Nizam tersenyum lebar apabila Farina mendekati dirinya. Farina kelihatan cantik sekali. Berpakaian serba putih, wajahnya kelihatan sungguh bercahaya. Nizam menghulurkan tangannya kepada Farina tetapi tidak bersambut.
“Farina.. Awak cantik sangat.. Betul ke ni awak, Farina? Ya Allah, kalaulah awak tahu betapa saya rindukan awak..” ucap Nizam. Mata Nizam bersinar, jelas ada sinar cinta di situ. Sungguh cintanya terhadap Farina tidak pernah padam. Tidak sangka hari ini dia berpeluang menatap wajah Farina sekali lagi.
Meski wajah Farina sangat berseri, namun tiada senyuman terpalit di wajahnya. Sebaliknya Farina memandang Nizam tajam.
“Apa yang Nizam dah buat kat Raisya? Nizam tahu tak, Raisya terluka sekarang ni?”
“Tapi..”
“Tiada tapi-tapi lagi! Farina benci Nizam! Farina tak sangka Nizam sekejam ni!” suara Farina tinggi, membuatkan Nizam menjadi semakin takut. Farina sudah berpaling, mahu meninggalkan Nizam. Lelaki itu segera mengejar Farina. Tidak! Dia tidak mahu kehilangan Farina sekali lagi! Nizam tekad untuk memujuk Farina.
Sementara itu, Raisya melangkah masuk ke dalam pejabat Nizam. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam dan bilik Nizam masih lagi terang. Risau juga dia sekiranya apa-apa terjadi kepada Nizam. Sekejam mana pun Nizam padanya, Nizam masih lagi bosnya jadi dia perlu bersikap prihatin. Selepas pintu bilik dikuak, mata Raisya semerta tertancap pada Nizam yang tertidur di atas meja.
Raisya berniat untuk keluar semula, tapi langkahnya mati. Lain yang dia ingin lakukan, lain pula yang dia lakukan. Langkahnya semakin mendekati Nizam. Lelaki itu tertidur rupanya.. Mesti dia penat.. desis hati Raisya. Raisya memandang wajah Nizam yang bersih itu. Raisya lihat ada peluh yang memercik di dahi Nizam. Barangkali Nizam sedang bermimpi. Hati Raisya jadi tidak keruan.
Kot Nizam yang terletak di atas meja diambilnya lalu diselimutkan badan Nizam. Raisya mencapai tisu pula. Dengan berhati-hati, dia mengesat peluh di dahi Nizam. Kemudian, tisu tersebut dibuang ke dalam tong sampah. Remote penghawa dingin diambil dan suhu dinaikkan sedikit supaya Nizam tidak terlalu sejuk kelak.
“Ya Allah, bersepahnya meja ni..” omel Raisya perlahan. Laju sahaja tangannya mengemas meja Nizam, tapi tetap berhati-hati. Silap langkah, Nizam akan tersedar dan dia akan ditengking lagi. Selesai semuanya, Raisya tersenyum sambil matanya memandang Nizam. Ahh, rupa-rupanya dia masih mencintai Nizam! Baru dia sedar kini yang rasa itu masih ada. Tapi, sayang.. Hanya dia yang merasai cinta itu sementara Nizam pula hanya berdendam kepadanya.
Raisya mengeluh untuk kesekian kali dan keluar dari pejabat Nizam. Sempat lampu pejabat Nizam dimatikan supaya Nizam dapat tidur dengan selesa.
Share this novel