudapan dalam perjalanan untuk ke istana nanti.

Cinderella melangkah keluar dari pintu rumah dan mencari-cari sepatu kaca milik arwah mummynya. Tetapi apabila dia menyarungkan kasut itu ke kakinya, Cinderella merasakan kesakitan di belakang tumit kakinya yang melecet sedikit kerana berlari-lari semasa pulang ke rumah tadi. Tanpa berfikir panjang, Cinderella terus menyarung selipar jepun miliknya. Walaupun selipar itu nipis, buruk dan pastinya berkepam; tetapi selipar jepun itu jauh lebih selesa dan memudahkan perjalanan untuk Cinderella ke istana.

Jam power rangers Cinderella menunjukkan tepat pukul 11 malam. Cinderella mempercepat langkahnya kerana dia yakin yang majlis di istana sudah hampir berakhir. Tetapi Cinderella tidak patah semangat dan berfikir positif yang sesi pemilihan belum lagi berakhir. Tanpa mempedulikan para pengawal yang cuba menahannya dari masuk ke dewan istana, Cinderella terus sahaja masuk ke pintu istana sambil membawa sepinggan hidangan lempeng di tangannya.

Sebaik sahaja Cinderella masuk ke dewan, dia dapat melihat semua jemputan berdiri berselerak sambil memegang pinggan masing-masing. Cinderella tertanya-tanya samada adakah pertandingan telah berakhir dan putera telah menjumpai pemenangnya? Dia kemudian dengan beraninya melangkah setapak demi setapak menyertai para gadis di tengah dewan. Entah mengapa, mereka yang berdiri di sekeliling Cinderella berbisik-bisik dan ada sesetengah mereka ketawa sambil memandang Cinderella. Cinderella bertambah curious. Mungkinkah dia yang telah dipilih untuk menjadi isteri putera dan menyebabkan para gadis di situ bergosip tentangnya. Tapi mana mungkin, kerana putera tidak tahu pun kewujudannya di situ. Apabila terkenangkan yang dia hanya berselipar jepun masuk ke situ, Cinderella dengan pantas menyembunyikan kakinya di bawah gown kembangnya.

Tanpa mempedulikan reaksi yang diberikan oleh gadis-gadis di sekelilingnya, dia cuba mengintai dari celah-celah orang ramai untuk melihat apa yang berlaku di hadapannya. Cinderella dapat melihat dengan jelas; raja dan permaisuri sedang berdiri dan bercakap sesuatu dengan pengacara majlis. Cinderella mencari di manakah putera? Lirik matanya di panjangkan ke arah salah satu meja yang ada di tepi meja makan. Dia dapat melihat putera sedang duduk tersandar di sebuah kerusi dan beberapa orang pengawal mengipas-ngipas putera menggunakan kipas tangan. Baju kot putih yang dipakainya telah terbuka butangnya dan menampakkan otot perut 6pack putera. Patutlah gadis-gadis yang berkumpul disitu tidak mengalihkan pandangan mereka dari sana. Cinderella dapat membayangkan putera terpaksa merasai kesemua masakan calon yang seramai lebih dari seratus orang itu.

Melihatkan keadaan itu, Cinderella tahu bahawa dia telah terlambat dan berkemungkinan pihak di raja telahpun membuat keputusan tentang pemilihan isteri putera. Kalau nak diikutkan hati, mahu sahaja Cinderella membawa lempeng yang dibuatnya untuk dirasai oleh putera. Tetapi, melihatkan keadaan yang sangat senyap dan tegang pada waktu itu mungkin akan menyebabkan kekecohan dan menyebabkan baginda murka. Tidak lama kemudian, pengerusi majlis mula menghembus-hembus microphonenya.

“Hello.. Testing 1,2,3.. Minta perhatian kepada semua jemputan di raja. Sebentar tadi telahpun selesai acara bagi putera, raja dan permaisuri merasai masakan lempeng para jemputan semua. Dan di sini, setelah mendapat hasil daripada perbincangan raja dan permaisuri, kita telahpun mendapat seorang dari pemenangnya. Kerana kita memerlukan keputusan sekarang juga dan masa juga telah lambat. Disebabkan putera telah pengsan akibat kekenyangan, maka raja dan permaisuri sendiri yang memilihkan bakal menantu mereka hasil daripada masakan lempeng dari anda semua”

“Dengan ini, saya mengumumkan atas pemilihan dari raja dan permaisuri sendiri bahawa pemenang pertandingan memasak lempeng ini jatuh kepada Cik Kemetom yang memasak di meja 57. Di minta cik Kemetom sila tampil ke hadapan untuk menerima pengiktirafan dari raja dan permaisuri”

Cinderella yang mendengar kata-kata pengerusi majlis terkejut besar dengan keputusan pertandingan itu. Bukan Cinderella sahaja, malah para gadis lain juga mula membuat bising tanda tidak puas hati. Tambah menyakitkan hati, mereka melihat cik kemetom berjalan lenggang lenggok naik ke tingkat atas. Cinderella dapat mendengar suara-suara tidak puas hati di sekelilingnya.

“Si tua sombong tu yang menang? Mana boleh macamni...”

“Kenapa panggil si tua tu ‘cik’..?”

“Baru hari ni aku tahu nama dia kemetom...”

“Sah, dia pakai bomoh nak memang..”

“Pandai bodek raja dengan permaisuri bolehlah menang...”

“Dah tua kerepot pun ada hati nak kahwin dengan putera...”

Itulah antara suara-suara tidak puas hati yang dapat didengari oleh telinga capang Cinderella. Dia juga berfikir perkara yang sama. Sudah tentu ibu tirinya itu memasak masakan killernya iaitu lempeng pisang. Cinderella juga berasa tidak puas hati. Seramai-ramai anak dara yang ada di situ, tak ada seorang pun kah yang boleh mengalahkan masakan Mem Emey? Tapi pada masa yang sama juga dia tidak menafikan yang lempeng pisang Mem Emey memang marvellous hingga menjilat jari.

Pengerusi majlis kemudiannya memberikan microphone kepada Mem Emey.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada raja dan permaisuri kerana telah
memberikan kemenangan ini kepada saya. Walaupun saya nampak seperti sudah berumur, tetapi saya ada banyak pengalaman dalam hal-hal rumahtangga. Saya tak sangka bahawa pihak Di Raja akan memilih saya menjadi isteri putera. Nampaknya, saya sangat bertuah. Dengan ini saya berjanji akan menjaga rakyat jelata semua dengan sebaik-baiknya.....”

Tiba-tiba kedengaran satu suara yang lantang menyampuk ucapan dari Mem Emey. Cinderella tertanya-tanya siapakah yang sangat berani menyampuk ucapan di dalam istana?

“Mama, mama kan dah janji dengan bucuk?”

Ya, Cinderella sangat kenal dengan suara itu. Mary yang selalu membulinya. Cinderella berasa teruja dan ingin melihat apa yang bakal berlaku. Siapa sangka yang Mary akan mencelah di saat ibunya hampir menjadi bakal isteri putera mahkota. Cinderella pula hanya melihat apa yang berlaku dari tepi bersama-sama dengan gadis lain. Raja dan permaisuri juga kelihatan terkejut dengan suara lantang sampukan Mary tadi. Kini perhatian di seluruh istana itu tertumpu kepada drama dua beranak itu pula.

“Apa yang tak kena?”

“Kan mama dah janji dengan bucuk kalau mama memang, mama nak mintak raja dan permaisuri supaya kahwinkan bucuk dengan putera”, kata Mary seakan-akan mahu menangis melihat ibunya yang kelihatan lupa dengan janjinya.

“Mary, bukan mama yang nak ni semua. Raja dan permaisuri yang pilih mama. Mary sendiri dah cuba masak lempeng sendiri kan? Kalau Mary menang, tentulah Mary terpilih. Tapi kalau mama yang menang, mamalah yang terpilih.”

“Mama tipu Mary! Betul cakap Cinderella, mama tipu Mary!”, tempik Mary sambil berlari keluar dari pintu istana.

Tempikan Mary yang kuat telahpun mengejutkan putera yang lama pengsan di kerusi meja makan. Putera kelihatan mamai dan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Putera kemudian membutang semula bajunya dan berjalan naik ke tingkat atas untuk menghadap kedua bonda dan ayahandanya. Melihatkan Mem Emey sedang berdiri di atas pentas, Putera Danny hanya mampu menelan air liur sahaja. Dia tersenyum paksa melihat Mem Emey tersenyum malu ke arahnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience