Bab 4

Humor Series 8271

Esoknya, awal-awal pagi lagi Mem Emey dan Mary sudahpun keluar rumah. Mak tirinya berpesan kepada Cinderella supaya menyiapkan semua kerja rumah seperti biasa dan mereka memberitahu bahawa akan pulang ke rumah lambat sedikit kerana mahu berjumpa dengan raja dan permaisuri.

Cinderella yang memang amat suka apabila mereka berdua tiada di rumah, berjalan melenggang-lenggok ke dapur. Cinderella membuka almari di dapur, mengambil coklat dan keropok kesukaan Mary dan memakan kesemuanya. Dia juga turut menghabiskan yogurt rendah lemak Mem Emey yang disimpan baik di dalam peti sejuk. Seperti selalunya, apabila mereka bertanyakan makanan yang hilang, Cinderella akan menjawab tarikh luput makanan telah tamat. Tetapi melihatkan keadaan mereka yang sibuk seminggu dua ni, Cinderella tidak perlu risau kerana mereka tidak akan mengendahkan perkara sekecil itu. Cinderella juga menghabiskan masanya petang itu dengan menonton dvd korea di bilik Mary.

Masa dirasakan bergerak pantas semasa ibu dan kakak tiri dia tiada di rumah sehinggakan Cinderella tidak perasan yang jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Apa lagi, Cinderella seperti lipas kudung cuba menyiapkan kerjanya yang tertangguh. Sisa-sisa makanan dan plastik yogurt yang bersepah di lantai segera dikutip dan di buang ke belakang rumah.

Jam menunjukkan pukul 5 petang. Cinderella telahpun memecahkan rekod peribadinya dengan menyiapkan kerja rumah dalam masa setengah jam sahaja. Dia dengan pantas menyediakan makanan dan minuman yang biasa dibuat pada waktu itu. Selalunya apabila Mem Emey dan Mary balik, mereka akan makan makanan yang disediakan oleh Cinderella. Sementara menunggu kedatangan mereka, Cinderella duduk melepak di dapur sambil membaca buku Doraemon yang entah berapa ribu kali telah dibacanya.

Jam sudah hampir menunjukkan pukul 6 petang. Cinderella agak pelik juga sebab waktu tu mak dan kakak tiri dia belum balik lagi. Sebelum ni, tak pernah pula mereka balik lambat. Cinderella setia menunggu di hadapan pintu rumah agam yang besar itu.

Sedang dia menunggu, tiba-tiba Cinderella terdengar sesuatu yang aneh. Bunyinya sayup-sayup kedengaran. Kadangkala bunyinya kedengaran ganas. Seperti bunyi orang nak pecah rumah. Cinderella terus mengunci pintu dan bersembunyi di bawah meja. Mulutnya dikunci dan telinganya ditajamkan bagi mengenalpasti arah tujuan mereka. Mungkin di pintu hadapankah? Di pintu dapurkah? Ataupun di tingkap? Tetapi anehnya bunyi itu kedengaran sangat hampir dengannya. Kemudian barulah Cinderella perasan yang bunyi bising itu datangnya dari cacing di dalam perutnya yang sedang menyanyi-nyanyi kelaparan. Maka si bodoh Cinderella pun ketawa sendiri atas kelemahan saraf tunjang telinganya dalam mentafsir antara bunyi orang nak pecah rumah dan bunyi cacing kelaparan.

Timbul pula rasa kasihan kepada cacing-cacing yang sudah menjadi belaannya selama berbelas tahun. Maka, Cinderella pun tidak berlengah-lengah lagi. Dia ke dapur dan mencapai mee segera yang tercetak gambar artis tempatan sedang menghirup mee yang kelihatan menyelerakan.
Cinderella membuka dan memasukkan 3 bungkus mee segera sekaligus di dalam mangkuknya yang saiznya kecil sedikit dari besen. Dengan muka yang teruja, Cinderella menunggu mee itu kembang sendiri. Sambil menunggu, Cinderella siap memegang sudu dan garfu lagi di tangan dia, bersedia untuk menyerang. 3minit menunggu dirasakan seperti 3 jam lamanya.

Yeahhh.. Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Cinderella dengan teruja membuka perlahan penutup mangkuk meenya. Wap panas yang keluar darinya perlahan disedut oleh hidung kemek Cinderella dan membuatkan air liurnya hampir gugur tetapi pantas disedut kembali. Pantas, Cinderella mencedok mee menggunakan garfu yang dipegang di tangan kanan. Mulutnya sudah ternganga luas bak badak menguap.
‘DING DONG!’

Belum sempat Cinderella menyuap mee segera itu ke dalam mulutnya, kedengaran bunyi loceng pintu dibunyikan berulang kali dan menyebabkan Cinderella menyumpah dan terbantut untuk makan. Sambil menutup kembali penutup mangkuk meenya, Cinderella berjalan menghentak-hentak kaki menuju ke pintu utama. Mulut Cinderella tak henti-henti mengomel seorang diri.

Perlahan, ambal pintu yang besar lagi tua itu ditolak Cinderella. Cinderella agak terkejut melihatkan kedatangan serombongan askar ke rumahnya. Kesemua mereka sedang berbaris lurus di hadapan pintu rumah agam itu. Terkedu juga dia, mana tahu kalau-kalau serombongan askar itu datang untuk meminangnya.

Salah seorang askar itu menghampiri pintu utama untuk bercakap dengan Cinderella. Dia kelihatan seperti berpangkat besar kerana pakaian yang dipakainya berlainan daripada askar yang lain. Mungkin dia ialah ketua askar. Lelaki yang diyakini ketua askar tu nampak berumur sedikit dengan misainya yang bergulung-gulung dan kepalanya yang botak.

“Selamat petang, cik”

“Selamat petang”, jawab Cinderella pendek. Dia masih tercengang-cengang dengan kedatangan askar-askar itu.

“Maafkan kami kerana mengganggu cik. Kami dari istana datang untuk mengundang semua gadis yang ada di sini untuk datang ke majlis tari-menari Diraja. Majlis tari-menari itu akan berlangsung pada pukul 8 malam esok”

Belum sempat Cinderella membalas kata-kata ketua askar itu, tiba-tiba bunyi kereta kuda milik arwah daddy Cinderella memecut masuk ke halaman rumah dengan kelajuan kuasa kuda yang tinggi. Berterbangan pasir apabila kuda itu memberhentikan lariannya. Kelihatan seorang perempuan tua dan anaknya sedang turun dari kereta kuda yang agak usang itu sambil berjalan mendada. Termengah-mengah kuda itu membawa penumpang yang berpaun-paun beratnya.

Apabila melihatkan ada seberangkatan askar-askar dari istana, Mem Emey terus menyingkap tinggi kainnya hingga ke paras peha dan berlari ke hadapan pintu di mana ketua askar itu berdiri. Mary juga turut berlari dan berdiri di belakang mamanya.

Ketua askar tu sangat terkejut melihatkan reaksi dan perbuatan yang tidak disangka-sangka itu. Terkebil-kebil mata askar-askar itu melihat kaki Mem Emey yang kurus seperti tiang elektrik dan berkedut-kedut tu. Kalau anak dara muda sedap jugalah mata memandang. Mem Emey berdiri di tepi Cinderella dan terus menyikunya ke belakang. Nasib baiklah dia tidak terjatuh.

“Ada apa-apa pesanan dari istanakah kepada kami?”, tanya Mem Emey dengan riak muka teruja.

“Ya, puan. Kami telah diminta oleh raja dan permaisuri negeri ini untuk menjemput kesemua anak gadis puan ke majlis tari-menari pada malam esok. Raja dan permaisuri berhajat untuk mencarikan putera tunggalnya isteri. Dan mereka membuka kelayakan itu kepada rakyat biasa di negeri ini. Mereka menjemput anak-anak puan untuk mencuba nasib.”

Mem Emey tersangatlah gembira mendengar jemputan dari raja dan permaisuri itu. Tidak sia-sia dia dan anaknya datang ke istana tiap-tiap hari menjadi volunteer untuk membantu menguruskan majlis Diraja. Terasa ingin sahaja dia melompat tinggi ke atas pokok. Tetapi, untuk nampak cool dan anggun sentiasa, ditahan juga rasa gembira dan terujanya itu. Mary pula tersengih lebar tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.

Bagi Cinderella pula, dia hanya dapat mendengar sahaja setiap perbualan antara mak tiri dia dan askar tadi tu. Seluruh gadis di negara itu akan bergembira pada malam esok kecuali dia. Pada waktu itu dia berasa sangat rendah diri. Maklumlah, hanya dia saja yang dilupakan dan tidak diundang ke sana. Bahkan putera yang duduk bersamanya di taman juga tidak menjemputnya. Kini Cinderella terfikir mungkinkah lelaki semalam hanya menipunya dan menyamar sebagai putera.

“Jika puan mempunyai anak gadis lagi, puan boleh bawa kesemua mereka pada malam esok. Mana tahu, kalau-kalau salah seorang dari mereka dapat memikat hati putera mahkota.”, tambah ketua askar itu lagi.

Cinderella yang mendengar kata-kata askar itu tersenyum melebar. Matanya mengeluarkan sinar yang lebih terang dari sinaran matahari. Bukan main berbunga-bunga hatinya. Dia benar-benar berharap agar ibu tirinya turut membenarkan dia pergi bersama ke majlis Diraja itu.

“Saya ada seorang anak saja. Ni, Mary! Dia tu hanya orang suruhan”, kata Mem Emey sambil menjeling tajam ke arah Cinderella.

“Maaf, jika puan tersinggung. Tapi, dia juga boleh datang ke istana pada malam esok walaupun orang suruhan kerana majlis esok tiada pengecualian status”, terang ketua askar sambil tersenyum ke arah Cinderella.

“Oh, perkara itu amat mustahil. Orang suruhan saya ini sangat anti-sosial orangnya dan dia tidak pernah keluar dari rumah sejak kecil. Dari kecil dia ada penyakit fobia jika berada dalam kelompok orang ramai. Kalaupun saya bawa dia ke istana esok, tentu dia akan merengek untuk balik ke rumah cepat. Betulkan, Cinderella?”, tanya Mem Emey pada Cinderella sambil menjengilkan matanya.

Cinderella tidak menjawab. Dia hanya mengangguk perlahan mengiyakan kata-kata Mem Emey.

“Kalau begitu, tidak mengapalah. Jadi saya cuma perlu berikan dua kad jemputan kepada puan. Jangan lupa untuk bawanya bersama esok, kerana kad jemputan ini adalah pass masuk untuk ke istana”, pesan ketua askar.

Selepas mengambil surat jemputan ke majlis tari-menari dari ketua askar, Mem Emey dan Mary terus masuk ke rumah sambil melontarkan jelingan maut kepada Cinderella. Cinderella hanya membatukan diri di sebelah tembok rumahnya. Kalau dilihat dari jauh, memang tak ada bezanya antara Cinderella dengan tembok tu. Terkilan dia kerana tidak dapat menghadiri majlis Diraja.

Lama lepas tu, barulah Cinderella masuk ke dalam rumah. Apabila dia masuk ke dalam rumah, dia terdengar mak tiri dan kakak tiri dia sedang sibuk berbincang tentang hal ke majlis tari-menari di ruang tamu.

“Mama, esok bucuk nak pakai baju apa ya? Bucuk nak pakai baju yang paling cantik dalam negeri ni. Nanti bucuk yang paling paling paling cantik masa majlis tari-menari tu nanti”, kata Mary dengan suara halusnya yang dibuat-buat. Cinderella yang terasa meluat kembali ke dapur mencari makanan yang dia masak tadi.

“Aiseh, banyak sangat pula mee segera yang aku masak ni. Dah kembang pulak tu.”, keluh Cinderella seorang diri sambil melihat meenya yang sudahpun kembang tiga kali ganda dari bentuk asal. Kesian Cinderella. Disebabkan penghinaan ibu tirinya tadi, dia terus hilang selera untuk makan walaupun perutnya tersangatlah lapar pada waktu itu.

Dipendekkan cerita, malam itu Cinderella melakukan kerja hariannya suku ikhlas walaupun selama ini juga dia kurang ikhlas membuat kerja. Di kepalanya hanya bermain-main perkara yang berlaku pada petang tadi. Dia berasa sungguh tersinggung. Dia benar-benar ingin ke majlis tari-menari itu, tetapi apakan daya tidak ada seorang pun yang mengajaknya ke sana.

Malam itu, selepas dia siapkan semua kerja rumah, Cinderella pun keluar. Ke mana lagi kalau bukan ke taman hujung bandar tu. Cinderella duduk sendirian sambil melayan kekecewaan yang melanda di hati. Tidak ada nyanyian lagu Doraemon berkumandang. Hanya sesekali terdengar hilai tawa sang cengkerik dan katak kodok yang bergurau senda dengan teman barunya memecahkan kesunyian pada malam itu.

Fikiran Cinderella hanya memikirkan, alangkah bagusnya jika mummy dan daddynya masih hidup di dunia ini. Alangkah bahagianya jika mummy dan daddynya dapat menemaninya ke majlis tari-menari Diraja.

Jam Power Rangers Cinderella menunjukkan pukul 11.30 malam. Putera Danny telah berjanji akan berjumpa dengannya di situ semalam. Cinderella memang tidak mengharapkan putera untuk datang ke sana pada malam itu. Lagipun Cinderella yakin bahawa putera Danny yang dijumpainya semalam hanyalah seseorang yang cuba menyamar dan memperbodohkannya. Sedang Cinderella berbaring di kerusi panjang itu, matanya tidak dapat menahan mengantuk yang amat lalu dia bangun dan berhajat untuk tidur di rumah. Jamnya telah menunjuk tepat pukul 12.05 tengah malam.

Cinderella berjalan pulang ke rumahnya. Tiba-tiba ada sayup-sayup suara seseorang memanggilnya dengan nama Cindy (bukan nama sebenar). Cinderella tidak mengendahkannya kerana mungkin kepalanya yang mamai sedang mempermainkannya. Cinderella terus melangkah. Kedengaran seperti seseorang berlari ke arahnya dan menarik Cinderella ke belakang.

Lelaki itu dengan termengah-mengah memberikan sesuatu kepada Cinderella dan kemudian terus meninggalkan Cinderella masih tercengang-cengang dengan apa yang berlaku.

Semasa Cinderella tiba di rumahnya, dia duduk di luar rumah dan menyalakan unggun api. Dia hanya memandang sekeping sampul surat di hadapannya. Kad yang berwarna emas itu hanya diletakkan di atas tanah. Perlahan, Cinderella memegang sampul surat dan mengoyakkan sampul yang telah digam kemas itu. Cinderella membacanya perlahan. Matanya terbeliak apabila membaca tulisan bercetak “Undangan ke Majlis Tari-menari Di raja- VVIP”. Cinderella tersenyum sendiri apabila melihat kad yang istimewa itu. Lebih istimewa daripada kad yang diterima oleh mak tiri dan kakak tirinya. Kad yang diterima oleh mak tiri dan kakak tirinya berwarna biru tua manakala kad yang diterima Cinderella berwarna emas dan siap bereben merah lagi.

Sedang Cinderella memegang kad ucapan itu sambil tersenyum, tiba-tiba dia terasa kad yang dipegangnya seperti disentap seseorang. Cinderella terkejut. Apabila dia toleh ke belakang, dia tergamam apabila melihat mak tiri dan kakak tirinya sedang berdiri sambil bercekak pinggang. Tambah mengejutkan apabila melihat muka mereka berdua dilumuri bedak sejuk, tidak ubah seperti hantu di dalam cerita dongeng. Mereka tanpa segan silu membuka dan membaca kad milik Cinderella dengan rakusnya.

“Apa benda ni?! Mana kau dapat kad jemputan dari istana ni?!! Kau curi kan?!!”, jerit Mem Emey kuat ke telinga Cinderella. Cinderella benar-benar takut. Jeritan Mem Emey yang kuat telah menyebabkan telinganya pekak sekejap. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa mak tiri dan kakak tiri dia belum tidur lagi waktu tu. Selalunya, mereka akan tidur awal.

Terketar-ketar Cinderella menjawab. “Itu.. Kad tu.. Ada orang yang beri pada saya”

“Woi, bodoh!! Kau ni tak sedar diri ke? Orang yang tak berakal je akan bagi kad berharga macam ni pada orang yang hina macam kau. Sekarang, baik kau mengaku je yang kau sorokkan kad ni masa askar dari istana datang petang tadi kan? Berani kau cuba sembunyikan dari pengetahuan aku dan Mary?!!”, tengking Mem Emey lagi dan lagi.

Cinderella terkedu. Tiada apa yang mampu dia katakan lagi.

“Kau ni memang tak berguna la. Kau tahu tak nilai kad ni sebenarnya? Ini kad untuk tetamu yang paling istimewa dari kerabat Diraja, tahu tak? Yang kau perasan sangat kenapa?”, kata Mary pula sambil menolak tubuh Cinderella ke tanah. Nasib baik Cinderella sempat mengelak tubuhnya dari terkena unggun api. Jika tidak, pasti cacat seumur hidup.

Tidak cukup dengan itu, Mary sempat menyepak perut Cinderella yang sedia ada kurus seperti cicak kubing dengan kakinya yang sebesar kaki anak gajah. Kelihatan mengalir darah hijau dari bibir dia akibat sepakan berbisa itu. Perlahan, Cinderella bangun dan mengelap darah hijau yang mengalir, darah keturunan mummynya.

Mem Emey dan Mary berlalu dari situ, meninggalkan Cinderella yang sudah jatuh, disepak pula. Puas hati mereka melihat keadaan Cinderella yang menyedihkan. Apatah lagi, apabila mereka mengetahui Cinderella yang tidak sedar diri telah menyembunyikan kad jemputan istimewa itu daripada pengetahuan mereka. Maklumlah, mereka ingatkan kad istimewa itu dihantar oleh pihak istana untuk mereka.

Malam itu, Cinderella betul-betul susah nak lelapkan matanya. Banyak perkara yang bermain di fikirannya. Tambahan, badannya terasa bisa dek sepakan beracun yang diterima dari Mary tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience