Bab 9

Humor Series 8271

Putera kelihatan bercakap-cakap sesuatu dengan kedua bonda dan ayahandanya barangkali cuba catch up perkara yang berlaku sepanjang dia pengsan tadi. Cinderella pula terasa penat kerana asyik memerhati dari tadi. Tambahan kakinya sangat sakit kerana berjalan jauh untuk ke istana. Tangannya juga berasa lenguh kerana memegang pinggan bertutup yang di dalamnya ada lempeng masakannya. Rugilah putera kerana tidak dapat merasa resepi terbaru ciptaannya itu.


Melihatkan pemenangnya sudahpun terpilih, Cinderella mula bergerak untuk meninggalkan istana dan pulang ke rumah. Sedang dia memusingkan badan untuk memboloskan diri dari kerumunan di situ, tiba-tiba seseorang terlanggar penutup pinggannya dan menyebabkan penutup pinggan itu terjatuh ke lantai. Bunyi kuat yang terhasil dari jatuhan penutup stainless steel itu menyebabkan Cinderella menjadi perhatian di seluruh istana.

Serentak dengan itu, mereka yang ada di situ menutup hidung dan menjauhkan diri dari Cinderella. Cinderella berasa malu dan mengambil semula penutup pinggannya. Dia berniat untuk berlari keluar dari situ kerana takut akan dilihat Mem Emey. Belum sempat Cinderella melarikan diri, dia dapat mendengar suara putera memanggilnya.

“Tunggu dulu, cik yang memakai baju merah jambu. Rasanya saya belum merasa lempeng yang ada di tangan kamu. Boleh bawakan ke sini?”

Cinderella merasa was-was untuk menjawab panggilan putera. Pasti dia akan dipukul oleh Mem Emey selepas dia balik nanti. Tambahan, Mem Emey sudahpun ditabalkan menjadi isteri putera. Sudah tentulah Mem Emey akan menggunakan kuasanya untuk menghukum Cinderella.

“Cik, sila menghadap putera, raja dan permaisuri sekarang”, panggil pengerusi majlis pula apabila melihat Cinderella masih belum bangun dari mengutip penutup stainless steel yang terjatuh tadi.

Perlahan, Cinderella bangun dan menolehkan badannya. Dia perlahan berjalan menaiki anak-anak tangga. Semasa berjalan, dia sempat mengerling ke arah Mem Emey yang sudahpun bercekak pinggang dengan muka bengis. Cinderella kembali memalingkan mukanya dan terus berjalan ke arah pasangan Di raja itu.

Cinderella kemudian membuka penutup pinggan yang menyembunyikan lempeng durian sejuk yang telah dibuatnya hampir sejam yang lalu. Dia kemudian memberikannya kepada pengawal untuk dirasai oleh raja, permaisuri dan putera sendiri.

“Adinda permaisuri, agak kurang sopan kamu kentut di hadapan rakyat”, bisik raja ke telinga permaisuri tetapi dapat didengari oleh Cinderella dengan jelas. Sejurus selepas itu, Cinderella dapat melihat muka permaisuri yang marah dan tangannya mula mencubit peha raja.

“Bukan adinda. Kanda tak perlu nak berselindung dengan menyalahkan adinda”, marah permaisuri tetapi dia masih memberikan senyuman hambar kepada Cinderella. Cinderella pula berasa bersalah kerana dia tahu dari mana datangnya bau itu.

Kemudian putera datang menghampiri Cinderella sambil tersenyum.

“Kenapa kamu tidak memberikan lempeng ini kepada kami semasa sesi merasa tadi?”

“Tadi saya terlambat menyediakannya berbanding yang lain. Jadi saya memutuskan untuk tidak memberikan kepada raja, permaisuri dan putera”

“Tidak mengapa. Lambat atau cepat tiada masalah. Hari ini hari pemilihan, jadi pemilihan ini perlulah dijalankan secara adil dalam memutuskan pemenangnya.”

Melihatkan bonda dan ayahandanya telahpun merasai lempeng yang telah dibuat Cinderella, putera turut berdiri di sebelah mereka dan merasainya.

“Aneh sungguh masakan ini. Bau yang terhasil darinya agak kurang menyenangkan. Tetapi apabila merasainya, rasanya yang enak membuatkkan kami mahu makan lagi. Rasa manisnya juga berlainan dengan lempeng yang lain. Selepas merasainya, bau yang kurang enak tadi berubah menjadi bau yang sedap. Bahan apakah yang kamu gunakan dalam lempeng ini?”, tanya raja. Permaisuri juga mengangguk tanda setuju.

“Saya menggunakan buah durian, tuanku”

“Buah durian? Mustahil. Beta pernah merasai buah durian, tetapi rasanya bukan seperti ini. Beta tidak pernah merasakan bahawa durian itu enak. Bahkan baunya juga busuk”, jawab raja yang terkejut dengan jawapan Cinderella.

“Mungkin kerana tuanku belum pernah merasai durian yang telah dimasak. Buah durian boleh menjadi masakan yang enak.”

“Apa kata kamu, putera? Bukankah lempeng durian yang dibuat oleh gadis ini enak?”, tanya permaisuri pula.

“Ya, bonda. Anakanda juga rasa begitu. Tapi mengapakah kamu menggunakan buah yang busuk ini untuk dijadikan santapan Diraja? Bukankah kamu tahu raja dan permaisuri tidak padan untuk dihidangkan dengan makanan begitu?”

“Tidak padan? Adakah makanan lempeng itu sendiri padan dengan imej putera? Saya juga tidak menyangka bahawa putera mahu mengadakan pertandingan menyediakan makanan murah sebegitu. Tambahan, saya menggunakan durian ini kerana saya tahu rasanya yang enak. Bukankah buah durian itu dinamakan raja buah. Padanlah raja buah menjadi santapan raja. Buah durian yang memiliki duri yang tajam diluar tetapi mempunyai isi yang enak, sama jugalah dengan raja ini. Walaupun nampak tajam dan tegas diluar tetapi mempunyai hati yang baik di dalam. Baunya juga begitu. Ada sesetengah berpendapat baunya busuk, ada juga yang berkata baunya wangi. Rakyat juga memandang raja itu kejam dan ada yang memandang raja itu baik. Tetapi apa yang penting ialah apabila durian itu sendiri dimasak bersama bahan lain, rasanya lebih terserlah. Sama jugalah dengan raja yang mesra dengan rakyat akan dilihat terserlah kebaikan dan kesaksamaannya.”

Raja, permaisuri dan putera yang mendengar jawapan Cinderella tercengang. Dia tidak menyangka jawapan yang diberikan Cinderella berkaitan durian dan raja sebegitu.

Putera kemudian tersenyum kepada Cinderella menyebabkan Cinderella malu dan menundukkan kepalanya. Cinderella memalingkan pandangannya kepada Mem Emey. Mem Emey tidak kelihatan di atas tingkat itu bersama pengacara majlis. Mata Cinderella melilau mencari Mem Emey di dalam keramaian itu. Dia berasa cemas. Ke manakah Mem Emey telah pergi? Mungkinkah sesuatu berlaku? Tambahan, dia sendiri melihat dua beranak tadi bergaduh di istana, mungkinkah sesuatu yang buruk terjadi kepada mereka berdua?

“Para hadirin sekalian. Disebabkan pemenang pemilihan ini iaitu Cik Kemetom bukanlah berstatus ‘cik’ seperti namanya, maka keputusan pemilihan ini telah dirombak semula. Setelah mendapat kata sepakat dari raja, permaisuri dan putera, diumumkan pemenang bagi pemilihan ini ialah. Er, siapa nama cik?”

Cinderella tidak menjawab kerana fikirannya memikirkan perkara lain. Disebabkan perubahan pemenang bagi pertandingan tadi, gadis-gadis yang berada di situ mula membuat bising sekali lagi.

Tiba-tiba jam dinding besar di dalam istana berbunyi kuat sebanyak 12 kali menunjukkan jam tepat pukul 12 tengah malam. Serentak dengan itu, jam power rangers milik Cinderella juga berbunyi. Para jemputan istana terdiam sejenak mendengar bunyi kuat yang bergema di seluruh istana.

Mendengar bunyi jam itu, Cinderella tahu dia perlu pulang kerana hatinya berasa gusar memikirkan apa yang berlaku di rumah. Tambahan dia telah menyebabkan Mem Emey dan Mary marah tadi. Mana tahu dia mungkin membakar rumah agam tinggalan kedua ibubapanya?

“Maafkan patik, tuanku raja, permaisuri dan putera. Saya perlu pulang ke rumah sekarang juga”.

Tanpa berlengah, Cinderella berlari meninggalkan raja, permaisuri dan putera yang tercengang-cengang dengan apa yang berlaku.

Putera pula dengan segera berlari mengejar Cinderella yang tak kurang hebat berlari. Tetapi sudah tentu putera sangat hebat berlari dan mengejar Cinderella. Lihat sajalah 6packnya tadi.

“Tunggu dulu, cik! Kamu ni Cindy kan?”, kata putera Danny cuba mencapai tangan Cinderella yang sangat hampir dengannya.

Tetapi, Putera hanya dapat menyambar baju Cinderella sahaja dan menyebabkan pakaian itu koyak di lengan. Mungkin kerana pakaian itu telah berdekad lamanya, jadi ianya sudah reput. Sentapan putera yang kuat menyebabkan Cinderella terjatuh dari tangga dan menyebabkan selipar jepun yang dipakainya putus. Kepalanya juga berdarah dan luka di mukanya itu mengeluarkan darah hijau. Tanpa mempedulikan luka di kepala dan selipar jepunnya itu, Cinderella berlari laju meninggalkan putera dengan menggunakan sebelah selipar sahaja.

Melihatkan Cinderella bersungguh benar melarikan diri daripadanya, Putera Danny hanya membiarkan Cinderella pergi dan mengambil selipar jepun yang putus itu untuk dijadikan kenangan.

Cinderella berjalan perlahan setelah dia mendapati putera tidak lagi mengejarnya. Walaupun hatinya takut untuk pulang ke rumah, dia memberanikan diri juga kerana semua itu terjadi adalah disebabkan dirinya sendiri. Kalaulah dia tidak berdegil untuk datang ke majlis tari menari Di raja, semua itu tidak akan terjadi. Pada waktu itu dia mula terfikir yang ada baiknya sekiranya Mem Emey menjadi isteri putera. Pasti Mem Emey dan Mary akan keluar dari rumah agam itu dan tinggal di istana. Pasti selepas itu dia akan bersenang lenang bersendirian di rumah agam milik kedua ibu bapanya.

Cinderella mula menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Dia mula menarik-narik rambutnya sendiri atas kebingungan yang dialaminya. Kalaulah dia hanya berputus asa sewaktu strawberry di dalam peti ais itu habis, pasti semua ini tidak terjadi. Kalaulah penutup lempeng itu tidak terjatuh, pasti keluarga raja tidak perasan akan kehadirannya. Kalaulah dia tidak menghasut Mary berpatah baik tadi, semuanya tidak akan terjadi.

Cinderella berfikir hinggalah dia tiba di pintu masuk rumah agam. Entah mengapa kakinya terasa berat untuk melangkah masuk. Dia dapat membayangkan yang Mem Emey sedang menunggunya di ruang tamu telah bersedia untuk memukul dan menerajangnya. Malam itu pasti aksi-aksi smackdown terhebat akan dirasai Cinderella.

Cinderella melangkah masuk ke dalam rumah perlahan-lahan. Aneh, rumah agam itu gelap dan tiada siapa ada di ruang tamu seperti yang dibayangkannya sebelum ini. Cinderella berfikir sendirian, mungkinkah mereka berdua keluar ke tempat lain, tetapi selalunya tempat yang mereka akan kunjungi ialah istana. Cinderella berjalan perlahan naik ke tangga untuk ke bilik Mem Emey. Pintu bilik Mem Emey dikuak perlahan. Aneh, tiada siapa juga di sana. Cinderella beralih pula menghampiri bilik Mary yang berada di bawah. Dikuaknya pintu bilik Mary perlahan. Cinderella meninjau di celahan lubang bilik Mary dan dia dapat melihat bilik Mary bersepah-sepah seperti ada seekor godzila singgah mencari makanan di situ.

Cinderella dapat melihat dengan jelas Mary sedang menangis teresak-esak dan Mem Emey sedang cuba sedaya upaya untuk memujuk anak kesayangannya. Melihatkan keadaan itu berterusan, Cinderella masuk ke tempatnya di dapur dan meninggalkan dua beranak yang berada dalam crisis itu. Setelah menyalin pakaian kembangnya, Cinderella bersedia untuk tidur seperti tiada apa yang berlaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience