Bab 11

Humor Series 8271

Cinderella perlahan berjalan keluar melalui pintu belakang. Entah ke mana arah tujunya, dia juga tidak pasti. Dia sememangnya tidak mempunyai niat untuk meninggalkan rumah agam peninggalan arwah mummy dan daddynya. Dan sebab itu jugalah Cinderella kembali ke rumah itu semalam walaupun dia tahu peluangnya sangat cerah untuk menjadi isteri putera mahkota. Dia sangat sayangkan rumah itu dan mahu menjaga harta milik kedua orang tuanya.

Tapi keadaan sudah berubah sekarang dek kerana Mem Emey mengeksploitasi wasiat arwah daddy dan menjual ladang epal miliknya di hujung kampung. Cinderella nekad untuk mencari kerja di pekan dan membina hidup baru. Tambahan dengan duit yang diberikan Mary tadi, bolehlah dia bertahan selama beberapa bulan di luar.

Cinderella mengangkat bontel pakaiannya yang dibungkus menggunakan selimut pudar cap untanya dan berjalan keluar dari rumah itu. Tatkala Cinderella mahu keluar dari pagar pintu utama, para askar menghalang laluan Cinderella dari membolosi pagar utama.
“Kenapa halang saya keluar?”, tanya Cinderella pelik.
“Maaf, cik. Kami diarahkan oleh putera untuk menyuruh setiap wanita di dalam negeri ini untuk mencuba memakai selipar yang di jumpai putera. Cik kena masuk ke dalam dan mencubanya”
Cinderella dibawa masuk kembali oleh salah seorang askar ke dalam rumah agam. Cinderella hanya meninjau di hadapan pintu. Dia tawar hati untuk masuk berjumpa dengan ibu tirinya.

“Cik, masuklah dan cuba sarungkan selipar itu.”, arah askar tadi.
“Nanti dululah. Saya lihat dari sini sahaja”
Kelihatan Mem Emey sedang cuba menyarungkan selipar buruk itu ke kaki kanannya. Mukanya jelas sekali menunjukkan yang dia sangat geli meletakkan kaki ke selipar itu. Tetapi kelihatannya selipar itu terlalu kecil untuk memuatkan kaki Mem Emey yang panjang seperti kaki big foot.

Putera dan ketua askar yang ada di dalam rumah agam kelihatan tersenyum gembira melihat reaksi yang diberikan Mem Emey. Pastinya putera berasa lega kerana Mem Emey bukanlah orang yang mereka cari.

Putera mengalihkan pandangannya pula kepada Mary, memberikan signal supaya Mary pula mencubanya. Mary mencebikkan mukanya seperti enggan cuba memakai selipar buruk yang diletakkan di atas bantal merah berhias emas itu. Tetapi setelah disiku Mem Emey beberapa kali, Mary akur dan duduk menyarung selipar bertuah itu.

Ternyata selipar itu muat di kaki Mary, cuma jari-jemari kakinya tersentil sedikit. Mem Emey tersenyum hambar melihat kaki anaknya muat menyarungkan selipar itu. Manakala ketua askar dan putera mengangguk sesama sendiri, gembira melihat pencarian mereka berakhir di situ.

Putera menghulurkan tangan kepada Mary dan menyuruhnya bangun dari kerusi. Apabila Mary bangun, dia menjerit kesakitan dan terus menanggalkan selipar itu dari kakinya.
“Kau dah kenapa, Mary? Jangan buat pasal, boleh tak?”, marah Mem Emey.

“Tajam lah mama, selipar tu. Mary tak boleh nak pijak”, adu Mary sambil menggosok tapak kakinya yang merah.

“Nampaknya, cik ini bukanlah orang yang putera cari”, kata ketua askar kecewa.
Mem Emey mengambil selipar itu dari kaki Mary dan terus menlontar selipar itu ke lantai tidak puas hati.
“Puan! Berani puan memperlakukan begitu di hadapan putera. Selipar ini adalah hak Diraja memandangkan ini dimiliki oleh putera!”, tempik ketua askar kepada Mem Emey.

Mem Emey menunduk takut.
“Tak mengapa ketua menteri. Mari kita teruskan pencarian di kediaman lain pula. Beta tahu gadis yang beta cari ini pasti tinggal berdekatan sini. Kerana beta berjumpa dengannya di taman berdekatan beberapa hari lalu. Beta yakin pencarian kita hampir tamat”, kata putera Danny yakin. Dia berdiri dan mengajak ketua menteri keluar dari rumah agam itu.

Apabila menoleh, putera melihat Cinderella sedang berdiri di sebelahnya bersama dengan seorang askar. Kedudukan Cinderella sangat dekat dengan putera hingga menyebabkan bahu mereka bertemu.
“Tuanku, ada seorang gadis lagi yang belum cuba memakai selipar itu”, lapor askar tadi.
Askar itu menarik Cinderella dan memaksanya duduk di atas kerusi di hadapan Mary dan Mem Emey.
“Kenapa kamu tidak keluar semasa beta bertitah supaya mencuba selipar ini tadi?”, tanya putera sambil berjalan merapati Cinderella.
“Kerana dia hanya orang suruhan di rumah ini, tuanku. Dia tidak layak untuk mencubanya”, celah Mem Emey dengki.
“Bukankah beta bertitah supaya setiap wanita dalam negeri ini? Maknanya tidak kiralah orang suruhan, orang kaya, isteri orang ataupun nenek tua semua perlu mencubanya”

“Adakah tuanku mahu memperisterikan isteri orang dan nenek tua juga? Asalkan dia boleh memakai selipar ini?”, tanya Cinderella selamba.

“Sudah tentu tidak. Beta masih waras. Beta bercadang untuk memberikan ganjaran yang besar kepada mereka yang boleh memakai selipar yang biasa dijual ini. Saiznya juga sangat biasa, jadi beta sangka pasti ramai rakyat beta yang boleh memakai selipar ini. Kemudian beta akan membuat ujian saringan untuk mengenalpasti identiti gadis selipar ini, kerana beta tahu serba sedikit mengenainya”, terang putera.
“Jika putera tahu mengenai gadis selipar ini, kenapa perlu tuanku bersusah payah mencarinya di seluruh negeri?”

“Malang sekali beta tidak dapat mengecam wajah gadis selipar ini, tetapi apa yang beta tahu dia mempunyai jam tangan lebih kurang sama seperti milikmu. Rambutnya juga berbau agak kepam sama seperti rambutmu. Dan yang paling beta ingat adalah tarian sumbangnya”, kata putera sambil meletakkan bantal selipar itu di atas lantai.

Cinderella tersenyum mendengar kata-kata putera Danny. Dengan tidak teragak-agak Cinderella menyarungkan selipar buruk itu ke kaki kanannya. Selipar itu sangat padan saiznya dengan kaki Cinderella.

Putera menghulurkan tangan dan disambut mesra oleh Cinderella. Cinderella bangun dari kerusi dan...
“Auch!”

Putera terkejut melihat reaksi yang tidak diduga dari gadis yang dia pasti adalah orang yang dia cari. Cinderella melihat tapak selipar yang dipakainya dan dengan selamba mencabut beberapa biji duri yang melekat.

“Semalam, semasa patik berjalan kaki ke istana, patik melalui semak yang banyak duri tebal. Rasanya duri-duri ini dah tembus semasa patik berlari keluar dari istana semalam”

“Jadi betullah kamu yang beta cari selama ini. Jam tangan, rambut kepam dan selipar ini. Beta berani bertaruh yang kamu adalah Cindy yang beta jumpa di taman tempoh hari kan?”
“Bukan tuanku. Namanya Cinderella”, celah Mem Emey menjawab soalan yang tidak ditujukan kepadanya pun.

“Betulkah namamu Cinderella?”, tanya putera gelisah.

“Betul tuanku. Nama patik Cinderella. Tetapi patik juga Cindy. Patik menggunakan nama arwah mummy patik semasa kita berjumpa di taman tempoh hari”, jelas Cinderella tenang.

“Mungkin dia tipu, tuanku”, sampuk Mem Emey.
“Hanya ada satu cara untuk memastikan adakah kamu bercakap benar atau tidak. Kamu perlu menari bersama beta. Beta akan nilai sendiri melaluinya”, kata putera tenang. ''Ketua menteri, mainkan beta satu lagu”

Ketua menteri menyeluk mencari sesuatu di dalam kocek seluarnya. Dia mengeluarkan telefon bimbit nokia 3310 dan memainkan sebuah lagu yang bunyinya sangat mendatar.

Tanpa mengendahkan bunyi mendatar muzik yang dimainkan, putera terus menarik Cinderella rapat dan menari bersamanya. Cinderella hanya mengikut rentak tarian. Ternyata kali ini dia sudah pandai mengelak dari memijak kaki pasangan tariannya dan menggerakkan badan dengan baik.

Semasa menari, entah kenapa putera kelihatan kecewa. Cinderella kemudian menarik tangan putera dan berpusing mengelilingi putera. Mereka berdua menunduk salam mengakhiri tarian itu. Putera Danny tersenyum lebar. Cinderella turut sama tersenyum malu-malu kucing di hadapan putera.

Mem Emey dan Mary tercengang melihat kejadian yang berlaku di hadapan mata mereka. Dengan sekelip mata sahaja impian dan usaha mereka berdua berkecai.

“Ketua menteri, lepas kita pulang beta mahu kamu balik ke istana dan beritahu raja dan permaisuri tentang berita ini. Kemudian hebahkan di seluruh pelusuk negeri yang beta telahpun menjumpai bakal isteri beta dengan segera''
Putera mengalihkan pandangannya kembali pada Cinderella. Putera dengan berani mencapai tangan Cinderella, sambil tangan kanannya mencari-cari sesuatu dalam kocek seluarnya. Menyedari apa yang dicari tiada, putera Danny melepaskan tangan Cinderella dan dengan gelabah meraba-raba kocek bajunya pula. Bahkan putera turut meraba-raba kocek seluar ketua menteri menyebabkan ketua menteri terkebil-kebil ketakutan.
“Ampun tuanku. Patik rasa mungkin tuanku patut tangguhkannya dulu”, bisik ketua menteri tapi masih dapat didengar Cinderella.

“Tapi ini masa yang sangat sesuai. Beta tidak boleh melepaskan peluang keemasan ini, ketua menteri”

Sejurus selepas itu, putera Danny bergegas keluar dari rumah agam itu meninggalkan semua isi rumah terpinga-pinga. Bahkan askar-askar juga tidak mampu berdiri tegak dan menoleh melihat putera Danny keluar masuk ke dalam semak di tepi rumah.

Beberapa minit kemudian, putera Danny berlari masuk ke dalam rumah sambil tangannya laju membuang daun-daun yang melekat di rambutnya. Dia kembali ke tempat dia berdiri tadi dan terus melutut di hadapan Cinderella. Sebentuk cincin yang pastinya digulung-gulung dari batang rumput lalang terpacul keluar dari genggaman putera.

“Cinderella, saya tidak ada cincin yang mahal untuk melamar kamu, tapi saya janji yang cincin perkahwinan kita akan bertambah baik jika kamu sudi menerima lamaran saya. Jadi, Cinderella sudikah kamu berkahwin dengan saya?”, kata putera sambil mendongak penuh harapan pada Cinderella.
Cinderella terdiam. Dia seperti tidak percaya melihat adegan yang dia selalu tonton di televisyen kini bermain di hadapan matanya.

“Tapi tuanku, patik tidak layak untuk menjadi isteri tuanku. Patik tidak mempunyai apa-apa. Harta, keluarga, status.. Semua tu patik tak ada, tuanku. Apa yang patik ada hanyalah barang-barang tidak berharga di dalam bontel di depan pintu sana”, jawab Cinderella. Pandangannya dialihkan dari putera Danny.

“Cinderella sayang. Tiada sesiapa yang peduli tentang itu. Jika harta yang kamu risaukan. Harta di istana tujuh keturunan pun belum tentu habis untuk kita. Saham-saham syarikat yang kita laburkan. Itu belum termasuk harta-harta ayahanda di dalam dan luar negeri. Jika kamu risaukan tentang status, bukankah perkahwinan Diraja kali ini memang dipadankan dengan rakyat biasa”

Cinderella tersenyum lebar mendengar penerangan putera Danny.
“Kalau begitu tuanku, patik menjunjung kasih. Kecil tapak tangan, nyiru patik tadahkan”, kata Cinderella sambil tersenyum malu. Dia menghulurkan tangan kecilnya kepada putera.

“Nanti dulu, tuanku!”, celah Mem Emey tiba-tiba mengejutkan semua.

Putera terus tidak menyambut tangan Cinderella sebaliknya dia tangkas bangun dari tempatnya. Dia memandang Mem Emey tajam menunggu apa yang mahu dikatakannya.

“Ampunkan patik, tuanku. Tuanku, patik yang merupakan ibu kepada Cinderella masih belum bersedia untuk melepaskan dia pergi dari jagaan patik. Patik sebagai pemegang amanah arwah ayah Cinderella, diamanahkan untuk menjaga Cinderella sehinggalah dia dewasa”, kata Mem Emey yang kemudiannya menunduk dari memandang wajah putera Danny.

“Ibu? Mem sebut perkataan ibu ke tadi?”, soal Cinderella sinis.

Mary yang sedari tadi duduk bertenggek di tempat letak tangan sofa juga terkejut hinggakan kacang kuda yang dikunyahnya menyembur terkena muka ketua menteri yang berdiri berhadapan dengannya.
“Tuanku, maafkan Mem Emey. Patik pasti yang mem tersilap cakap. Seperti yang tuanku dah dengar tadi yang patik hanyalah orang suruhan sahaja di dalam rumah ini. Anak Mem Emey hanyalah Mary, satu-satunya. Kami tiada pertalian darah langsung, yang ada hanyalah hubungan antara mem besar dan orang suruhan sahaja”
“Sampai hati kau cakap begitu pada mama, Cinderella. Mama tak sangka yang kau masih tidak menganggap mama seperti ibu kau walaupun dah berbelas tahun kita hidup bersama. Mama tahu walaupun mama hanya ibu tiri, mama memang tak boleh menggantikan ibu kandung kau. Tapi kata-kata kau sangat melukakan hati mama”, kata Mem Emey yang kemudiannya menekup muka dengan selendang yang terlilit di lehernya.

“Apa yang mem merepek ni? Selama ni mem yang tak benarkan saya menganggap mem macam tu. Mem yang membuat saya seperti orang suruhan dalam rumah ni”, kata Cinderella tegas. Berkerut-kerut dahinya cuba memahamkan situasi yang berlaku.

“Apa yang mama buat selama ini semuanya demi kebaikan kau, Cinderella. Sungguh, mama tak berniat jahat”, kata Mem Emey sambil perlahan menarik nafas dari hidungnya yang kedengaran tersumbat sebelah.
“Demi kebaikan saya? Mem jangan buat lawak boleh?”

“Ya, sayang. Apa yang mama buat selama ini supaya mengajar kau hidup berdikari dan tidak terlalu manja. Supaya bila kau berkahwin nanti kau pandai membuat kerja-kerja rumah. Tengok sajalah, bukankah resepi lempeng yang mama ajar yang membuatkan kau berjaya memenangi acara memasak di istana semalam?”, kata Mem Emey sayu hinggakan askar-askar yang menunggu di luar pintu juga kedengaran menyedut-nyedut hingus mereka.

“Aneh sekali silibus pembelajaran mem. Dan adakah matapelajaran sepak terajang juga salah satu cara mengajar saya?”

“Sudah tentu, sayang. Siapalah yang menyangka yang kau akan berkahwin dengan putera raja. Mama tidak pernah membayangkan sama sekali. Mama cuma mahu kau sentiasa dalam keadaan bersedia sekiranya kau berjodoh dengan lelaki kaki pukul ataupun kau mendapat ibu mertua yang kejam. Bukankah pada waktu itu kau lebih pandai mengelak segala serangan mereka, sayang?”

“Dan menjual dusun epal milik arwah mummy dan daddy juga?”, tanya Cinderella lagi tanpa mempedulikan kata-kata Mem Emey sebelumnya.

Mem Emey terdiam. Dia mengelak dari memandang wajah Cinderella.

“Saya rasa dah tiba masanya Mem Emey mengupah orang gaji baru dalam rumah ini. Kalau tak pun, saya memang akan keluar dari rumah ini harini. Mem jangan lupa yang wasiat arwah daddy kata hanya perlu menjaga saya sehingga saya berumur 18 tahun, dan hari ini genaplah umur saya. Bukankah Mem Emey lebih tahu memandangkan awal-awal pagi lagi mem dah ke bandar menjual dusun wasiat arwah daddy?”
Mem Emey masih tidak menjawab. Dia hanya curi-curi memandang Cinderella melalui celahahan selendangnya yang bergumpal di muka.

“Sudahlah mem. Saya dah malas nak tengok drama mem dua beranak. Kalau nak ikutkan, saya memang sayang nak tinggalkan rumah pusaka ni tapi disebabkan wasiat daddy yang bertimbang rasa dengan mem, saya lupakan. Selamat tinggal, Mem Emey”, kata Cinderella seraya berjalan pergi meninggalkan ruang tamu.

Putera Danny yang sudahpun duduk makan kacang kuda bersama Mary terus bangun dan menyusuli Cinderella. Cinderella membongkok untuk mengambil bontel pakaiannya tetapi tangan Cinderella disambar putera Danny.

“Cinderella, jadi kamu setuju kan dengan lamaran saya tadi?”
“Sudah tentu, tuanku. Bukankah sudah patik katakan tadi?”, kata Cinderella sambil tersenyum manis kepada putera Danny.

“Jadi mulai saat ini, tak perlulah sayang bertuanku patik dengan saya lagi. Labih manis jika panggil saya dengan panggilan janda eh bukan, kanda”, ujar putera sambil tangannya terus menyarungkan cincin lalang tadi ke jari manis Cinderella.

“Baiklah kanda”, jawab Cinderella malu-malu kucing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience