Bab 10

Humor Series 8271

Pancaran cahaya matahari sudahpun memancar terik ke wajah Cinderella yang baru sahaja terjaga dari tidur. Dia kelihatan bingung dan memeriksa jam di tangan kanannya. Jam menunjukkan pukul 11.30 pagi dan tiada sesiapapun yang mengganggu tidur Cinderella hinggakan dia terlajak untuk sembahyang subuh. Setelah beberapa minit termenung, barulah dia teringat tentang apa yang berlaku semalam.

Cinderella bingkas bangun dari toto buruknya. Dia keluar ke belakang rumah dan mengambil baldi untuk mengangkut air dari perigi. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik air di bilik Mary, dia sangat terkejut melihat yang kolam di bilik Mary telahpun penuh. Aneh, kerana selama hayat dia tinggal bersama kakak tiri dan ibu tirinya tidak pernah mereka berdua mengangkut air di perigi sendiri. Bahkan, semasa hayat daddynya masih ada, daddy Cinderellalah yang menjadi mangsa mengangkut air untuk mereka.

Cinderella mencari Mary dan Mem Emey, tetapi kedua-duanya tidak ada di situ. Puas Cinderella mencari di bilik Mem Emey, di belakang rumah, di halaman rumah, bahkan di dalam perigi buta juga sudah Cinderella jerit memanggil tetapi tidak disahut.
Tidak lama kemudian, Cinderella terdengar bunyi kereta kuda terseret berhenti di hadapan rumah. Cinderella berlari ke ruang tamu dan meninjau keluar dari lubang-lubang di tepi pintu. Kelihatan Mem Emey sedang mengikat tali kuda di batang pokok pinang di hadapan rumah seperti biasa. Kemudian dia mengangkut beg-beg kertas yang tercetak logo berjenama mahal keluar dari kereta kuda.

Kemudian dari celahan lubang itu, Cinderella melihat Mary turun dari kereta kuda sambil membawa beg-beg kertas lain. Tetapi wajahnya kelihatan masam, muncungnya panjang menampakkan wajahnya jauh lebih buruk dari biasa.

Cinderella yang sedang leka meninjau dari celah pintu mula berasa cemas apabila wajah Mary dan Mem Emey terasa semakin lama semakin dekat dengannya. Cinderella segera memalingkan mukanya dan berjalan pantas tanpa bunyi ke dapur.

“Cinderella, kau nak pergi mana tu?”, tanya Mem Emey lantang menyebabkan langkah Cinderella terhenti.

“Ke dapur, mem”, jawabnya ringkas. Dia tidak berani memandang ke arah Mem Emey dan Mary yang tercegat berdiri di belakangnya

“Kau pergi angkat barang-barang Mary dalam kereta. Bawakan ke ruang tamu”, arah Mem Emey.

Cinderella berasa aneh kerana Mem Emey tidak membangkitkan perihal semalam. Kata Mem Emey, dia akan menyetelkan hal yang tertangguh semalam sebaik sahaja mereka tiba di rumah. Sebaliknya, bukan sahaja Mem Emey malah Mary juga tidak menyebut apa-apa tentang majlis semalam.

Cinderella mengangkat kesemua beg-beg berjenama mahal masuk ke rumah dan meletakkannya di satu sudut di ruang tamu. Dia sempat menyelak beg-beg yang di dalamnya ada kasut, minyak wangi, baju dan selebihnya belum sempat dilihat.

Mem Emey sedang duduk di atas sofa sambil mengipas mukanya dengan selendang yang terlilit di lehernya. Mary pula sedang duduk sambil mengepit beg-beg kertas di sisi kanan dan kirinya. Matanya tidak dialihkan dari memandang lantai, muncungnya pula masih lagi terjulur panjang.

“Sudahlah sayang. Jangan merajuk dengan mama lagi, ya. Hal semalam tu kita lupakan. Mama tak nak Mary merajuk dengan mama lama-lama. Mama sunyi”, kata Mem Emey tiba-tiba memecahkan suasana yang agak tegang.

“Dah tahu macamtu, kenapa mama tipu Mary? Sampai hati mama buat macam tu kat Mary. Mama dah janji nak kawinkan putera dengan Mary. Tapi mama pulak yang...” kata Mary. Suaranya makin lama semakin hilang, matanya juga berair.

“Tapi Mary.. Mama tak boleh nak buat apa-apa. Mana mungkin mama nak menentang titah raja dan permaisuri. Lagipun, kalau putera jadi papa baru Mary pun apa salahnya”, jawab Mem Emey selamba.

Mendengarkan jawapan dari Mem Emey, maka bertambah kuatlah raungan Mary dan dia menangis sambil tersedu-sedu. Cinderella hanya berdiri melihat drama dua beranak itu. Tangannya laju menyuap popcorn caramel yang bungkusannya terselit di dalam salah sebuah beg kertas yang dipegangnya.

“Mama bergurau je sayang. Kalau mama betul-betul nak kahwin dengan putera raja tu, buat apa mama ada kat sini dengan Mary? Baik mama pergi ke istana dan kahwin dengan putera sekarang”

“Betul ke, ma?”, kata Mary sambil mengesat air matanya dan hingus hijaunya yang mula terjengul keluar dari lubang hidung besarnya.

“Betullah. Kalau mama tak sayang bucuk, mama tak beli bucuk barang-barang mahal banyak macam ni tau. Apa je yang Mary nak, mama akan belikan”

Mary tidak menjawab, sebaliknya dia tersenyum hambar mendengar jawapan dari mamanya. Matanya dialihkan ke arah bungkusan-bungkusan beg kertas yang banyak di atas lantai.
“Apakata kita cuba baju kembang yang kita baru beli tadi.”, tanya Mem Emey sambil tangannya ligat memunggah beg-beg kertas mencari beg kertas yang mengandungi baju yang dikatakannya.

“Tapi ma, dari tadi Mary nak tanya mama. Dari mana mama dapat duit beli barang-barang ni semua?”, tanya Mary.

Cinderella yang masih tercegat berdiri di situ juga berasa ingin tahu dari mana Mem Emey dapat duit membeli barang-barang mahal itu. Baginya itulah pertama kali Mary bertanyakan soalan yang bernas kepada ibunya.

“Disebabkan seseorang telah buat salah semalam, inilah yang terpaksa dia bayar untuk kesalahannya”, jawab Mem Emey cuba berkias sambil memandang Cinderella.

“Mary tak fahamlah, mama. Apa maksud mama?”

“Ini semua duit tinggalan mak ayah kepada Cinderella. Tapi Cinderella terpaksa bagi kepada kita untuk menebus kesalahannya semalam”

Cinderella yang mendengar penjelasan Mem Emey membeliakkan matanya. Dia faham apa yang dikatakan Mem Emey. Satu-satunya harta peninggalan kedua ibu dan ayahnya hanyalah tanah dusun epal yang terletak di hujung kampung. Dia tak mengerti maksud Mem Emey, tetapi dia tahu Mem Emey membuat sesuatu yang tak baik pada peninggalan arwah mummy dan daddynya.

“Apa yang Mem buat dengan tanah dusun daddy dan mummy?”, tanya Cinderella tegas.

“Aku dah jual tanah tu” jawabnya selamba.

“Apa?! Kenapa Mem buat macam tu. Mem tak ada hak sikit pun atas tanah tu. Mem dah langgar wasiat arwah daddy”

“Aku tak langgar wasiat tu. Aku dah dapat cap jari masa kau tidur, bermakna kau sendiri yang jual tanah tu atas kehendak kau”

“Tapi, Mem buat tu semua bukan atas kehendak saya! Itu je harta yang daddy dan mummy tinggalkan untuk saya. Mana boleh Mem buat macam tu!”, tempik Cinderella berang dengan tindakan melampau ibu tirinya.

“Kau ingat aku bodoh nak biarkan kau dapat harta dari tanah dusun tu? Kau sedar tak kau tu siapa? Aku bagi kau tinggal dan makan kat dalam rumah ni pun dah kira bagus tau. Rumah ni bapak kau bagi pada aku. Kau tak dengar wasiat bapak kau dulu? Kalau kau tak suka, kau boleh bungkus baju-baju kau dan dipersilakan berambus dari sini”

Cinderella berlari meninggalkan Mem Emey yang menjegil mata memandangnya. Mary hanya memandang tanpa bersuara.
Cinderella masuk ke dapur dan mula membungkus pakaiannya di dalam selembar selimut yang lebar. Dia membawa beberapa helai pakaian miliknya yang masih lagi kelihatan elok berbanding pakaian usang yang lain. Dia membawa komik doraemon dan kotak milik arwah daddy dan mummy yang dijumpainya semalam. Dia berdiri dan cuba mengangkat bungkusan itu di bahu kanannya.

“Kau betul-betul nak pergi?”, tanya satu suara dari belakang Cinderella menyebabkan Cinderella terkejut.

Kelihatan Mary sedang berdiri sambil menyandarkan bahunya di gerbang pintu dapur. Cinderella tidak menjawab sebaliknya dia hanya memandang Mary dengan tajam. Dari pandangan matanya jelas menunjukkan kemarahannya pada dua beranak itu meluap-luap.

“Macammana kau nak hidup? Kau tak ada rumah nak tinggal, tak ada duit, tak ada kawan, tak ada makanan?”

“Lebih baik aku hidup gelandangan dari aku tahan tinggal dengan orang kejam macam kau dan mak kau. Hari ni umur aku ganap 18 tahun. Aku boleh berdikari. Aku boleh ke pekan cari kerja dan hidup bebas dari belenggu kau dan mak kau.”

“Kalau macam tu, ambil ni”, kata Mary sambil menghulurkan sebuah bungkusan tebal di dalam sampul surat jemputan majlis tari menari semalam.

“Apa ni? Racun? Bom?”, tanya Cinderella enggan menyambut sampul yang dihulurkan Mary.

“Kau bukalah dulu, bodoh”

Cinderella menyambut juga sampul surat di tangan Mary menggunakan hujung jarinya. Dia meninjau ke dalamnya perlahan. Dia risau Mary akan mengenakannya seperti di zaman kanak-kanaknya. Di mana Mary mencalitkan tahi ayam candu di atas komik doraemon Cinderella.
Apabila Cinderella melihat isinya, dia membeliakkan matanya. Dia seperti tidak mempercayai apa yang ada di dalam tangannya.

“Kau sakit ke? Kenapa kau bagi aku duit banyak ni?”

“Tu memang duit kau. Ni semua bahagian yang aku dapat dari mama selepas dia jual tanah dusun epal tu. Aku tak tahu duit tu duit dari tanah dusun, jadi aku dah gunakan sikit untuk beli barang-barang tadi. Tapi ini suku je dari duit jualan, jadi ini je yang dapat aku bagi.”, terang Mary. Dia tidak mengangkat mukanya dari memandang Cinderella.

“Kenapa kau tiba-tiba baik dengan aku? Sebab apa yang mama kau dah buat pada kau semalam?”, tanyanya.

“Mungkin tu salah satu dari faktor jugak. Tapi jual tanah dusun yang arwah daddy beri pada kau memang dah melampau. Aku pun tak tahu ketamakan jenis apa yang mama aku ada. Aku pun tamak jugak, tapi tak lah sampai nak melanggar wasiat arwah daddy. Aku mintak maaf dan minta maaf bagi pihak mama”

Cinderella tersenyum mendengar apa yang keluar dari mulut Mary. Ayat itulah yang ditunggu-tunggu sepanjang dia hidup belasan tahun bersama mereka. Dan berapa dia menginginkan Mary berbual dengannya dalam nada rendah begitu.

“Kalaulah dari dulu kau sedar dan baik dengan aku macam ni”

“Sebenarnya, dari kecil dulu aku nak sangat berbaik-baik dengan kau. Tapi setiap kali aku baik dengan kau, mama akan tegur sebab aku baik dengan orang jahat. Mama selalu kata daddy sayang kau lebih, tapi tak sayang aku. Lepastu, kau cuba berbaik-baik dengan mama sebab kau nak rampas mama dari aku. Jadi, aku bernekad takkan suka dan berbaik dengan orang macam kau”

“Nampaknya, dari kecik kau dah kena brainwash dengan Mem. Takpelah Mary, selepas ni kau akan senang lenang tinggal dengan mak kau dalam rumah agam ni. Aku pun akan tinggal dengan mummy dan daddy aku di rumah lain, memori lain”, kata Cinderella sambil meletakkan tapak tangan di dadanya.
Cinderella berdiri dan meletakkan bungkusan pakaian itu ke atas bahunya. Sampul surat yang diberikan Mary diselitkan di dalam baju yang dipakainya.

“Apa yang kau pandang? Sekarang semua orang letak barang berharga dalam baju tau”, kata Cinderella selamba.

Cinderella berjalan sambil membawa bungkusan untuk keluar dari rumah itu. Mary juga berjalan bersaingan dengannya, turut menemani Cinderella untuk menghantarnya keluar. Langkah mereka terhenti apabila mereka melihat segerombolan askar datang memenuhi perkarangan rumah mereka. Kelihatan Mem Emey sedang bercakap-cakap dengan askar-askar itu. Cinderella memanjangkan lehernya cuba melihat apa yang sedang berlaku. Dia sangat terkejut melihat kelibat putera Danny yang segak sedang berdiri di hadapan gerombolan askar itu seperti bercakap dengan Mem Emey.

Matanya dialihkan pula kepada Mary yang sedang tersengih sendirian. Pasti Mary juga dapat melihat putera Danny yang sedang berbual dengan mamanya.

“MARY, SINI SAYANG!”, jerit Mem Emey.

Mary tidak mengalihkan pandangannya dari memandang putera Danny dan terus berjalan laju ke pintu hadapan apabila namanya dipanggil.

“Kedatangan beta ke sini untuk mencari tuan empunya kepada sepatu ini. Sudah puas beta mencari siapa empunya sepatu istimewa ini.

“Maaf tuanku. Tapi mengapa tuanku mahu kami mencuba sepatu yang sungguh buruk dan kotor ini?”, tanya Mem Emey agak kuat hingga boleh didengar Cinderella yang sudah melangkah pergi.

Cinderella tidak tahu apa yang sedang berlaku di hadapan, tetapi dia tahu yang dia tidak ada kaitan dengannya. Kalau ada apa-apa tentang semalam pun, pasti Mem Emey tidak akan membenarkannya berlaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience