Bab 6

Humor Series 8271

Nasib baiklah di dalam stor itu ada tingkap kecil yang membolehkan cahaya matahari masuk ke dalamnya. Kalau tidak, dah tentu-tentulah Cinderella akan melanggar barang-barang dalam bilik tu macam orang buta. Cinderella cuba mencari laluan keluar dari dalam bilik itu, malangnya dalam bilik sekecil itu, mustahil adanya laluan rahsia yang membolehkan Cinderella keluar dari bilik stor itu. Maka, bertambah lemahlah semangat Cinderella apabila melihatkan harapan untuk dia keluar dari bilik itu tiada.

Cinderella tidak menyangka bahawa mak tiri dia sanggup mencampakkan dia ke dalam stor di bawah tanah itu. Cinderella hanya duduk mengenangkan nasib dirinya yang sentiasa ditimpa malang. Sedang Cinderella termenung, dia terpandangkan satu kotak besi bersaiz sederhana yang berada di sebelah tempat dia duduk. Disebabkan rupa kotak tu yang agak pelik dan unik membuatkan hatinya tergerak untuk mengambilnya.

Cinderella menarik kotak besi yang terukir bunga-bungaan itu dan menghampirinya. Perlahan, dia membelek-belek kotak besi itu, Cinderella tertanya-tanya juga, milik siapakah kotak misteri itu. Dengan muka yang penuh tanda tanya, Cinderella cuba membuka kotak besi yang tidak berkunci itu.

Perlahan, kotak besi itu dibuka. Kelihatan ada sepucuk surat yang hampir reput terletak di dalam kotak itu. Di bawah surat itu pula, kelihatan sesuatu seperti kain. Tetapi kain apa, Cinderella sendiri tidak tahu. Maka, Cinderella dengan penuh perasaan ingin tahu mencapai surat itu dan membacanya perlahan. Pada surat itu tertulis...

Kepada isteriku, Cindy..
Babe ingat tak hari ni hari apa? Hari ni ialah hari yang paling bermakna dalam perhubungan kita. Hari ulangtahun perkahwinan kita yang ke-3. Dan dude sangat gembira bila babe beritahu yang babe disahkan mengandung. Dude rasa bersalah sangat sebab akhir-akhir ni dude sibuk bekerja di restoran. Sampaikan dude tak dapat temankan babe jumpa tabib dan tahu mengenai berita gembira ni sama-sama. Jadi, dude nak ajak babe keluar makan malam yang paling istimewa untuk kita berdua. Ops, bukan berdua, tapi bertiga. Dalam kotak tu, ada sepersalinan pakaian yang dude dah sediakan untuk babe. Pakaian tu dude sendiri yang reka dan tempah tau. Tak ada satu pun pakaian yang sama macam tu dalam dunia ni. Yang paling istimewa, di belakang lengan baju tu, ada tersulam nama kita. Babe, dakwat pen dude dah nak habislah. Dude tak dapat tulis panjang lagi. Malam esok, dude akan jemput di rumah dalam pukul 8 malam. Dude akan jadikan malam itu, malam yang paling bahagia untuk kita bertiga. Selamat ulang tahun perkahwinan kita, babe.

Daripada
Darel
p/s: Love you forever till i die

Cinderella tersenyum melebar apabila membaca surat yang ditulis oleh daddynya kepada mummynya. Bahagia hatinya membaca surat yang pendek itu. Dengan hanya membaca surat itu, dia dapat merasakan kasih sayang dan kebahagiaan daripada kedua ibu bapanya. Tidak semena-mena perasaan itu membuatkan Cinderella terasa ingin sekali berjumpa dengan mereka. Tapi malangnya, hanya semangat, cinta dan kasih sayang yang dapat dirasai oleh Cinderella dan membuatkan dia dapat menempuhi semua rintangan dan masalah di dunia ini sendirian.

Cinderella dengan perasaan teruja mengambil pula pakaian yang terlipat kemas di dalam kotak itu. Dia kemudiannya mengirai pakaian itu dan membeleknya. Terbeliak anak mata Cinderella apabila melihat gaun yang dipegangnya itu. Walaupun dalam keadaan samar-samar, Cinderella masih dapat melihatnya dengan baik.

Gaun itu berwarna biru cair bercampur merah jambu. Sulaman dan manik yang dijahit pada gaun itu menampakkannya sangat halus dan cantik. Ternyata, daddy Cinderella sangat hebat hingga boleh mereka pakaian yang cantik sebegitu.

Kemudian, tergerak pula hatinya untuk menyelak belakang lengan baju itu. Ternyata benar seperti yang tertulis dalam surat yang dibacanya tadi. Terdapat sulaman kecil yang tertulis ‘Darel & Cindy FOREVER’. Cinderella sekali lagi mengukir senyuman bahagia. Itu sahaja dah cukup membuktikan betapa suci dan tulusnya cinta mereka.

Di bawah baju itu pula ada sepasang kasut kaca yang sangat cantik dan padan dengan gaun itu. Cinderella cuba menyarung sebelah dari kasut itu. Dan kasut itu muat-muat sahaja dengan saiz kaki Cinderella. Di situ juga ada satu kotak kecil yang mempunyai bermacam-macam perhiasan di dalamnya seperti gelang, rantai dan sepit rambut.

Entah macam mana, apabila Cinderella terpandangkan sepit rambut itu, dia terfikirkan sesuatu yang agak bijak. Tiba-tiba dia teringat salah satu babak di dalam cerita yang pernah ditontonnya, di mana heroin cerita itu cuba melepaskan diri dari dalam bilik dengan menggunakan sepit rambut. Dengan penuh harapan, Cinderella cuba membuka pintu dengan sepit itu.

“Bismillah...”, sambil pejamkan mata, Cinderella menggodek lubang kunci.
‘TAP!!’

Satu bunyi halus kedengaran. Mendengar bunyi yang keluar dari lubang kunci itu, Cinderella membuka matanya. Dia bagaikan tidak percaya bahawa usahanya betul-betul berjaya. Pintu yang terkunci rapat tadi, akhirnya berjaya dibuka dengan hanya menggunakan penyepit rambut yang sudah lama. Mungkin ini berkat daripada menggunakan barangan milik arwah Mummynya.

Cinderella berlari keluar dari bilik stor bawah tanah itu sambil membawa kotak besi yang dijumpainya tadi. Dia berjalan menaiki anak-anak tangga dan akhirnya berjaya keluar dari bilik rahsia itu. Pantas Cinderella berjalan masuk ke dapur dan duduk di atas lantai sambil memikirkan apa yang patut dilakukannya.

Gerak hati Cinderella kuat menyuruhnya pergi ke majlis tari menari itu. Tetapi Cinderella seperti sudah menyangka apa yang bakal berlaku sekiranya kakak tiri dan ibu tirinya tahu dia ke sana. Cinderella mula menjadi takut. Tak pasal-pasal dia menempah tiket untuk mendapat deraan yang lebih teruk daripada yang pernah dia dapat sebelum ini.

Fikir punya fikir, akhirnya Cinderella membuat keputusan untuk pergi juga ke majlis tari-menari tu. Tapi, dia bernekad untuk balik awal sebelum majlis itu berakhir dan akan sentiasa menjauhkan diri dari orang-orang bangsawan lain untuk mengelak daripada bertembung dengan mak tiri dan kakak tirinya.

Cinderella kemudian segera bersiap-siap. Al-maklumlah, pertama kali keluar ke majlis kerabat Di raja, kenalah bersiap dan berpakaian macam orang berada sikit. Kalau pakai pakaian macam orang gaji yang koyak rabak, tak pasal-pasal kena halau pula nanti.

Selepas Cinderella mandi, dia terus memakai pakaian milik Mummynya yang tersimpan di dalam kotak besi. Gaun yang dipakainya amat padan sekali dengan tubuhnya yang kecil molek dan berkulit cerah itu. Cinderella sendiri tidak menyangka bahawa dia berpeluang untuk memakai pakaian cantik sebegitu. Kemudian, dia memakai pula semua barang-barang perhiasan yang tersimpan di dalam kotak untuk melengkapkan dandanannya. Juga tidak ketinggalan, jam Power Rangersnya yang setia menemaninya sejak kecil lagi. Akhir sekali, dia menyarungkan sepasang kasut kaca yang berwarna putih jernih itu ke kakinya yang kecil.

Tetapi kegembiraan Cinderella terganggu apabila hidungnya dapat menangkap semacam bau hapak dari pakaian lama itu. Tanpa berlengah, Cinderella mencuri masuk ke dalam bilik Mem Emey dan tanpa rasa bersalah dia terus menyembur minyak wangi berjenama mahal itu secukup rasa ke seluruh pakaiannya. Maklumlah, jika nak dibandingkan harga minyak wangi Mem Emey dan Mary, sudah tentulah minyak wangi Mem Emey jauh lebih mahal dan berkualiti tinggi.

Setelah siap, Cinderella segera bertolak ke istana. Niat Cinderella ke sana bukanlah mahu menambat hati putera mahkota seperti gadis-gadis lain. Dia hanya mahu merasai majlis keramaian yang dihadiri oleh semua gadis. Tambahan, dia mahu melihat apakah yang berlaku kepada putera Danial yang sebelum ini pernah mengadu tentang upacara majlis itu kepadanya.

Cinderella melangkah keluar dari rumahnya. Melihatkan jam sudah menujukkan hampir pukul 8 malam, Cinderella dengan pantas berlari memotong angin, takut-takut kalau dia terlambat ke majlis tu. Walaupun jalan yang dilalui Cinderella agak gelap, tambah-tambah tengah hutan, Cinderella tetap bersabar dan menguatkan semangat untuk terus berlari-lari anak.

Sedang dia fokus berlari, tiba-tiba Cinderella terpandangkan sebuah basikal beroda tiga tersandar pada sebatang pokok berdekatan dengan rumah tok ketua. Cinderella pun tak tahu milik siapakah basikal tu. Mungkin milik cucu ketua kampung agaknya.

Memikirkan yang dia akan lambat ke majlis Di raja tu, tanpa berfikir panjang Cinderella tanpa segan silu terus menunggang basikal beroda tiga itu. Dia berniat untuk memulangkannya kembali selepas majlis Di raja itu selesai.

Cinderella pun terkial-kial mengayuh basikal beroda tiga itu. Bayangkan sajalah. Cinderella ni dah besar panjang. Naik pula basikal roda tiga milik budak dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Dah tu, pakai pula baju kembang. Bayangkanlah betapa hodohnya rupa dia jika dilihat dari jauh. Nasib baiklah tiada orang lain yang lalu lalang pada waktu itu.

Kayuh punya kayuh, akhirnya sampai juga Cinderella di hadapan pintu masuk istana raja. Cinderella pun mem’parking’kan kenderaan yang dijumpainya tadi di sebelah pokok besar yang terletak berdekatan dengan istana. Kalau letak di depan istana nanti, malulah dia. Mana ada orang datang istana guna basikal. Semuanya guna kereta kuda.

Maka, selepas park basikal tu, Cinderella pun bergerak menuju ke pintu masuk istana yang besar gedabak. Di pintu masuk tu, ada 4 orang pengawal istana. Dari luar istana, para tetamu sudah tidak kelihatan. Mungkin masa tu majlis telahpun bermula. Cinderella takut juga kalau-kalau dia kena halau sebab dia datang tanpa membawa kad undangan.

Cinderella berjalan ke hadapan dan mula bertanya kepada pengawal istana.

“Maafkan saya. Boleh saya masuk ke dalam?”, tanya Cinderella dengan penuh sopan kepada pengawal di hadapannya.

“Oh. Boleh tunjukkan saya kad jemputan Di raja?”, tanya pengawal yang handsome dan berkumis itu pula.

“Saya telah dijemput ke sini, tetapi saya tidak membawa kad jemputan bersama”, jawab Cinderella sedikit gugup.

“Kalau macam tu, cik ada bawa kad pengenalan diri? Kerana majlis ni khas untuk setiap gadis yang menetap di negeri ini saja. Gadis dari negeri lain tidak dibenarkan masuk”

Cinderella tidak pernah mempunyai kad pengenalan diri kerana ibu tirinya tidak pernah pula memberikannya kad itu. Kad pengenalan juga tidak pernah didengarinya.

Cinderella tidak menjawab, sebaliknya dia hanya mengelengkan kepalanya.

Tidak lama kemudian, ketua askar datang untuk berjumpa dengan pengawal yang menjaga di pintu utama. Dia terpandangkan Cinderella yang sedang berdiri di pintu.

“Cik, sila masuk ke dalam. Majlis hampir bermula”, panggil ketua askar yang seperti pernah dilihat Cinderella sebelum ini. Ya, askar yang mempunyai misai lentik yang datang menjemputnya beberapa hari lepas.

“Maaf, tuan. Gadis ini tidak mempunyai kad jemputan mahupun kad pengenalan diri. Jadi, kita tak boleh benarkannya masuk, tuan”, kata pengawal dengan tegas.

“Aku pernah menjemput dia sebelum ini. Kalau tidak silap saya, awaklah orang suruhan kepada balu yang duduk di hujung kampung ni kan?”, tanya ketua askar misai lentik kembali.

“Ya, saya tak sangka tuan masih mengingati saya”, jawab Cinderella sambil tersenyum.

“Pengawal 0198, saya pernah menjemput gadis ini sebelum ini. Dia boleh menyertai majlis di dalam”, kata ketua askar kepada pengawal.

Ketua pengawal itu kemudiannya mengajak Cinderella masuk ke dalam istana. Dia kemudiannya membawa Cinderella masuk ke tempat adanya majlis tari-menari itu. Teruja juga la Cinderella melihat segala isi yang ada di dalam istana tu. Terang benderang semuanya. Berkilau-kilau mata memandangnya. Segalanya mewah dan cantik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience