Bab 3

Humor Series 8271

Hari dah makin senja. Cinderella sedang sibuk menyusun kayu api. Walaupun dah senja, dia tetap susun dan susun juga kayu api tu sampai siap. Takut nanti bising pula mem tua tu nanti. Sedang Cinderella khusyuk menyusun kayu api, tiba-tiba jam ala power rangers di tangannya berbunyi. Memang Cinderella dah setkan jam dia pukul 7 lebih sebab waktu tu la dia kena bersembahyang maghrib.

Selepas mandi dan menunaikan solat maghrib, Cinderella pun masuk ke dapur tempat dia melepak. Lepastu, dia kena pula melayan mak dan kakak tiri dia tu. Maklumlah, siapa lagi yang nak melayan diorang melainkan Cinderella sendiri. Mem Emey tak nak upah orang gaji sebab dia cakap orang gaji kena bayar mahal. Dan dengan menyuruh Cinderella membuat semua kerja rumah adalah jauh lebih untung kerana tidak perlu membayar satu apa pun.

Malam tu, dalam pukul sebelas lebih, Cinderella dah pun siapkan semua kerja yang patut dia buat. Lepas tu, dia senyap-senyap keluar rumah melalui pintu belakang. Dia cuba berjalan tanpa mengeluarkan bunyi dan tidak pula sekali-kali cuba memijak daun kering mahupun ranting yang akan mengeluarkan bunyi yang rangup seperti bunyi keropok. Malam tu, dia bercadang untuk pergi merehatkan diri di taman.

Semasa di taman, Cinderella hanya duduk di kerusi panjang sambil melelapkan matanya. Keadaan di taman sangat sunyi pada malam itu. Hanya bunyi cengkerik yang bergurau senda dan sesekali terdengar bunyi katak yang mengeluh kesunyian yang menemaninya pada malam itu. Selalunya Cinderella akan datang ke taman pada setiap hujung minggu kerana pada hari itu sajalah kakak tiri dan ibu tirinya tidur awal. Lagi pula, pada waktu malam memang tiada orang yang datang ke situ. Maklumlah, taman tu terletak di hujung bandar. Penduduk yang tinggal di situ semuanya penakut belaka. Mengikut kata mereka, ada antara mereka yang terjumpa pocong yang berbaring di jalan dan toyol yang melepak di pondok. Tetapi, hanya Cinderella sahaja yang tak takut sebab mak dan kakak tirinya lebih menakutkan dari hantu-hantu yang digembar-gemburkan oleh penduduk sekitar.

Maka, disebabkan bosan yang terlampau, Cinderella pun menyanyi sendiri lagu kegemarannya. “Kota-kota-miina. Te-kitalla-miina. Kan-dayu-me-kwan-dayu-me-i-pa-i-a-lu-ke-do”. Cinderella siap goyang-goyangkan kaki dan kepala lagi cuba menjiwai lagi doraemon tersebut. Dia cuba mengenjoykan diri sendiri, melupakan kesusahan yang dihadapinya setiap hari.
Tiba-tiba, datang sesuatu dari arah belakang dan merapati Cinderella. Dengan pantas, Cinderella memberhentikan nyanyiannya dan dia dengan pantas berbaring di atas kerusi, berpura-pura tidur. Dia cuba tidak mengeluarkan apa-apa bunyi walau bunyi nafas sekalipun.

Dalam keadaan yang gelap, makhluk itu terus berjalan dan menghampiri kerusi yang Cinderella baring. Jelas sekali dia tidak perasankan Cinderella yang sedang berbaring di situ. Tiba-tiba makhluk itu terus menghalakan punggung lepernya ke arah Cinderella. Cinderella terasa aneh dengan bayang-bayang yang tiba-tiba dekat dengan mukanya. Nasib baiklah Cinderella sempat menjerit kuat dan menyebabkan makhluk itu terkejut dan menjerit sama. Cinderella juga pantas bangun dan berdiri.

“Siapa?!”, tempik makhluk yang sedang terduduk di tanah itu dengan cemas.

“Kau tu siapa? Suka hati nak duduk atas muka orang?”, marah Cinderella kembali.

“Maaflah. Saya tak tahu ada orang berbaring di sini. Selalunya pada waktu malam kawasan ni tak ada orang”, balas makhluk yang mempunyai suara lelaki itu dan nadanya kini diperlahankan.

“Tak mengapalah. Saya juga sangka tidak ada orang yang datang ke taman ni pada waktu-waktu begini.”, jawab Cinderella dan kembali duduk di kerusi panjang itu. Lelaki itu juga turut duduk di sebelah Cinderella walaupun tidak dipelawa.

“Berani sungguh gadis seperti awak duduk di taman ini pada waktu malam begini”, kata lelaki itu tiba-tiba, cuba memulakan perbualan yang terhenti tadi.

“Tak ada apa yang nak ditakutkan. Malam beginilah sesuai untuk merehatkan diri dan fikiran. Awak pula buat apa di sini?”, tanya Cinderella pula.

Tetapi lelaki itu tidak menjawab sebaliknya dia hanya mengeluh panjang.

“Kenapa awak mengeluh? Kalau ada masalah, ceritalah pada saya. Mana tahu, mungkin saya boleh bantu sikit”

“Masalah saya tidak boleh dikongsi dengan sesiapa. Biarlah saya sendiri yang berfikir untuk menyelesaikan masalah ni”, jawab lelaki itu dengan nada sayu dan jika didengar dengan lebih teliti, suaranya sudah berubah sedikit seperti mahu menangis.

“Tak mengapa. Masalah jika tanggung sendiri, terasa lebih berat. Saya bukan berniat untuk menyibuk atau mengetahui rahsia awak. Tapi pakar psikologi pernah berkata bahawa orang yang banyak menyimpan masalah sendiri berkenderungan untuk mendapat menyakit psyco dan gila. Dan masalah selalunya dapat dikurangkan dengan berkongsi dengan seseorang. Mungkin saya boleh kurangkan potensi awak untuk mendapat masalah mental walaupun saya tak mampu bantu apa-apa”, kata Cinderella dengan panjang lebar seperti ada roh seorang doktor psikologi telah masuk ke tubuhnya.

“Baiklah. Disebabkan awak nampaknya seperti seseorang yang boleh dipercayai, saya akan ceritakan pada awak. Saya harap, awak tidak memberitahu masalah saya kepada orang lain”, kata lelaki itu lagi.

Disebabkan keadaan malam itu agak gelap, Lelaki itu berasa lebih senang untuk menceritakan semua masalahnya kepada Cinderella. Tambahan mereka juga tidak dapat mengecam muka antara satu sama lain.

Entah mengapa langit pada malam itu sungguh gelap. Bukan bulan sahaja tidak sudi menunjukkan diri, malahan bintang juga seperti merajuk kerana manusia hanya menghargai tahinya sahaja untuk membuat hajat.

“Sebenarnya, tidak lama lagi pihak istana nak adakan majlis tari-menari. Tujuan majlis tari-menari itu diadakan ialah untuk membolehkan putera memilih isterinya pada malam itu. Memang majlis ni telah dilakukan sejak tradisi lagi untuk memilih bakal permaisuri. Dan kali ni, bonda dan ayahanda mahu terma dan syaratnya dibuka kepada semua gadis di negeri ini. Tema majlis tari-menari itu pula ialah majlis menari bertopeng. Bagaimana saya boleh memilih seorang daripada mereka tanpa mengenali mereka terlebih dahulu? Dalam masa beberapa jam sahaja? Tak mungkin saya akan mengahwini seseorang yang tidak saya kenali. Macammana saya mahu memilih dengan teliti? Apa yang patut saya lakukan jika saya terpilih anak dara tua? Tentu saya akan disalahkan nanti”, cerita lelaki itu dengan panjang lebar. Dia kemudian mengeluh lagi.

Cinderella hanya diam membisu mendengar cerita lelaki tadi. Dia sedikitpun tidak berbunyi. Seakannya roh pakar psikologi yang masuk ke tubuhnya tadi sudah melarikan diri.

“Awak dengar tak apa yang saya ceritakan tadi?”, tanya lelaki itu. Dia menggegarkan sedikit bahu Cinderella yang sudah tidak bergerak seperti patung.

“Awak tidur ke?”, tanya lelaki itu sedikit bengang dengan reaksi Cinderella.

“Aaa.. awak... Putera ke?”, tanya Cinderella perlahan.

“Kenapa? Ya, saya putera”, kata lelaki itu masih terkejut dengan reaksi Cinderella.

“Maafkan patik tuanku. Patik tidak dapat mengecam tuanku. Maaf”, kata Cinderella sambil menunduk pada putera.

“Tak mengapa. Saya yang bersalah kerana menyebabkan awak terkejut begini. Sepatutnya saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Tetapi, disebabkan awak dah mengetahui masalah dan rahsia saya, boleh kan jika kita berkawan”, kata lelaki yang mengakui dirinya putera itu.

“Baiklah”, jawab Cinderella pendek. Dia takut lidahnya tersilap cakap di hadapan putera.

“Awak dah dengar masalah saya tadi? Apa pendapat awak?”, tanya putera.

“Tak ada komen, tuanku”, jawab Cinderella pendek.

“Awak jangan risau. Buat saja macam biasa. Bukankah kita kawan? Saya takkan marah sekiranya awak tersalah cakap”, kata putera. Dia juga perasan bahawa Cinderella tidak berani untuk bercakap dengannya.

“Baiklah, tuanku. Sebenarnya patik tak berapa tahu perihal tentang istana. Bahkan patik juga tidak pernah mengenali raja dan permaisuri. Patik cuma diarahkan duduk di rumah dan membuat semua kerja rumah. Dan patik tidak tahu apa yang berlaku disekeliling. Tetapi menurut apa yang diceritakan putera, patik rasa putera sendirilah yang patut mencari calon isteri putera. Kerana puteralah yang akan hidup semati dengannya dan bukan raja mahupun permaisuri. Jadi pilihan yang putera buat perlulah tepat supaya apabila takhta diserahkan kepada putera nanti, tidak berlaku kekacauan dan pemberontakan. Tradisi yang lama itu sepatutnya ditukar mengikut peredaran masa. Majlis tari-menari mungkin boleh dilakukan selepas putera telah memilih gadis yang putera mahu kahwini”, kata Cinderella mula berasa bebas untuk menyuarakan pendapatnya.

“Betul apa yang awak katakan. Bonda dan ayahanda sepatutnya berfikir seperti awak. Tapi, boleh tak kalau awak berbual dengan saya seperti tadi. Seperti biasa. Saya lebih selesa begitu. Awak boleh panggil saya dengan nama Danny saja. Tidak usah berpatik tuanku dengan saya. Oh ya. nama apa yang saya perlu panggil awak?”, tanya putera yang baru sedari yang mereka belum mengetahui nama masing-masing.

“Saya, Cindy”, jawab Cinderella pendek. Dia hanya menggunakan nama ibunya bagi menggantikan nama sebenarnya.

“Oh, Cindy. Satu nama yang cantik.”, kata putera sambil tersenyum manis tetapi sayang sekali kerana senyumannya itu memang tidak dapat dilihat oleh Cinderella.

“Oh ya, tentang majlis tu, lebih baik Danny beritahu pada raja dan permaisuri supaya mereka mengetahui apa yang Danny mahukan. Mereka sahaja yang mampu mengubah semuanya menjadi lebih baik.”

“Saya tak pasti. Sebelum ni saya pernah memberitahu pada bonda dan ayahanda juga, tetapi mereka murka dan mengatakan bahawa saya tidak menghormati tradisi kerabat Diraja. Tambahan majlis itu akan berlangsung dua hari lagi”, jawab Danny dan mengeluh lagi.

“Dua hari??”, kata Cinderella terkejut dengan apa yang didengarinya.

“Ya. Tetapi tidak mengapa. Saya akan cuba memujuk mereka sekali lagi supaya menangguhkan majlis ni sehingga saya bersedia untuk membuat pilihan”, kata Danny sedikit gembira setelah mendengar pendapat yang diberikan Cinderella tadi.

“Baguslah kalau begitu. Saya akan sentiasa menyokong Danny dari jauh”, jawab Cinderella.

“Baiklah, Cindy. Melalui apa yang saya dengar, kamu sememangnya orang yang sangat bijak dalam memberikan pendapat. Terima kasih kerana sudi berbual dengan saya. Dan saya ada satu permintaan kepada awak. Sudikah awak menerimanya?”, tanya putera lagi.

“Permintaan?”, kata Cinderella dalam hati. Dia mula mengesyaki sesuatu pada putera. Di dalam keadaan gelap begini.. Di taman yang sunyi.. Mungkinkah.....?

Tiba-tiba putera mengeluarkan telefon bimbitnya yang mengeluarkan cahaya putih dan serentak dengan itu, satu lagi romantik bermain di telefon itu.

“Sudikah Cindy menari dengan saya? Saya sepatutnya berlatih menari pada hari ni, tapi saya telah melarikan diri. Saya memang kurang berbakat dalam tarian, sebab itulah saya kurang setuju memilih pasangan melalui majlis tarian. Mungkin Cindy boleh bantu saya?”, tanya Danny sambil menghulurkan tapak tangannya pada Cinderella, menunggu untuk disambut.

Cinderella pula tidak menjawab sebaliknya tanpa ragu-ragu dia menyambut tangan Danny dan mula menari bersamanya.

Maka, malam itu Cinderella menari bersama putera yang telah menjadi mimpi setiap gadis di seluruh negeri. Tarian mereka diiringi dengan lagu romantik dari handset Sony milik putera. Semasa menari, banyak kali juga Cinderella terpijak kaki putera. Nasib baiklah Cinderella hanya memakai selipar jepun sahaja. Dan putera juga kelihatan tidak kisah dengan tarian Cinderella yang sumbang dan jelas sekali Cinderella hanya hentam saja menari bersamanya.

Sedang mereka rancak menari, tiba-tiba putera memberhentikan tariannya. Cinderella pula hanya mengikut apa yang putera lakukan kerana dia sendiri tidak mengetahui bagaimana mahu mengakhiri tarian itu.

“Cindy, terima kasih kerana sudi menemani saya menari pada malam ini.”

“Ya, sama-sama. Tapi, maaflah. Saya tak pandai menari”, jawab Cinderella sedikit malu dengan dirinya.

“Tidak mengapa. Awak dah lakukan dengan baik sekali. Saya harap, lepas ni jika kita berdua ada peluang menari bersama lagi, awak akan lakukan gerakan ni supaya saya akan dapat mengecam awak”, kata putera lantas terus menarik tangan Cinderella dan menyebabkan Cinderella berpusing mengelilingi putera. Mereka kemudiannya tunduk salam sesama sendiri menandakan berakhirnya tarian pada masa itu.

Tiba-tiba jam power rangers Cinderella berbunyi menandakan waktu tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam. Cinderella meminta diri daripada Danny untuk pulang ke rumahnya. Mereka berdua juga berjanji untuk kembali ke sana pada malam berikutnya untuk memberitahu keputusan yang putera dapat setelah memberitahu bonda dan ayahanda untuk kali terakhir.

Cinderella berlari dengan pantas dan terus masuk ke dapur rumahnya. Nasib baiklah dia cepat. Sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya yang sudah sedia ada labuh tu ke atas lantai, tiba-tiba Mem Emey menjerit dari tandas yang terletak berhampiran dengan kawasan dapur.

“CINDERELLA!!!!”

Cinderella memang dah tahu apa yang perlu dia lakukan pada malam-malam buta begitu.

“Ya, Mem Emey! Saya datang ni!!”, sahut Cinderella kuat.

Cinderella pun terus keluar dari dapur sambil membawa dua baldi air yang diambil dari perigi. Dah memang kerja harian Cinderella kena sediakan air pada waktu malam. Sebabnya, pada waktu tu lah mak tiri dia nak membuang sisa toksik. Memang sentiasa menyusahkan orang. Mula-mula dulu, Cinderella agak bengang juga sebab terpaksa buat kerja tak berfaedah itu malam-malam buta. Tapi lama kelamaan dia dah biasa dengan keadaan itu.

Malam tu, selepas Cinderella menguruskan mak tiri dia, Cinderella pun sediakan tempat tidur untuk tidur. Dia tak ada bilik, dan semestinya tidak ada katil yang empuk untuk dijadikan tempat tidur. Selama berbelas-belas tahun dia tidur di atas selembar selimut nipis cap unta arab. Selimut tu saja lah yang setia menghulurkan jasa merelakan diri dihenyak-henyak oleh tubuh kecil molek milik Cinderella. Daripada baru dan cantik, menjadi buruk dan koyak rabak. Daripada warna maroon yang menggoda dan mengancam, bertukar menjadi pink bercampur kelabu. Usang dan penuh debu.

Malam tu, Cinderella tak boleh tidur sebab teringatkan putera Danny yang dia jumpa tadi. Bukan setakat berbual, malah putera siap mempelawanya menari lagi. Kalaulah ada gadis yang menyaksikan peristiwa tadi, tentu menangis tak berlagu mereka melihatnya. Tak pernah Cinderella berasa seronok begitu semenjak daddynya meninggal dunia. Cinderella berterusan membayangkan wajah putera Danny yang bersamanya tadi. Mungkinkah dia sehandsome Brad Pitt? Atau sehodoh Orix dalam cerita duyung? Begitulah yang bermain di kotak fikiran Cinderella sehinggalah dia tertidur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience