BAB 2

Romance Completed 14651

Nizam berjalan memasuki bilik mesyuarat selepas dimaklumkan oleh setiausahanya. Hari ini, dia akan mengadakan perbincangan dengan syarikat LK Holdings. Syarikat itu baru bertapak dua tahun yang lepas dan masih belum dikenali lagi. Nizam yakin, LK Holdings berniat untuk bekerjasama dengan Putra Empire untuk menaikkan namanya di bidang pembinaan. Apatah lagi Putra Empire sudah lama bertapak dan potensinya dikenali di seluruh negara.

Sebaik keluar dari lif, Nizam berpampasan dengan seorang perempuan yang sedang berjalan sambil bercakap di telefonnya. Telefon bimbit wanita itu terlepas dari tangannya lalu tercampak ke lantai. Habis baterinya tercabut dan skrinnya retak sedikit. Si wanita terus tunduk dan meminta maaf berkali-kali.

“Maafkan saya, saya tak sengaja..” ujar wanita itu, seraya mengutip telefon bimbitnya. Terbit rasa kesal di hati Nizam. Baru sahaja dia ingin membuka mulut untuk meminta maaf, wanita itu mengangkat wajahnya. Semerta mata mereka berdua terbuntang.

“Nizam?”

“Raisya?” tersengih lelaki itu apabila melihatkan wajah Raisya yang cengkung. Ternyata setahun yang berlalu mengubah Raisya. Bukan sekadar Raisya, malah dirinya sendiri. Dalam diam, Nizam akui bahawa dia bukan lagi Shahrul Nizam yang dulu.

Terketar-ketar tubuh Raisya semerta. Dia tahu, jauh di sudut hati Nizam, ada benci yang terkumpul buatnya. Pasti Nizam menyalahkan Raisya kerana dialah Nizam tidak dapat bersatu dengan Farina. Maafkan aku, Nizam.. desis hati Raisya.

“Kau buat apa kat sini?” penuh angkuh Nizam melontarkan soalannya. Raisya menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam beg tangan.

“Err.. Ikut bos buat perjumpaan dengan CEO company ni..” jujur Raisya memberi jawapan. Kalau bukan kerana Lutfi, dia tidak akan menjejakkan kaki ke sini, terutamanya setelah mengetahui dia akan bertemu dengan Nizam. Tidak, tidak sama sekali!

Nizam mengerutkan dahinya. CEO Putra Holdings? Dialah orangnya! Bermakna, Lutfi Haziq dari LK Holdings itu merupakan bos Raisya? Terlintas idea jahat di fikiran Nizam. Dia ingin menyakiti Raisya, membalas dendam padanya atas apa yang pernah dia lakukan pada Farina. Tegar sekali Raisya menyakiti gadis sebaik Farina!

“Kenapa tengok aku macam tu? Kau ingat aku boleh cair dengan kau ke kalau kau tengok aku macam tu?” Gulp! Semerta Raisya menelan liurnya apabila Nizam membidasnya kasar. Dia segera membuang pandang ke tempat lain. Bukan niatnya untuk memandang Nizam, cuma dia teringin memerhati perbezaan pada lelaki itu. Ternyata, dari segi fizikal tiada apa yang berubah. Tapi, hatinya…

“Perempuan yang tak tahu erti persahabatan macam kau ni, tak layak tahu erti percintaan!” pedas kata-kata yang dilemparkan Nizam sebelum dia berlalu. Air mata Raisya bertakung tanpa dipinta. Dia tahu, dia layak dihina seperti itu. Farina, inikah hukuman untuk aku? Air matanya mulai jatuh satu persatu.

“Raisya! Where did you go? We are about to start!” sapaan seseorang dari belakang membuatkan Raisya segera mengesat air matanya. Dia berpaling dan wajah Lutfi berada tepat di belakangnya.

“Sorry.. I went to buy something..” Raisya tiada pilihan lain selain menipu. Mustahil untuk dia memberitahu kebenarannya kerana Lutfi pasti akan banyak bertanya. Air mata yang ada dikesat supaya tidak meninggalkan kesan sama sekali.

“Oh, I see.. Let’s go.. Tinggal lima minit je ni..” ujar Lutfi. Raisya tersenyum seraya mengangguk. Langkah Lutfi dituruti sahaja.

Di hadapan pintu bilik mesyuarat, Raisya mula merasakan tidak sedap hati. Mengapakah? Ya Allah, Kau usirlah segala fikiran jahat ini, Ya Allah.. doa Raisya telus. Dia melangkah masuk selepas Lutfi dan sebaik matanya tertancap pada insan yang sedang bersalaman dengan Lutfi, sekali lagi Raisya terasa bagaikan dihempap batu besar. Nizam!

“I’m the CEO of this company.. Shahrul Nizam, just call me Nizam..” ucap Nizam penuh berkarisma. Lutfi tersenyum, menayangkan giginya yang putih bersih itu.

“I’m Lutfi and this is my secretary, Raisya..” Lutfi tetap berbahasa Inggeris kerana dia kurang fasih berbahasa Melayu. Berdarah kacukan Melayu-Belanda dan dibesarkan oleh keluarga ibunya yang menetap di Indonesia membuatkan dia sedikit pelat apabila bercakap dalam bahasa Melayu. Raisya berdiri kaku, tidak pula memperkenalkan diri. Sekali lagi matanya dapat menangkap sinar benci di mata Nizam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience