Nizam tersenyum puas setelah Raisya keluar dari pejabatnya. Puas hatinya dapat menjerkah insan bernama Raisya itu. Pada awalnya, dia berniat untuk menunaikan kehendak arwah Farina, oleh itulah dia sudi menghulurkan tangan kepada Raisya sewaktu di tanah perkuburan. Seolah-olah dia sudi untuk hidup bersama Raisya. Namun, seminggu selepas itu, Raisya sendiri hilang khabar berita. Dan Nizam sendiri malas mahu mencarinya.
Setelah difikirkan semula, kasih dia dan Farina tidak dapat bersatu disebabkan Raisya. Sejak itu, hatinya dipenuhi dengan dendam. Dendam yang tidak akan hilang dan Nizam sendiri tekad akan menyeksa hidup Raisya. Ternyata, nasib menyebelahinya. Raisya pun bersetuju untuk menjadi setiausahanya. Biarlah masa yang ada ini Nizam gunakan untuk menyakiti Raisya.
Nizam menekan butang interkomnya, memanggil Raisya masuk sekali lagi. Hatinya teringin untuk menjerkahnya lagi. Lima bulan belum cukup untuk menyeksa Raisya.
“Hei, masuk sini!”
Raisya yang sedang duduk di tempatnya mengurut dada sambil mengucap. Terkejut dia apabila suara Nizam muncul dari corong interkom tiba-tiba. Dia bingkas berdiri dan mencapai organizer milik Nizam. Baru sahaja dia hendak mengetuk pintu bilik Nizam, ada seseorang memanggilnya dari belakang.
“Raisya.. Nizam ada kat dalam tak?” sapa Wawa tanpa sebarang salam. Wawa, sejak lima bulan yang lalu Raisya bekerja di sini, Wawa sentiasa muncul. Tidak kira masa, gadis genit itu akan berkunjung ke pejabat Nizam hinggakan kadangkala Raisya rasa rimas. Cemburu? Huh, Raisya sendiri tidak pasti masihkah ada rasa cinta untuk Nizam di hatinya.
“Ada.. Cik Wawa masuk dulu ye, nanti saya bawakkan air..” Terlupa pada panggilan Nizam dengan kehadiran Wawa, Raisya meletakkan semula organizer di atas meja dan menghilang ke pantri. Wawa pula tersenyum bangga dan terus masuk ke pejabat Nizam.
Di pantri, Raisya membancuh air kopi untuk Nizam kerana dia tahu itu kemestian bagi Nizam. Untuk Wawa pula, dia memilih jus oren. Sambil membancuh kopi, Raisya leka. Dia teringat betapa ibunya, Raihan membantah keputusannya untuk bekerja di Putra Empire. Raihan bimbang jikalau Nizam akan membalas dendam dan ternyata kata-katanya benar. Bagi Raisya pula, dia reda. Segala cacian Nizam akan diterimanya, asalkan dosanya dapat terhapus.
Sambil menatang dulang ke pejabat Nizam, Raisya berdoa di dalam hati. Semoga Nizam tidak akan memarahinya. Selepas pintu diketuk tiga kali, Raisya menguak pintu. Dengan perlahan-lahan, dia mendekati Wawa dan Nizam. Lelaki itu merenungnya tajam walaupun Wawa sedang asyik menggedik dengannya. Raisya perasan, Wawa sengaja merangkul leher Nizam. Ada rasa jelek bertandang di hati Raisya.
“Saya dah sediakan air..”
“Tadi kan aku suruh kau masuk bilik. Siapa yang suruh kau buat air?!” tinggi nada Nizam memarahi Raisya. Hai hati, bersabarlah.. Raisya memujuk hatinya. Nasib baik dia sudah betah ditengking, jadi telinga dia sudah hampir pekak. Tidak ada bezanya pun jika ditengking untuk kesekian kali.
“Sayang.. Tadi kan I datang, mestilah dia buatkan air untuk I dulu.. Kerja you penting ataupun I?” Wawa cuba menjernihkan keadaan sambil tersenyum kepada Raisya. Nizam tidak jadi marah apabila ada yang membela Raisya. Dia melonggarkan tali leher bagi menahan rasa. Wawa mendekati Raisya, spontan Raisya menyerahkan jus oren kepada Wawa.
“Ini airnya, Cik Wa..” Entah di mana silapnya, Raisya bersikap cuai. Jus oren di tangan terlepas, tepat tertumpah ke atas baju Wawa yang berwarna krim itu.
“Ya Allah, sorry Cik Wawa! Saya.. Saya tak sengaja..” kalut Raisya mengambil beberapa helai tisu dan digunakan untuk mengesat jus oren tersebut. Wajah Wawa menjadi kelat. Ingin dimarahi, dia sendiri sedar tiada gunanya lagi.
Hati Nizam segera mendidih panas.
“Apa yang kau buat ni Raisya?!”
“Maaf,Encik.. Saya tak sengaja.. Saya betul-betul.. Ah !” Kata-kata Raisya diganti pula dengan jeritannya. Tangannya terasa pedih sekali. Raisya memandang tangannya yang basah disimbahi air kopi yang panas oleh Nizam. Ya Allah, pedihnya tangan aku.. rintih Raisya.
Tiada riak bersalah di wajah Nizam, sebaliknya gembira. Dia tidak berniat untuk menyakiti Raisya, hanya tangannya yang spontan menyimbah tangan kiri Raisya dengan air kopi. Wawa pula terjerit kecil, kasihan melihatkan Raisya yang tidak bersalah.
“Nizam! Apa yang you buat ni? Kesian Raisya!” Kesan kotoran di baju tidak dihiraukan. Wawa segera mendapatkan Raisya yang mulai menangis. Meski tiada esakan kedengaran, Wawa tahu Raisya sedang menahan rasa.
“Pedulikan dia! Biar dia rasakan sikit! Hei, Raisya! Jangan nak menangislah kat sini! Sakit kat tangan kau tu tak setimpal dengan sakit di hati aku dan Farina tau! Sudah, berambus! Benci aku tengok muka kau!” Tidak cukup dengan itu, Nizam mencampak beberapa fail ke muka Raisya.
Raisya memandang Nizam bersama linangan air mata. Pedih di tangannya tidak bererti lagi. Dia benar-benar tidak sangka Nizam setegar itu kepadanya. Air matanya tidak dikesat sama sekali. Tanpa kata, Raisya pergi menuju ke tandas. Wawa pula membuntuti dari belakang.
“Raisya, saya minta maaf bagi pihak Nizam..” bersungguh-sungguh Wawa meminta maaf. Raisya hanya tersenyum tipis sambil membuka pili air.
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan..” Raisya mengenakan tangan kirinya ke air dan serentak dengan itu dia menarik semula tangannya. Pedih betul bila tangan yang melecur terkena air sejuk. Air mata Raisya terus mengalir deras.
“Mungkin inilah perasaan Farina dulu.. Hatinya dah cukup terluka sebab tak mampu bersatu dengan Nizam. Dan aku pula.. Ibarat air sejuk ni.. Yang sepatutnya menyenangkan Farina, sebaliknya aku yang menjadikan luka di hati Farina semakin merebak.. Maafkan aku, Farina.. Ya Allah, Kau ampunkanlah aku..” ujar Raisya sendiri. Wawa yang ada di sisinya tidak dipedulikan.
Ayat yang dituturkan Raisya tadi amat susah untuk Wawa fahami. Yang pasti, dia dapat menangkap nama Farina. Siapa Farina? Apa kaitannya dengan Nizam? Wawa benar-benar ingin tahu. Lecuran di tangan Raisya ditatapnya, bersilih ganti dengan air mata Raisya.
Share this novel