Setelah tiga bulan dihabiskan di hospital, Nizam kembali ke pejabatnya dengan penuh kesyukuran. Alhamdulillah, pembedahannya berjaya. Penderma hatinya juga selamat dari sebarang komplikasi. Dan kini, orang pertama yang ingin Nizam cari ialah Raisya. Sewaktu dia di hospital, Hamdan meminjam Raisya selama satu bulan setengah. Pasti sekarang Raisya sudah kembali bekerja di syarikatnya. Alang-alang umurnya masih panjang, biarlah dia gunakan kesempatan ini untuk mendera Raisya lagi.
Saat melewati meja Raisya, Nizam lihat ada sejambak bunga di atas meja itu namun kelibat Raisya tidak kelihatan. Terdetik satu rasa di hatinya. Cemburu? Ataupun benci? Benci kerana ada yang menyukai Raisya? Kerana dia yakin, bunga itu datangnya dari peminat Raisya.
“Ahh, pedulikan!” Nizam melangkah ke pejabatnya. Setelah kot dibuka, Nizam melabuhkan punggung di kerusi. Dia menghela nafas lega. Alhamdulillah, umurnya masih panjang dan dia masih lagi berpeluang untuk duduk di kerusi ini. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Selama dia di hospital, ada sahaja air kopi yang terhidang untuknya. Hati Nizam jadi penasaran, siapakah yang membancuh kopi untuknya? Tetapi, setengah bulan pertama selepas pembedahan, tiada lagi kopi untuknya. Hanya setengah bulan kedua, air kopi itu muncul semula di tempatnya.
“Encik Nizam..” panggilan Raisya memecahkan lamunan Nizam. Menyinga dia apabila Raisya main masuk sahaja. Baru sahaja dia hendak menengking Raisya, wanita itu sudah menjawab terlebih dahulu.
“Saya dah ketuk pintu dari tadi, tapi tak ada jawapan. Saya risau kalau apa-apa jadi kat Encik Nizam, jadi saya masuk je.. Maafkan saya..” Suara lembut Raisya menyusup masuk ke hati Nizam. Nizam berdehem beberapa kali bagi mengusir perasaan itu.
“Kenapa? Kau takut aku mati kat dalam ni? Hei, Raisya! Jangan ingat aku akan lembut hati dengan kau lepas kau tolong bawak aku pergi ke hospital! Kau tahu tak? Umur aku ni dipanjangkan supaya aku dapat balas dendam dengan lebih teruk lagi pada kau..” kata Nizam. Masih ada lagi rasa benci dan dendam di hatinya.
“Alhamdulillah.. Saya pun bersyukur Allah masih panjangkan umur Encik Nizam.. Jadi, dapatlah Encik Nizam balas dendam pada saya sepuasnya..”
“A.. Apa?” Soalan Nizam tidak dijawab. Sebaliknya, Raisya terus membacakan beberapa temujanji dari organizer Nizam. Habis semuanya, Raisya meminta diri.
“Jangan nak seronok sangat dapat bunga dari orang lain..” sinis Nizam. Raisya tersenyum hambar, malas mahu bertekak. Mungkin Nizam nampak bunga tersebut. Biarlah, tiada kena mengena dengan Nizam pun..
Share this novel