BAB 11

Romance Completed 14651

Sehari, dua hari, seminggu, tiga bulan, tujuh bulan.. Sudah sembilan bulan Raisya terlantar di hospital. Tubuhnya langsung tidak bergerak. Tiada lagi tangisan dan gelak yang dapat Nizam dengar dari Raisya. Selama sembilan bulan Nizam setia menemaninya, menjaga Raisya dengan penuh prihatin. Untuk sementara waktu ini, Putra Empire dibawah jagaan bapa Nizam sendiri.

Nizam duduk di birai katil sambil memandang wajah bersih Raisya. Meski sudah sembilan bulan dia di sini, tidak pernah sekali Nizam bersuara. Penat doktor di situ menyarankan agar Nizam berbual dengan Raisya tetapi sia-sia. Nizam hanya mendiamkan diri setiap kali bersama Raisya.

Selepas dia dapat mengingati semuanya, kenapa Raisya perlu mengalami kemalangan? Dia lihat sendiri bagaiman Raisya dilanggar oleh sebuah kereta dan darah yang mengalir laju dari dahi dan tubuh Raisya. Disebabkan kemalangan itu, Raisya koma hingga sekarang. Nizam jadi menyesal tidak terkata.

Perlahan-lahan Nizam memegang jemari Raisya dan menggenggamnya kemas. Air mata mulai menitis di pipi. Dia tewas dengan perasaannya.

“Nu.. Nurul.. Raisya..” Sudah lama dia tidak menyebut nama itu. Terketar-ketar dibuatnya.

“Nurul Raisya.. Raisya..” Nizam menangis lagi. Jemari Raisya diciumnya perlahan.

“Nizam.. Min.. Minta maaf.. Sepatutnya Nizam ingat Nurul, Nizam ingat janji kita.. Tapi Nizam terlupa.. Nurul.. Nizam tahu, Nurul yang dermakan hati Nurul pada Nizam, kan? Sebab tu Nurul ambil cuti sebulan setengah.. Nurul tak kerja dengan pakcik, tapi Nurul ada kat hospital waktu tu, kan?

Nurul.. Terima kasih.. Terima kasih sebab jaga Nizam.. Air kopi yang Nurul sediakan setiap pagi tu, tak mungkin Nizam lupa. Nurul cepatlah sedar.. Nizam nak minum air kopi yang Nurul buat tu.. Waktu Nizam tertidur kat pejabat, Nurul selalu selimutkan Nizam guna kot Nizam, kan? Betapa sayangnya Nurul kat Nizam, tapi Nizam tak sedar pun..

Nizam tahu Nizam selalu sakitkan hati Nurul.. Nizam ingat Nizam kehilangan Farina sebab Nurul.. Tapi, memang dah takdir, kan? Allah ambil Farina supaya Nizam sedar yang Nurul tercipta untuk Nizam.. Nizam tak pernah fahami perasaan Nurul.. Maafkan Nizam.. Nizam salah.. Nizam bersalah sangat-sangat.. Tapi, Nurul janganlah hukum Nizam macam ni.. Nizam perlukan Nurul.. Nizam rindukan Nurul.. Nurul bangunlah…” rengek Nizam sambil sesekali mencium jemari Raisya. Dia benar-benar berharap Raisya akan membuka matanya. Semuanya salah dirinya. Antara dendam dan cinta, Nizam lebih tegar memilih dendam dan inilah yang terjadi kepadanya.

Dia menyakiti hati seorang wanita yang terlalu tulus mencintainya, hinggakan sanggup menelan semua kebenciannya. Tidak cukup dengan itu, wanita berhati murni ini jugalah yang menyelamatkan nyawanya, dengan mendermakan hati kepadanya. Ya Allah, selama ini aku sangkakan hati Farina murni, rupa-rupanya ada insan yang lebih berhati murni..

“Nurul.. Nizam sayangkan Nurul, terlalu sayang.. Maafkan Nizam sebab khianati janji yang dulu dan khianati cinta Nurul.. Nurul cepatlah sedar..” Nizam terus-terusan merayu kepada Raisya. Air mata yang membasahi pipi tidak dipedulikan. Dia tahu, Raisya boleh mendengarnya. Nizam ingat lagi kata-kata doktor bahawa semuanya terpulang pada pesakit dan pada-Nya. Andai Raisya sendiri masih bersemangat untuk hidup, dia akan sedar jua.

“Nurul, bangunlah.. Nizam nak bina keluarga dengan Nurul, Nizam nak ada anak dengan Nurul.. Nizam tak nak Farina, Nizam tak nak Wawa.. Nizam cuma nak Nurul je..”

Tanpa Nizam sedari, ada air mata mengalir keluar dari mata Raisya. Nafasnya mulai naik turun secara tiba-tiba. Terasa bagaikan Raisya bergerak, Nizam mengangkat wajahnya. Raisya bernafas dengan sukar sekali.

“Doktor! Doktor!!” kalut Nizam menjerit sambil tangannya menekan butang ‘Call’ berkali-kali.

Seorang doktor dan beberapa orang jururawat bergegas ke wad Raisya ditempatkan. Doktor itu memeriksa nadi Raisya sementara jururawat yang lain menyediakan apa yang sepatutnya.

“Tolong selamatkan dia doktor..” pinta Nizam penuh berharap. Salah seorang dari jururawat tersebut mendekati Nizam, dan memintanya keluar.

“Tapi, saya nak stay dengan dia..” Nizam berkeras tidak mahu pergi. Cukuplah sekali dia kehilangan Farina, dia tidak mahu kehilangan Raisya pula! Dia mahu berada di sisi Raisya!

“Encik, tolonglah keluar.. Insya Allah, Cik Raisya akan okay.. Encik keluar dulu, ye..” Jururawat tersebut masih lagi memujuk. Nizam diam tidak menjawab. Saat ini, mindanya kosong.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience