Bab 2

Humor Series 8271

CERITA DI SEBALIK RUMAH AGAM

Peristiwa ini berlaku 18 tahun yang lepas iaitu semasa mummy dan daddy Cinderella masih lagi hidup di dunia. Peristiwa ini berlaku semasa mummy Cinderella sedang mengandungkan Cinderella. Suatu hari, mummy Cinderella ni pergi la mesin rumput di halaman rumah agam diorang tu. Mummy Cinderella ni memang rajin buat kerja walaupun mengandungkan Cinderella masa tu. Sambil-sambil memesin rumput, mummy Cinderella ni menyanyi la untuk menghiburkan diri sendiri.
“Rumput oh rumput, kenapa kau panjang sangat? Macammana aku tak panjang, kerbau tak makan aku. Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput? Macammana aku tak makan, bukan vegetarian..bukan vegetarian. Haha”
Pada masa yang sama, daddy Cinderella tengah sediakan makan tengahari kat dapur. Daddy Cinderella ni suka sangat memasak. Sebabnya, dahulu daddy Cinderella ni pernah jadi tukang masak restoran terkemuka, restoran mewah.

Nak dijadikan cerita, waktu tu daddy Cinderella sedang sibuk mengacau kepala ikan sembilang masak sup. Makulumlah, mummy Cinderella yang sarat mengandung tu tiba-tiba mengidam nak makan sup kepala ikan. Malangnya semua jenis ikan yang sesuai untuk di masak sup telah habis di jual. Jadi terpaksalah masak juga sup dengan menggunakan kepala ikan sembilang.

Sedang dia khusyuk mengacau lauk, tiba-tiba dia terdengar suara orang menjerit. Terpacak telinga daddy Cinderella apabila mendengar suara perempuan menjerit itu. Meremang jugak bulu tengkuk dia. Tapi, dia buat bodoh je, sebab dia ingat kata orang tua-tua kalau terjumpa atau terdengar benda-benda pelik lagi mistik ni,buat bodoh je. Buat-buat tak dengar.

Maka, daddy Cinderella ni buat bodoh je la sambil mengacau sup yang sedang menggelegak dalam periuk tanah. Siap bersiul lagi untuk mengurangkan ketakutan yang melanda di hati.

Tak lama selepas tu, terdengar lagi suara menjerit. Bahkan kali ni lebih kuat lagi. Kedengaran suara sayup-sayup memanggil. “Darel!! Tolong!!”

Terbeliak mata daddy Cinderella mendengar jeritan perempuan yang sebijik macam suara isterinya. Sangkaan daddy Cinderella, mungkin ada hantu yang telah mengganggu isterinya. Maka, dia pun datang dengan membawa sebilah parang panjang dengan gaya sedia untuk menetak seseorang.

Sebaik sahaja daddy Cinderella keluar dari pintu utama, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati isterinya sudahpun terbaring lesu dan di badannya berlumuran darah hijau, lebih kurang macam lagenda mahsuri. Cuma warnanya saja yang berlainan sedikit. Maka, si suami terus menerpa ke arah isteri kesayangannya itu.

“Oh, Cindy!! My Love!! Macammana boleh jadi macam ni??!”

Daddy Cinderella melihat wajah isteri kesayangannya dan melihat perut isterinya berlumuran darah. Kelihatan sebilah pisau mesin rumput tercacak pada perut mummy Cinderella. Herot-herot mulut mummy Cinderella nak berbisik kat telinga suaminya.

“Ssselamatkkan Cinderella. Ssssaaatu-ssatunya aaanak yy-yyang kita ada.”, kemudian mummy Cinderella pengsan tidak sedarkan diri...

Maka, daddy Cinderella pun pantas mengeluarkan kereta yang berada di belakang rumah. Walaupun mereka ada rumah besar, tetapi malangnya mereka hanya mempunyai sebuah kereta sorong yang sering digunakan ketika bertani. Maka, si suami pun mengangkat isterinya yang berbadan dua masuk ke dalam kereta sorong yang masih ada bekas-bekas tanah merah. Mujurlah mummy Cinderella mempunyai badan yang bersaiz kecil dan ringan walaupun berbadan dua. Maka, lebih mudahlah daddy Cinderella menyorong penumpangnya dengan lebih laju dan membuat sedikit drift yang sangat bahaya semasa memalui selekoh tajam.

Selepas beberapa lama, sampai jugalah daddy Cinderella menghantar isterinya ke rumah seorang perempuan tua aka. tabib kecil, iaitu tabib yang paling dekat dengan rumah mereka. Apabila tabib kecil melihat kedatangan dua pasangan yang datang dengan kenderaan antik itu, tabib kecil dengan pantas menutup pintu rumahnya. Mujurlah daddy Cinderella telah mengetahui ketamakan tabib kecil dan membawa sebungkus wang emas. Dia kemudian menggoncang bungkusan wang emas itu dan terdengarlah bunyi kocakan wang emas. Dengan sepantas kilat, tabib kecil membuka pintu rumahnya sambil tersenyum lebar dan menjemput dua pasangan itu masuk ke rumahnya.

Selepas memberitahu keadaan mummy Cinderella pada tabib kecil, maka tabib kecil bersetuju untuk menyambut bayi yang bakal lahir dengan menggunakan proses T&J iaitu toreh dan jahit, tetapi tabib kecil memberitahu bahawa keadaan pada waktu itu sangat bahaya dan akan menjejaskan samada keadaan bayi atau ibunya.

Selepas sejam melakukan proses pembedahan mengeluarkan pisau mesin rumput dan mengeluarkan bayi yang berada di dalam perut Cindy, maka si tabib berjalan keluar sambil mengendong seorang bayi di tangannya. Wajah daddy Cinderella berseri-seri memandang bayi perempuannya itu. Daddy Cinderella lantas menyambutnya dari tangan tabib dan masuk ke dalam bilik melihat keadaan isterinya.

Mummy Cinderella meminta supaya Cinderella diletakkan di sebelahnya. Selepas mengucup ubun-ubun bayinya, tiba-tiba mummy Cinderella bernafas tersekat-sekat. Suaminya, Darel terus mendapatkannya dan memegang erat tangannya. Dia kemudian dengan pantas menekan butang ‘call’ yang berada di belakang kepala katil untuk memanggil tabib kecil.

“Kenapa Cindy?”, tanya daddy Cinderella dengan nada yang cemas.

“Maa-sanya... dah-ti-ba..”, kata mummy Cinderella dengan nafas yang terbantut-bantut.

“Kenapa ni? Cindy? Cindy?”

“Ttolong jaa- ga Cin- de- re- la bbaik-baik. Ccari-kan dddia sseo- rrang iibu.”, terbantut-bantut percakapan mummy Cinderella. Sebaik sahaja dia selesai mengungkapkan ayat itu, mummy Cinderella kelihatan sangat siksa untuk mengambil nafasnya dan...

“CINDY!!!!!!!”

Satu jeritan yang kuat kedengaran bergema di dalam bilik tabib kecil dan menyebabkan tabib kecil terkejut ala-ala beruk mendengar jeritan kuat yang datangnya tidak salah lagi iaitu dari dalam rumahnya. Tabib kecil berjalan pantas menuju ke dalam bilik. daddy Cinderella dengan cemas menarik tangan tabib kecil dan menyuruhnya memeriksa keadaan isteri kesayangannya. Tabib kecil kemudian memeriksa nadi di pergelangan tangan mummy Cinderella beberapa kali dan keputusannya, tiada denyutan nadi dapat dikesan.

Dengan itu, maka tabib kecil mengisytiharkan perginya Cindy, iaitu isteri kepada Darel dan merangkap ibu kepada bayi kecil yang bernama Cinderella. Dia menghampiri daddy Cinderella dan mengucapkan takziah atas pemergian isterinya.

Walaupun sudah enam bulan pemergian Cindy, ternyata daddy Cinderella masih tidak boleh melupakan isteri kesayangannya. Fizikal daddy Cinderella juga sudah tidak terurus dan tidak sehandsome dulu. Riak mukanya kelihatan sedih dan lesu, dia sering termenung di jendela mengenangkan pemergian isterinya. Malahan jambang di mukanya tidak dicukur. Lebih mengerikan, rambutnya juga tidak bershampu dan berkutu.

Tetapi dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk menjaga Cinderella. Cinderella dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh. Cinderella dijaga hinggakan seekor nyamuk pun tidak berjaya menggigitnya apatahlagi serangga lain.

Suatu hari, daddy Cinderella bermimpi bahawa isterinya muncul dan menyuruhnya segera berkahwin dan mencari ibu untuk anaknya, Cinderella. Maka, setelah berfikir panjang tentang perkara itu, daddy Cinderella bersetuju dan mula mencari calon yang sesuai untuk menjadi isteri keduanya. Daddy Cinderella mula memperkemaskan dirinya. Jambangnya dicukur kemas, dan dia pergi ke salon berdekatan untuk menutup penternakan kutu di kepalanya.

Daddy Cinderella kemudian memulakan pencariannya. Walaupun semua telah mengetahui tentang status daddy Cinderella yang sudah enam bulan menjadi duda, namun masih begitu ramai anak dara yang mahu menjadi calon isterinya kerana paras rupa yang dimilikinya sangatlah kacak dan bodynya yang berketak-ketak seperti hero hollywood.

Disebabkan daddy Cinderella mahukan isteri yang menepati ciri-ciri yang dimahukannya, dia mengadakan sesi temuduga dan kesemua yang menghadiri temuduga itu sangat cantik dan pandai membuat kerja rumah. Namun, daddy Cinderella berpendapat tiada wanita lain yang dapat mengalahkan kecantikan dalaman isterinya, Cindy. Setelah dipertimbangkan, maka daddy Cinderella nekad memilih anak nenek kebayan di sebelah kampung untuk dijadikan isterinya disebabkan dia mempunyai kelebihan yang orang lain tidak ada, iaitu mampu menjaga anak.

Anak nenek kebayan itu merupakan seorang janda yang mempunyai seorang anak perempuan. Suaminya juga sudah meninggal dunia. Disebabkan itu, daddy Cinderella berpendapat bahawa dia mempunyai pengalaman untuk menjaga anak. Kebetulan anaknya hanya setahun tua daripada Cinderella maka bolehlah Cinderella bermain-main dengan saudara tirinya nanti. Perempuan yang menjadi pilihan daddy Cinderella itu bernama Emey. Tetapi nama sebenarnya ialah Kemetom. Disebabkan dia tak suka dan malu dengan nama sebenarnya itu, dia menyuruh orang kampung memanggilnya Emey.

Setelah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, maka kedua-dua janda dan duda itu pun selamat disatukan. Mereka hanya mengadakan kenduri kecil kerana daddy Cinderella mahu menghormati pemergian isterinya yang terkorban sewaktu melahirkan Cinderella enam bulan yang lalu. Di majlis itu, tidak ramai tetamu yang hadir. Majoriti yang hadir ialah kaum lelaki. Kebanyakan kaum perempuan yang bujang tidak hadir kerana tidak berpuas hati dengan pilihan daddy Cinderella yang merupakan seorang janda kerepot tak sedar diri.

Dipendekkan cerita, selama 5 tahun, Emey aka kemetom hidup bersama daddy Cinderella dia tidak pernah mengingkari apa-apa arahan daddy Cinderella. Sebenarnya Kemetom sangat benci pada Cinderella, tetapi dia tidak pernah sekalipun menunjukkan sifat sebenar di depan suaminya. Cinderella juga tidak pernah mengadu domba pada daddynya sekiranya ibu tirinya berbuat sesuatu kepadanya. Selalunya, apabila daddy Cinderella keluar outstation, Kemetom akan menyuruhnya melakukan pekerjaan berat yang tidak sesuai dengan usia kecilnya itu. Kemetom hanya berlakon baik dengan Cinderella di hadapan daddy Cinderella.

Satu pagi tu, Cinderella mendapat satu bungkusan daripada daddynya pada ulangtahun hari lahirnya yang ke-7. Bungkusan itu diletakkan di atas katil Cinderella. Cinderella sangat gembira pada waktu itu dan membuka bungkusan itu dengan rakusnya. Apabila bungkusan itu dibuka, ternyata isinya adalah sebuah buku Doraemon keluaran terbaru pada waktu itu. Cinderella sangat gembira dengan hadiah yang baru diterimanya, lantas berlari mencari Daddynya yang selalu berada di bilik bacaan. Cinderella hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada daddynya.

Sebaik sahaja dia keluar dari biliknya, pada masa yang sama ibu tirinya sedang bersarapan di meja makan. Apabila dia ternampakkan Cinderella, ibu tirinya memanggil Cinderella supaya datang kepadanya. Cinderella bertanyakan ibunya tentang daddynya. Ibunya berkata sambil tersenyum sinis bahawa daddynya outstation selama seminggu. Cinderella terkedu mendengar jawapan dari ibu tirinya. Dia terus berlari masuk ke dalam biliknya dan mengunci pintu. Cinderella amat takut apabila berhadapan dengan keadaan itu, tentu ibu tirinya akan menyiksanya lagi.

Bagi Emey, dia akan berasa lebih selesa kalau Cinderella tak wujud. Sebabnya, suami dia selalu lebihkan Cinderella berbanding dia dan anaknya. Nak ikutkan hati dia, nak saja dia menghantar Cinderella ke rumah anak yatim ataupun jual je kat mana-mana keluarga yang tak ada anak. Bolehlah dia dan anak dia bermaharajalela di dalam rumah tu. Tapi, kalau dia buat macam tu, bila suami dia balik dari outstation, apa alasan yang dia nak bagi. Sebab tu lah dia melepaskan geram pada Cinderella dengan menyuruh Cinderella membuat kerja-kerja berat walaupun Cinderella kecik lagi masa tu. Dia juga pernah membelasah, menerajang, dan siap menggunakan teknik flying kick lagi kat budak tu kalau dia tak puas hati.

Pada suatu petang, ketika itu hari hujan. Cinderella tengah menconteng gambar doraemon di dinding bilik tidur dia. Tetiba mak tiri dia panggil suruh turun ke ruang tamu. Cinderella hanya menurut arahan ibu tirinya dan apabila dia turun, Cinderella terkejut apabila melihat ibu tiri dan kakak tiri dia sedang menangis teresak-esak. Lepas tu, mak tiri dia cakap yang daddy dia dah pun meninggal dunia sebab kena panahan petir. Masa tu hujan lebat dan petir sabung menyabung di dada langit, daddy Cinderella guna handphone touch screen untuk mesej mak tiri Cinderella, entah macammana tiba-tiba petir menyambar handphone tu sebaik sahaja dia menekan butang ‘send’. Siasatan polis mengatakan sebab berlakunya kemalangan yang tidak diduga itu kerana handphone yang digunakan daddy Cinderella merupakan handphone tiruan yang dijual di pasar malam.

Cinderella yang mendengar berita tu, terus terduduk kat atas lantai sebab tak percaya dengan apa yang didengarinya. Dia menangis teresak-esak dan berlari masuk ke bilik dia. Dia pantas mencapai buku Doraemon yang baru dibelikan oleh daddynya dan terus menangis. Dia kemudian mencapai satu bungkusan yang dibalut kemas dengan surat khabar. Cinderella membuka bungkusan itu perlahan-perlahan. Rupa-rupanya dalam bungkusan tu terdapat sebilah pisau potong rumput. daddy Cinderella yang menyuruh dia menyimpannya dengan baik supaya Cinderella sentiasa mengingati mummynya yang meninggal dunia sewaktu memesin rumput dan pada masa yang samalah dia dilahirkan.

Apabila Cinderella mengenangkan kisah mummy dan daddynya, bercucuranlah air matanya mengalir seperti air paip. Tambahan, dia baru sahaja mengetahui statusnya sebagai seorang yatim piatu.

Seminggu selepas kematian daddy Cinderella, rumah mereka didatangi oleh seorang lelaki yang dipercayai seorang penyampai wasiat kepada daddy Cinderella. Maka, Kemetom dan anaknya tersangatlah teruja dengan kedatangan penyimpan wasiat itu dengan harapan mereka akan mendengar sesuatu yang baik. Mem Emey dan anaknya berpura-pura masih bersedih di atas kematian Darel di hadapan penyampai wasiat, tetapi jauh di dalam hati mereka sangat teruja ingin mendengar apa yang bakal mereka peroleh dari kekayaan Darel.

Penyampai wasiat itu mula membentangkan wasiat yang telah ditinggalkan oleh Darel. Mem Emey mendengarnya dengan tekun sekali. Harta yang ditinggalkan oleh Darel termasuklah rumah agam yang mereka duduki, sebuah kebun sayuran yang selalunya diusahakan oleh mummy Cinderella, dan juga sebuah ladang epal yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Tetapi ternyata mereka semua terkejut mendengar daddy Cinderella mempunyai sebuah ladang epal yang luas kerana mereka semua tidak pernah mengetahui tentang kewujudan ladang itu. Menurut kata penyampai wasiat itu, Darel mendapat keuntungan yang sangat besar setiap tahun hasil daripada tanaman epal tersebut.
Di wasiat itu tertulis bahawa Darel akan menyerahkan rumah agam kepada isterinya iaitu Kemetom dengan syarat dia menjaga anak-anaknya iaitu Cinderella dan Mary sehingga mereka berumur 18 tahun. Mary pula akan mendapat tanah kebun yang luas. Kepada Cinderella pula, daddynya telah mewasiatkan dia memiliki ladang epal kerana itulah ladang yang telah diusahakan oleh mummynya sendiri ketika hayatnya masih ada. Dan ladang epal itulah yang mempunyai hasil yang paling besar setiap tahun. Kemudian sekiranya mereka sudah berumur 18 tahun, mereka layak mendapat bahagian masing-masing melainkan seseorang itu sendiri menurunkan tandatangan bahawa dia tidak mahu mengambil harta tersebut.

Setelah ibu tiri Cinderella mengetahui perihal tentang wasiat itu, maka suka benarlah hatinya. Di dalam fikirannya telah membayangkan bermacam-macam perkara yang akan dilakukan dengan harta yang ditinggalkan. Dia sudah berfikir mahu menjual ladang kebun dan ladang epal yang ditinggalkan arwah suaminya. Dan apabila Cinderella berumur 18 tahun, dia akan memaksa Cinderella untuk menurunkan tandatangan supaya menukar hak ladang epal itu kepadanya.

Begitulah cerita yang berlaku pada sedekad yang lepas. Walaupun sudah sepuluh tahun berlalu, tetapi nasib Cinderella tidak juga pernah berubah. Ibu tirinya masih melayaninya seperti kucing kurap yang terbiar. Duit hasil dari ladang kebun dan ladang epal juga tidak pernah diberikan walau sesen kepadanya. Tetapi Cinderella tidak pernah merungut. Dia tahu, dia tidak akan dapat apa-apa daripada ibu tirinya. Walaupun ladang epal itu telah diwasiatkan untuknya.

Bukan setakat itu sahaja, sewaktu ibu tiri dan kakak tiri Cinderella keluar dari rumah, Cinderella terpaksa melakukan semua kerja rumah yang sepatutnya dilakukan oleh orang gaji seperti memasak, membasuh baju, mencuci pinggan, mengemas rumah dan juga membasuh ruangan jamban. Nasib baiklah kerja-kerja pencacaian najis dilakukan oleh Indah Water, kalau tidak tentu kerja tu pun terpaksa dilakukan oleh Cinderella.

Petang itu, Cinderella sibuk mengemop lantai. Ibu dan kakak tirinya belum lagi pulang ke rumah. Mungkin terlalu banyak perkara yang dibincangkan dengan permaisuri dan raja.

“Hai, lambat pulak si gedik dan mak dia tu balik. Entah apa yang dibincangkan dengan raja dan permaisuri agaknya. Jangan-jangan nak bincangkan pertunangan aku dengan putera raja tak? Haha, perasan pulak aku ni”.

Begitulah saban hari kerjanya Si Cinderella ni. Demi menghilangkan kebosanan yang melanda di hati, dia sering bercakap sorang-sorang. Lepas tu ketawa sendiri macam orang gila atas lawak yang dia reka sendiri. Maklumlah, siapa lagi nak diajak berbual melainkan perasaan dia sendiri.

Sambil dia mengemop, dia sering mendendangkan lagu yang dia gemari. Suara Cinderella ni pulak bukan calang-calang. Penyanyi profesional pun boleh kalah. Nasib baiklah dia kena kurung dalam rumah agam tu, kalau tidak menangis guling-guling penyanyi lain sebab tak dapat cari makan.

“Kota-kota miina. Te-kitalla miina. Kan-dayu-me kwan-dayu-me-i pa-i-a-lu-ke-do”

Tetengah dia feel nyanyi lagi tu, tiba-tiba dia terdengar bunyi yang dia benci nak dengar. Suara kakak tiri dia bercakap dengan mak tiri dia. Suara kalau sedap, tak pe lah juga. Ni tidak. Suara dahlah sengau, nyaring pula tu. Menakutkan betul. Bukan main riang lagi suara si gedik tu dengan mama dia. Siap gelak mengilai-ngilai lagi.

Sebaik sahaja mak dan kakak tiri dia masuk ke rumah, mereka terus duduk di ruang tamu dengan gaya ala-ala perempuan kaya.

“Cinderella, bawakan kami air. Kopi tak nak panas sangat, tak nak sejuk, suam pun tak nak. Kurang kopi dan lebih gula. Cepat sikit”, kata Mem Emey yang sedang duduk bersilang kaki sambil menghisap cerutnya yang besar seperti serombong kapal.

Cinderella pun terus ambil mop dan baldi bawa ke dapur. Dia pun bancuh la air yang mak tiri dia suruh tadi. Macam biasa, mak tiri dia memang cerewet. Tak nak panaslah, tak nak sejuklah, itu lah, ini lah. Memang sentiasa menyusahkan. Tetapi Cinderella sudah tahu bagaimana untuk membancuh ‘minuman cerewet’ mereka. Hanya perlu masukkan secubit kopi dan dua sudu gula. Kemudian campur dengan air yang dimasak beberapa jam yang lepas. Kadang kala, Cinderella hanya membancuh menggunakan air paip sahaja.

Selepas Cinderella siapkan minuman tu, dia pun bawa lah air tu ke ruang tamu. Hilai tawa mak dan kakak tiri dia terhenti sebaik sahaja ternampak Cinderella yang datang sambil membawa dulang berisikan dua cawan air kopi. Cinderella perlahan letakkan cawan-cawan tu atas meja. Lepastu, dia duduk sekejap di atas lantai. Mem Emey pun mengangkat perlahan-lahan cawan dan piringnya sekali. Tiba-tiba, Cinderella membuka mulut dan bersuara.

“Mem Emey? Err.. Mem, ada beli tak berus jamban yang saya beritahu semalam?”
Mem Emey yang sedang menghirup kopi kapal api feveretnya itu tersedak dan tersembur keluar kopinya.

“Kau ni Cinderella! Aku tengah minum ni, kau cerita pasal jamban pulak!”. Merah-merah mata Mem Emey menahan kopi yang termasuk ke dalam hidungnya.`

“Bukan apa, ni kan penting. Kalau kotor, mem juga yang bising”, jawab Cinderella.

“Aku dah beli la. Kalau aku tak beli, kau cuci la pakai tangan kau je kasi bersih. Kan kau je yang tahu buat benda-benda yang kotor dan busuk macam tu. Kau pun busuk, macam kambing”

Mary si tergelak besar melihat mama dia memarahi Cinderella. Cinderella pun agak bengang dengan jawapan mak tiri dia. Jadi, tak berhajatlah Cinderella nak duduk lama-lama lagi di situ. Jadi, dia pun memblahkan diri dia. Malas nak bertekak dengan orang tua nyanyuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience