Bab 5

Humor Series 8271

“Uhuk!! Uhuk!!”

Pedih rasanya lubang hidung Cinderella apabila dia terasa seperti disimbah dengan air sejuk. Apabila dia membuka mata, kelihatan Mem Emey dan Mary sedang berdiri sambil mencekak pinggang dengan muka yang menakutkan. Lebih-lebih lagi apabila melihat lubang hidung Mary yang sebesar duit 50 sen itu. Bertambah gerun hati Cinderella. Entah apa pula kesalahannya pada hari itu hingga menyebabkan dia disimbah dengan air.

“Woi, perempuan!! Kau tak reti-reti nak bangun ke? Dah tak tahu nak buat kerja kau? Bangun la, bodoh!”, tengking Mary sambil menyepak-nyepak badan Cinderella yang kurus.

“Maaf, Cik Mary”, jawab Cinderella pendek. Cinderella sangkakan dia terlajak tidur, lalu dia membelek jam tangannya. Yang anehnya, jam baru menunjukkan pukul 6 pagi. Selalunya mak dan kakak tiri Cinderella akan bangun pada pukul 10 pagi.

“Sekarang kau bangun. Pergi sediakan sarapan aku dan mama. Sediakan baju dan air mandian kami. Cepat!”, jerit Mary menggegarkan gegendang telinga Cinderella.

“Tapi, kenapa Cik Mary suruh saya siapkan awal-awal pagi ni? Selalunya Cik Mary dan Mem Emey akan keluar pukul 12 tengahhari kan?”, tanya Cinderella lagi.

“Yang kau banyak tanya ni, kenapa? Aku suruh kau buat kerja tu, buat jelah.
Hari ni hari penting untuk orang-orang berada dan terhormat macam aku, tahu tak? Hurmm.. Lepas ni, tak payah lah aku susah-susahkan diri untuk tengok muka kau yang buruk tu. Aku akan duduk dalam istana yang mewah. Hidup aku akan ditemani oleh putera idaman aku, iaitu putera Danial. Hahahaha.”, gelak Mary sendiri.
Mary tersengih lebar hingga terlupa pula bahawa dia sedang memarahi Cinderella. Barulah Cinderella teringat yang malam itu ada majlis tari-menari. Sebab itulah mak tiri dan kakak tiri dia bangun awal.

Sebaik sahaja Mary pergi dari situ, Cinderella bingkas bangun dan pantas mengemas tempat tidur dia. Dia segera menyediakan air mandian untuk Mary dan Mem Emey. Cinderella sebenarnya cukup malas nak sediakan air mandian untuk Mary. Mana taknya, Mary dah la sado, jadi dah tentu-tentulah dia kena sediakan dua kali ganda banyaknya air tu berbanding Mem Emey ataupun dia sendiri.
“CINDERELLA!!!”

Kedengaran suara Mem Emey memanggil Cinderella dari atas. Cinderella segera memasukkan air yang diangkutnya dari perigi masuk ke dalam kolam. Dia bergegas berjalan ke arah bilik ibu tirinya. Belum sempat kakinya melangkah masuk, satu lagi teriakan halus kedengaran dari bilik hujung. Siapa lagi kalau bukan Mary.

“Cinderella! Mana kau pergi ha? Kau tak dengar ke aku panggil ni?!”, jerit Mary lagi.

Cinderella membatukan diri. Dia tidak menjawab panggilan Mary sebaliknya dia terus masuk ke dalam bilik Mem Emey memandangkan Mem Emey yang memanggilnya terlebih dahulu.

“Ya, ada apa Mem Emey?, tanya Cinderella yang sudahpun berdiri tegak di hadapan Mem Emey.

“Hei, kau tahu tak sekarang dah pukul berapa? Bila kau nak siapkan mandian aku? Kau ni memang lembab la”, marah Mem Emey yang sedang berkemban, bersedia untuk mandi.

“Maaf, Mem Emey. Saya dah siapkan mandian Mary di bawah. Nanti saya akan sediakan mandian untuk Mem pula.”, kata Cinderella perlahan sambil menundukkan mukanya.

“Kau tak siapkan lagi air mandian aku?! Kau ni memang tak guna lah. Kau tahu tak jam dah pukul berapa sekarang ni?! Kau tahu aku dan Mary ada event penting malam ni kan? Kau memang sengaja cari pasal lah.”

Cinderella mengerling ke arah jam tangannya. Kejam. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 6.05 minit pagi. Baru 5 minit masa berlalu semasa Cinderella dikejutkan tadi. Mana mungkin dia mampu melakukan semua kerja dengan cepat.
“CINDERELLA!!”

Tiba-tiba pintu bilik Mem Emey dihempas kuat. Kelihatan Mary sedang mencekak pinggangnya yang tiada bentuk, terpacak di hadapan pintu.

“Cinderella! Kau pekak ke apa? Tak dengar ke aku jerit-jerit panggil kau tadi?! Kau ni pekak ke bodoh?”, marah Mary sambil mengembangkan hidungnya. Jika dilihat dari sudut Cinderella berdiri, muka Mary saling tak tumpah seperti kerbau selepas berlari.

Mary kemudian berjalan menghentak-hentak ke arah mamanya.

“Mama. Tengoklah perempuan tu. Bucuk panggil dia tadi, dia buat tak tahu je mama. Dia melawan bucuk, mama.”, adu Mary sambil mencebikkan bibirnya.

“Hey! Kenapa kau tak dengar cakap Mary, ha? Kau dah berani melawan ye?! Kau memang nak kena la, Cinderella!!”, marah Mem Emey tiba-tiba.

“Maaf, Mem. Tadi Mem yang panggil saya ke sini. Jadi saya datanglah ke sini dulu. Lepas tu baru saya ke bilik cik Mary”, jawab Cinderella sambil tertunduk takut.

“Maaf! Maaf! Itu je lah yang kau tahu. Tak kira lah sape-sape yang panggil kau. Aku dan Mary, tuan rumah ni. Kau tu orang suruhan. Pandai-pandai lah kau ikut arahan aku dan anak aku. Hey, kau kena ingat. Kalau bukan sebab aku, kau dah jadi pengemis kat luar sana, kau tahu tak?!”, kata Mem Emey mula memalukan Cinderella. Cinderella pula hanya tertunduk sambil mengucapkan kata maaf berulang kali. Mary pula tersengih melebar melihat Cinderella yang tertunduk malu selepas di marahi mamanya.

“Yang kau berdiri tercegat kat sini, buat apa? Tak reti-reti nak siapkan kerja kau?!”

Merah-merah mata Mem Emey akibat terlampau geramkan Cinderella. Cinderella terus bergerak menuju ke atas katil Mem Emey dan mengambil sepersalinan pakaian untuk disterika. Mem Emey pula hanya menjeling dari tepi. Mary pula hanya menggelakkan Cinderella hinggakan berair-air biji matanya. Setelah dia puas menggelakkan Cinderella, barulah dia bergerak ke bilik mandi.

Berpeluh-peluh ketiak Cinderella menggosok pakaian kembang milik Mary dan Mem Emey. Tidak lama selepas itu, Mem Emey dan Mary pun bersiap-siap untuk ke luar. Entah ke mana, Cinderella pun tidak tahu. Tidak berani pula dia mahu bertanya, silap-silap haribulan makan pelempang muka Cinderella nanti.
“Cinderella, hari ni aku dan Mary akan pulang ke rumah awal. Aku nak kau sediakan minuman petang untuk kami sebelum kami ke istana. Bakal isteri putera mahkota perlulah sampai awal ke istana. Kau jangan lupa siapkan kerja rumah macam biasa.”, kata Mem Emey meninggalkan pesan sebelum dia melangkah keluar dari pintu rumah agam.

“Baiklah, Mem Emey”,jawabnya akur.

“Aku dan Mary nak buat persiapan untuk malam ni. Mary seorang je akan jadi gadis yang paling cantik pada malam ni, kan sayang?”, kata Mem Emey sambil mengusap-usap rambut anaknya yang kerinting seperti berus dawai. Mary tersenyum lebar mendengar kata-kata mamanya. Mem Emey dan Mary pun keluar dari rumah itu dengan bangganya dan meninggalkan Cinderella seorang diri seperti biasa.

Sedang Cinderella membuat kerja rumahnya, tiba-tiba dia teringatkan Danny. Pada waktu itu barulah dia terfikir bahawa mungkin Dannylah yang memberikannya kad istimewa semalam. Walaupun Cinderella sangat berharap bahawa dia dapat ke majlis tari-menari itu, tetapi dia sangat yakin bahawa ibu tirinya tidak akan membenarkannya ikut sama. Kad yang diterimanya mungkin ialah satu cara putera mengucapkan terima kasih kepadanya, tetapi malangnya kad jemputan itu telahpun dirampas oleh ibu tiri dan kakak tirinya. Mana mungkin Cinderella dapat ke sana tanpa surat jemputan dari istana.

Jam tangan Cinderella sudah menunjukkan pukul 3 petang. Akhirnya semua kerja yang patut dia lakukan pada hari itu telah disiapkannya dengan baik. Cinderella merebahkan kepalanya di sofa dan merehatkan pinggangnya yang berbunyi letupan kecil apabila diluruskan. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi kereta kuda masuk ke halaman rumah. Cinderella apa lagi. Dia segera bangun dan berpura-pura mengemop lantai walaupun lantai itu baru dimop 5 minit yang lepas.

Dari dalam, bunyi hilai tawa berbaur gedik Mem Emey dan Mary jelas dapat didengar oleh telinga kuali Cinderella. Entah apa yang mereka berdua bualkan, tidak pula dapat didengar olehnya.

Tidak lama selepas itu, pintu utama rumah agam dikuak perlahan. Kelihatan dua orang perempuan masuk ke dalam rumah agam itu, selamba seperti rumah itu mereka yang punya. Melihatkan dari gaya, saling tak tumpah seperti Mem Emey dan Mary. Tetapi, dari rupa, jauh sekali. Ternyata dua perempuan tadi jauh lebih cantik dari Mary dan Mem Emey. Cinderella hanya memerhatikan mereka dari jauh.

Apabila Cinderella memerhatikan mereka dengan lebih teliti, barulah Cinderella perasan yang Mary dan Mem Emey telah membuat treatment pada penampilan mereka. Mereka telah membuat dandanan rambut macam sarang tebuan. Tinggi. Masa masuk rumah kena tunduk sikit, takut-takut tersagat pintu. Anting-anting pula, jangan cakap. Siap ada berlian gantung-gantung lagi. Tambahan mereka buat make up kat luar. Daripada muka macam tembok berlumut, terus jadi ok.

Mem Emey pun tidak kurang hebatnya. Paling menonjol, dia punya rantai. Bukan main labuh. Kalau ada kanak-kanak yang nak main lompat tali, boleh pinjam dari Mem Emey. Emas pulak tu. Tapi, entah emas tulin ke, tiruan ke, seorang pun tak tahu melainkan Mem Emey sendiri dan juga tauke-tauke pajak gadai.
“Ha, Cinderella. Kau dah siapkan kerja-kerja yang aku suruh?”, tanya Mem Emey apabila melihat Cinderella tercegat berdiri memandang mereka berdua. Tetapi kali ni, nada suaranya diperlahankan. Cinderella juga berasa janggal kerana itulah kali pertama Mem Emey bercakap dengan nada perlahan kepadanya.

“Er.. Dah, Mem Emey. Saya dah siapkan semua yang Mem suruh.”, jawab Cinderella sedikit janggal.

“Baguslah. Cinderella, kau tengok aku dan Mary cantik tak?”, tanya Mem Emey sambil memegang puncak rambut sarang tebuannya dengan bangga. Mary juga tersengih sambil mengebil-ngebilkan matanya yang tertampal bulu mata palsu.

“Cantik, Mem. Macam puteri raja”, puji Cinderella. Mukanya memberikan senyuman walaupun perkataan itu tidak ikhlas keluar dari mulutnya.

“Hah. Mestilah cantik. Kau tengoklah Mary ni anak siapa. Menantu siapa. Bakal isteri siapa. Kan sayang?”

Mary tiba-tiba berubah menjadi seperti seorang yang sangat ayu. Dia hanya tersenyum dan memandang ke bawah. Tetapi lubang hidungnya tetap tidak berubah. Masih kembang kempis dengan laju apabila dipuji.

“Bagus sayang. Kamu ingat macammana mama ajar jika ada orang memuji dan mengucapkan tahniah pada kamu nanti. Kamu memang bagus, sayang. ”, puji Mem Emey lagi sambil memeluk anaknya. Cinderella pula hanya memerhatikan dari tepi gelagat dua beranak yang sedang mengagumi sesama sendiri itu.

Jam tepat menunjukkan pukul 6 petang. Mem Emey dan Mary sibuk bersiap-siap untuk menghadiri majlis yang ditunggu-tunggu. Masing-masing bersiap mengalahkan tuan puteri. Mem Emey yang telah siap lebih awal duduk menunggu Mary di ruang tamu. Pada masa yang sama, Cinderella sedang menghantar secawan kopi kepada Mem Emey.

“Mem Emey nak saya sediakan minuman untuk Mary jugak ke? Kalau nak, saya sediakan sekarang”, tanya Cinderella sambil meletakkan cawan kopi ke atas meja dengan cermat.

“Tak payahlah. Aku takut lambat pula nanti. Kat sana nanti, macam-macam makanan yang sedap disediakan. Tambahan, majlis ni sangat penting. Mary tak boleh makan banyak sangat. Hilang pula seri puteri nanti. Sekarang, kau pergi tolong Mary bersiap-siap”, arah Mem Emey sambil menghirup kopinya dengan tenang.

Cinderella hanya menurut arahan ibu tirinya tanpa banyak soal. Nasib baiklah Mem Emey yang suruh dia membantu Mary, jika tidak jangan haraplah dia mahu menjejakkan kaki ke dalam bilik puaka itu.
“Cik Mary, ada apa-apa yang boleh saya bantu?”, tanya Cinderella dengan lembut.

“Oh, kau Cinderella. Mesti lah. Nanti, kau bersihkan bilik aku yang berselerak ni. Tapi sebelum tu, kau tolong betulkan pin kat belakang baju aku ni. Macam nak tertanggal pula rasanya.”, arah Mary yang sedang duduk menghadap cermin di meja soleknya.

Cinderella hanya megikut arahan Mary. Belum sempat lagi dia memegang pin yang tersemat di baju Mary, entah mengapa Mary tiba-tiba menjerit kuat seperti ternampak hantu. Cinderella juga terkejut dengan kejutan yang Mary hadiahkan itu. Manalah tahu kalau-kalau saudara tirinya itu ada sawan babi atau sawan tenuk yang berjangkit. Cinderella melangkah beberapa tapak ke belakang, menjauhkan sedikit dirinya dengan Mary.

Mendengarkan anaknya menjerit kuat, Mem Emey apa lagi. Dia sepantas halilintar memecut naik ke tingkat atas.

“Mary?! Kenapa sayang?!”, tanya Mem Emey dengan muka yang sangat cemas.

“Mama!! Cinderella, ma!!”, adu Mary sambil menangis tak ada air mata.

“Kenapa? Kenapa dengan Cinderella? Apa yang dia dah buat pada sayang?!”

Cinderella terkejut dengan kata-kata Mary. Dia tidak faham dengan apa yang berlaku. Muka Cinderella berubah pucat walaupun dia yakin dia tidak membuat apa-apa kesalahan.

“Mama!! Cinderella kan.. Dia kan.. Cucuk pin baju kat badan bucuk. Dia sengaja nak balas dendam kat bucuk, ma. Sebab dia tak dapat ikut kita ke istana”, adu Mary sambil mengosok-gosok badannya yang konon dicucuk oleh Cinderella.

“CINDERELLA!! Kau ni kenapa?! Yang kau cuba nak cederakan anak aku kenapa?!”

“Bukan saya, Mem Emey. Saya tak cucuk pun pin tu kat badan Cik Mary. Tiba-tiba je Cik Mary menjerit, kata saya cucuk dia”, terang Cinderella cuba membela diri.

“Dah tu, kau nak kata anak aku ni menipu la ye?! Kau ni memang melampau, Cinderella!! Orang suruhan tak sedar diri! Dah lah kau cucuk Mary, dah tu kau kata anak aku menipu pulak?! Padahal kau memang dengki sebab dia dapat ke istana kan?!”, tengking Mem Emey lagi.

Tak semena-mena, tanpa sempat mengujakan hujah-hujah yang seterusnya, Cinderella telah disentap kuat oleh Mem Emey dan terus diseret ke bilik stor bawah tanah. Stor rahsia barangkali, kerana Cinderella tidak pernah melihat stor begitu sebelum ini. Kemudian tanpa belas kasihan, Cinderella terus dicampak ke dalam stor yang usang dan berhabuk itu. Mem Emey dengan kejamnya mengunci pintu itu dari luar. Mem Emey nampaknya benar-benar marah. Manakala Mary pula bukan main girang kerana dapat mengenakan Cinderella.

“Mem Emey! Maafkan saya! Ampunkan saya, Mem! Saya tak salah!! Tolong lepaskan saya, Mem! Tolong jangan kunci saya di sini!!”, rayu Cinderella kepada Mem Emey tidak henti-henti.

Malangnya, rayuan Cinderella tidak juga dihiraukan. Cinderella hanya dapat melihat ke luar melalui satu lubang kecil di pintu usang itu. Akhirnya Mem Emey dilihat berlalu begitu sahaja dari situ tanpa menghiraukan tangisan dan rayuan dari Cinderella. Paling menyakitkan hati, sambil menaiki anak tangga, Mary sempat mengejek Cinderella dengan menunjukkan sign ‘wekk-wekk’ dan ‘padan muka’ kepadanya.

“Maka, tinggallah Cinderella terkurung di dalam stor itu sendirian dalam keadaan yang menyedihkan. Dah lah penat buat kerja, lepas tu kena tuduh cederakan Mary pula. Paling teruk, dia terkurung di dalam stor yang menyeramkan dan sekaligus tidak dapat menghadiri majlis tari-menari yang ditunggu-tunggu oleh setiap gadis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience